Siapa Yang Khawarij?

View previous topic View next topic Go down

Siapa Yang Khawarij?

Post  Admin on Tue Dec 11, 2012 5:39 pm

MZ MENULIS”

salam....

saya nak tanya apa jwb ukt artikel di bawah...
nampak gaya banyak org islam malaysia hancusss....
utk makluman saya dapat dr ahkam.net dah lama nak tanya...


ABU ZULFIQAR:

Wlksm,

Susah juga nak menjawab sebab artikel ni bukan dalam bentuk soalan. Mungkin yang anda maksudkan ialah untuk beri komen tentang artikel tersebut.


Bukan orang Islam Malaysia saja yang hancus, seluruh dunia pun begitu. Sebab itu kita kena berpegang dengan jamaah, dengan majoriti. Bukan majoriti umat, tetapi majoriti ulama. Kita hidup pada zaman mana pun, jika berpegang dengan majoriti ulama, insyaallah selamat.


Al-Ahkam.net ni banyak jasanya menyumbang kepada perpecahan dan kemunduran umat Islam tanah air. Tapi akhir-akhir ini nampak orang-orang atasannya terutama Ustaz Zain-ys ada mengalami perubahan pemahaman sikit. Moga-moga banyak lagi perubahannya. Tak mengapalah, mari kita lihat artikel yang anda maksudkan.



MAKLUMAT DARI ARTIKEL:
Ideologi Dan Ciri Khawarij

Hadith di atas mengandungi banyak penjelasan tentang tanda dan sifat puak khawarij. Maka itu Imam Muslim meletakkannya di bawah beberapa judul bab, antaranya bab berjudul: “Bab pada menyatakan (ciri-ciri) Khawarij dan sifat-sifat mereka”16. Namun, sebahagian daripada ciri-ciri itu adalah tanda-tanda fizikal khusus bagi puak khawarij yang muncul di zaman para Sahabat r.a. Tanda-tanda seperti berkepala botak, berkulit hitam, bertangan pendek, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol dan berkain singkat tidak boleh dijadikan ukuran dan tidak boleh dipantulkan ke atas mana-mana individu atau golongan pada hari ini. Justeru, kertas ini akan focus kepada beberapa ciri umum yang menunjukkan persamaan dan perkaitan antara golongan khawarij lama dan khawarij moden. Ciri-ciri tersebut ialah:


PANDANGAN SAYA:

Perkara pertama yang sepatutnya kita ambil tahu ialah identiti penulis artikel ini dan fahaman yang dia anuti. Tapi tidak ada disertakan di sini. Dengan mengenali penulisnya, sedikit-sebanyak kita kita boleh agak ke mana hala tuju tulisannya dan apa manfaat yang mahu diperolehinya daripada kesan tulisan ini. Kita boleh faham apa laba yang mahu dikautnya. Tak mengapalah, oleh kerana tak ada maklumat tentang penulis di sini, kita terus meneliti kandungan tulisannya.


MAKLUMAT:
1. Suka Bertakalluf.
Takalluf bermaksud menimbulkan persoalan yang tidak perlu atau buat perkara yang susah atau memikul beban yang tidak biasa dipikul17. Allah S.W.T berfirman (maksudnya): "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta daripada mu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari golongan yang bertakalluf"18. Seorang lelaki bertanya Umar Ibn Al-Khattab r.a. maksud perkataan abba yang terkandung dalam ayat 31 surah Abasa, tetapi Umar tidak melayan persoalan lelaki itu, sebaliknya beliau menjawab: “Kami dilarang daripada bertakalluf ”19.


Para Sahabat r.a. sedia memahami maksud perkataan abba itu sebagai sejenis tumbuhan yang terdapat dalam Syurga. Meskipun mereka tidak tahu jenis dan bentuknya secara terperinci, namun kefahaman itu sudah memadai untuk memberi keyakinan terhadap Hari Akhirat dan nicmat Syurga. Justeru, mereka menahan diri daripada menyoal Nabi s.a.w. mengenai perinciannya kerana pertanyaan seumpama itu termasuk dalam ertikata takalluf yang dilarang syara'. Imam Al-Bukhari (M 256 H) ketika meriwayatkan hadith ini, meletakkannya di bawah bab berjudul: "Bab: (Pada menyatakan) perkara yang makruh (dibenci), seperti banyak bersoal dan takalluf dengan persoalan yang tidak berfaedah serta (pada menyatakan) firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Jangan kamu bertanya tentang sesuatu yang jika diberitahu ia akan menyusahkan kamu"20.


PANDANGAN SAYA:

Berdasarkan ayat berbunyi: “takalluf yang dilarang syara”, jelaslah bahawa takalluf DILARANG oleh SYARA’. Jadi tugas kita sekarang ialah untuk mendalami maksud ‘DILARANG” itu.


Kita ada maklumatnya, iaitu ayat yang berbunyi: “Imam Al-Bukhari (M 256 H) ketika meriwayatkan hadith ini, meletakkannya di bawah bab berjudul: "Bab: (Pada menyatakan) PERKARA YANG MAKRUH (dibenci).”

Alhamdulillah syukur, kita sudah dapat hukum ke atas bertakalluf iaitu MAKRUH, bukannya haram atau berdosa. Hukum kepada perkara MAKRUH pula ialah “sebaik-baiknya kita tinggalkan, tapi jika dibuat juga tidak mengapa”. Lebih kurang begitulah.


Dari segi KEUTAMAAN, kita lihat di sekeliling kita penuh dengan perkara-perkara haram. Maka antara berjuang menentang takalluf, berjuang menentang yang haram dan berdosa adalah lebih utama. Apatah lagi ia begitu banyak di sekeliling kita pada akhir zaman ini. Jangan pula kita sibuk hendak menembak buaya di seberang sungai tapi buat endah tak endah akan harimau yang berada 10 meter daripada kita.


Dalam perenggan itu juga ada disentuh tentang satu kaedah/ cara usul fiqh Mazhab Syafie iaitu perkataan “DIBENCI”. Perkataan ‘DIBENCI” pada Mazhab Syafie hukumnya “MAKRUH”, bukan haram ataupun berdosa. Biasanya lain mazhab lain kaedahnya. Hari ini banyak orang yang tidak mempelajari kaedah-kaedah Mazhab Syafie (terutamanya dari golongan Salafi Wahabi) tetapi pandai-pandai mengajar kitab-kitab Mazhab Syafie, menyebabkan apa yang mereka ajar tidak selaras dengan apa yang Imam dan Mazhab Syafie maksudkan. Sebenarnya mereka sudah berdusta atas nama Imam Syafie dan mazhabnya. Allah akan membalas perbuatan mereka.


Kemudian, bersoal jawab tentang sesuatu perkara yang tidak menjadi kebiasaan tidak semestinya bertakalluf. Persoalan tentang tumbuhan abba itu tentunya takalluf kerana... jika kita tahu pun hal ehwal tumbuhan itu, apa faedahnya untuk kita? Apakah ia terlibat dengan dakwah dan hidup kita di dunia? Tidak. Keluarga, masyarakat dan negara? Tidak. Sejarah? Tidak juga. Ibadah? Tidak juga. Untuk memikat golongan bukan Islam? Tidak juga. Menjadi persoalan masyarakat? Tidak juga. Jadi memang tidak ada faedahnya berbicara tentang tumbuhan itu kecuali untuk ‘tahu’ saja. Sebab itulah ia menjadi takalluf.


Kesimpulannya, Saidina Umar tidak melayan kerana persoalan itu tidak ada kena-mengena dengan hal-hal yang saya sebutkan sebentar tadi. Jika ada kaitan, saya yakin Saidina Umar akan memberi penjelasan lanjut.


SETERUSNYA... penulis meletakkan satu maklumat yang salah (sebab itu kita kena kenal penulis dan fahaman yang dianutinya). Lihat ayat penulis yang berbunyi:


“Justeru, mereka (*para sahabat) MENAHAN DIRI DARIPADA MENYOAL Nabi s.a.w. mengenai perinciannya (tentang tumbuhan abba) kerana pertanyaan seumpama itu termasuk dalam ertikata takalluf yang dilarang syara.”

Jelas ini satu pendustaan penulis. Dari mana dia tahu para sahabat MENAHAN DIRI DARIPADA BERTANYA hal itu?


MENAHAN DIRI DARIPADA BERTANYA maksudnya- dalam hati para sahabat memang hendak tahu tetapi tidak terkeluar soalannya. Pada perkiraan saya, mereka tidak bertanya kerana mereka rasa TIDAK PERLU AMBIL TAHU PUN HAL ITU (kerana ia tidak penting), bukannya kerana mereka menahan diri daripada bertanya. Betul tak?


Jika ada sesiapa kenal penulis itu, tolong tanya dari mana dia dapat maklumat mengatakan, “para sahabat MENAHAN DIRI DARIPADA BERTANYA hal itu”.


Kita mahu jawapan: .....................................................


Kita kena berawas dengan artikel-artikel yang tersebar di internet. Walau sebesar mana pun pangkat, pengikut dan gelaran penulis, kita mesti saring maklumat yang cuba disebarkannya. Sekarang banyak bahan bertulis di internet didalangi oleh VIRUS 6 BERADIK terutamanya VIRUS KANAN KIRI.


(Sila Google virus-virus tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut)



MAKLUMAT:

Berdasarkan judul bab Bukhari ini, dapat disimpulkan bahawa persoalan berlebihan tanpa faedah yang bersifat memaksa dan menyiksa adalah sebahagian daripada ciri-ciri takalluf yang dilarang oleh syarac. Dalam hadith lain, Al-Mughirah Ibn Syu'bah r.a, berkata: "Sesungguhnya baginda s.a.w. melarang daripada bercakap begitu begini, juga daripada banyak bersoal (perkara tidak perlu)"21. Menjelaskan maksud hadith ini, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (M 852 H) berkata: “Oleh itu, sekumpulan ulama salaf tidak suka mempersoalkan perkara yang tidak berlaku kerana ia mengandungi maksud takalluf dan melampau serta melontar andaian tanpa keperluan dalam perkara agama”22.


PANDANGAN SAYA:

Tentang “DILARANG OLEH SYARAK” berkaitan soalan takalluf ini sudah kita maklumi hukumnya di atas tadi melalui kalam Imam Bukhari iaitu MAKRUH, bukan haram dan berdosa. Bahagian ini sudah jelas kepada kita. Jadi janganlah kita (terutamanya saya sendiri) menolak takalluf seolah-olah menolak perkara yang haram dan berdosa pula.


Lihat pula ayat ini:

“SEKUMPULAN ulama salaf tidak suka mempersoalkan perkara yang tidak berlaku”.


Memanglah, apa untungnya membicarakan perkara yang tidak berlaku. Contohnya, pernah seorang pendengar bertanya soalan kepada seorang ustaz. Lebih kurang bunyinya, “Ustaz, air mani ni suci. Kalau ada dua kolah air mani, bolehkah kita buat ambil air sembahyang?”


Mana boleh kita nak kumpul dua kolah air mani. Ini bukan cerita Sultan Melaka meminang Puteri Gunung Ledang. Soalan beginilah yang takalluf.


NAMUN BEGITU, yang tidak suka mempersoalkan perkara yang tidak berlaku itu pun hanya SEKUMPULAN ulama daripada ulama salaf, bukan semua ataupun majoriti. Maksudnya, kumpulan-kumpulan ulama salaf yang lain ada yang suka membicarakan perkara-perkara yang tidak berlaku.



MAKLUMAT:
Islam jelas melarang umatnya daripada mempersoal dan mengandaikan perkara agama sehingga melebihi dan bercanggah dengan kehendak nas. Apatah lagi jika persoalan dan andaian itu hanya akan menambahkan beban kesusahan. Malangnya, perkara seperti inilah yang sangat digemari oleh golongan Khawarij sehingga ia menjadi faktor utama yang menyesatkan mereka. Lihatlah bagaimana mereka mempersoalkan pembahagian harta yang dibuat oleh Nabi s.a.w., meskipun baginda telah memberikan alasan yang begitu lojik dan islamik, namun mereka tetap mempertikaikannya.


Kemudian mereka pertikaikan pula segala pendapat dan ijtihad para Khalifah Islam sehingga akhirnya mereka sanggup mengkafir, memerangi dan membunuh para Sahabat r.a. Semua itu adalah kerana sikap mereka yang suka bertakalluf dalam perkara agama.


PANDANGAN SAYA:

Pada pandangan saya, meletakkan golongan Khawarij SAHAJA (dalam perenggan itu) sebagai tidak adil kerana sikap bertakalluf ini kena pada serata umat Islam, golongan khawarij hanya salah satu daripadanya. Hendak berdakwah melalui penulisan, mestilah mengikut adab-adabnya. Salah satunya ialah “adil”.


Saya juga mengesan satu lagi masalah penulis, iaitu pada ayat:

“Malangnya, perkara seperti inilah yang sangat digemari oleh golongan Khawarij sehingga ia menjadi FAKTOR UTAMA yang menyesatkan mereka.”


Benarkah hal ini FAKTOR UTAMA?

Saya fikir kalimah yang tepat ialah “SALAH SATU FAKTOR UTAMA”.

Kan ada bezanya tu?


Sebab itu saya memang menekankan identiti dan aliran fahaman penulis mana-mana artikel pun.



MAKLUMAT:

Dalam sebuah hadith, seorang perempuan bernama Ma’azah berkata: “Aku bertanya Aishah r.a. kenapa wanita haid wajib qada (ganti) puasa tetapi tak perlu ganti solat”? Lalu beliau bertanyaku: “Adakah kamu seorang haruriyyah”? Aku menjawab: “Aku bukan dari golongan haruriyyah cuma saja aku nak tanya”. Lalu beliau menjawab: “Kami datang haid (pada zaman Nabi s.a.w.) lalu kami disuruh supaya qada puasa dan kami tidak disuruh supaya qada solat”23.


Aishah r.a. bertanya Ma’azah tentang kecenderungan mazhabnya kerana persoalannya itu mengandungi unsur takalluf yang telah menyesatkan puak khawarij. Para Sahabat di zaman Nabi s.a.w. menerima syariat seumpama itu dengan mudah tanpa mempersoalkannya, sehingga muncullah puak khawarij yang mempersoalkannya. Lalu mereka mewajibkan perempuan haid qada solat sebagaimana qada puasa, bahkan ada yang mewajibkan kedua-dua solat dan puasa ke atas perempuan haid.


PANDANGAN SAYA:

Golongan Haruriyyah (yang haru-biru itu) bermarkas di Kufah, terutamanya di desa Haruuraa’. Pemimpin mereka ialah Habib ibn Yazid al-Haruri. Mereka ada kaitan dengan puak Khawarij. Salah satu pendapat mereka ialah wanita haid kena qada’ solat. Saidatina Aisyah tahu akan fatwa mereka, sebab itu dia bertanya kepada wanita yang bertanya: “Apakah kamu salah seorang daripada golongan Haruri (yang mengatakan wanita haid kena qada solat)?”


Pertanyaan Aisyah ini tujuannya untuk memastikan fahaman yang dianuti oleh si wanita (kan saya dah kata, fahaman penulis artikel ini penting untuk kita tahu. Jangan-jangan daripada VIRUS 6 BERADIK), ia tidak bertujuan mengatakan soalan seperti itu bercirikan takalluf. Buktinya, Aisyah memang menjawab persoalan wanita itu dengan baik.


Sila lihat laman ini: http://alislamu.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1388&Itemid=67


Lama itu mengatatakan: “Salah satu pendapat mereka (kaum Haruri) adalah, mereka mewajibkan wanita haidh untuk mengqadha' shalat yang terluput pada masa haidh, pendapat ini jelas bertentangan dengan ijma' kaum Muslimin.”


Itulah yang saya pesan di awal tadi. Kita hidup pada zaman mana pun, pastikan kita bersama jamaah-majoriti- iaitu majoriti ulama, bukan majoriti umat. Jika pegangan satu-satu tokoh itu banyak yang bertentangan dengan jamaah, pada dirinya sudah ada ciri-ciri khawarij. Bahkan mungkin dia itulah khawarij.


Bercakap tentang keadilan dalam menghukum, saya ambil satu contoh.


Imam Mazhab A berpandukan as-sunnah berfatwa tidak batal wuduk apabila berlaku persentuhan antara suami dengan isteri. Imam Mazhab B pula kata batal. Apakah kita terus menghukum Imam B sebagai bermanhaj khawarij, sebagai bertakalluf?


Mana boleh begitu! Samalah juga dalam kes kaum Haruri tadi. Sebagai orang mukmin, kita mendahulukan sangka baik. Bayangkan, wanita yang duduk hampir dengan Aisyah pun tidak tahu dalil tidak perlu qada solat, apatah lagi kaum Haruri yang jauh di Kufah.


Pada saya, contoh yang diberi oleh penulis tidak kena dengan isu takalluf yang diutarakan. Hal ini lebih kepada perbezaan ijtihad dalam persoalan fiqh. Boleh jadi tidak sampai kepada mereka dalil-dalil yang diketahui oleh penduduk Makkah dan Madinah. Boleh jadi juga sampai kepada mereka dalil-dalil yang lain.


Memanglah kita menolak perjuangan kaum Khawarij, tetapi perkaitan yang dibuat biarlah sesuai. Saya melihat penulis ini cuba seboleh-bolehnya untuk mengaitkan sikap takalluf dengan golongan Khawarij. Padahal sikap takalluf itu hukumnya MAKRUH, bukan haram dan berdosa. Sedangkan perjuangan yang salah daripada kaum Khawarij itu hukunya haram dan berdosa.


Mungkin dia ada anti dengan mana-mana individu ataupun aliran yang dipandangnya sebagai bersikap takalluf, lalu untuk memburukkan mereka, dia buat perkaitan yang rapat antara sikap bertakalluf dengan golongan Khawarij supaya orang lain memandang mereka sebagai Khawarij. Ini namanya politik kotor. Tapi ini kemungkinan saja. Boleh jadi dia ada sebab lain. Wallahualam.



TAMBAHAN:

Soal takalluf sudah selesai, Saya ada sedikit penambahan. Mungkin kita tidak perasan kewujudan satu golongan yang begitu besar takallufnya zaman ini iaitu golongan Salafi Wahabi. Mereka menghabiskan masa dengan meneliti hal-hal yang berkeputusan khilaf dan membesar-besarkan pulaKAJIN MEREKA KEPADA MASYARAKAT AWAM. Ini satu penyakit takalluf yang begitu hebat melanda sebahagian daripada kita hari ini. Saya memandang pada zaman ini, merekalah yang menduduki ranking teratas senarai manusia-manusia yang gemar bertakalluf. Jika ada pihak (contohnya penulis artikel tadi) mahu menghukum penggemar takalluf sebagai khawarij, maka golongan Salafi Wahabi itulah khawarijnya. Cuma saya tidak mengaitkan takalluf dengan khawarij sahaja sebagaimana penulis.


Sekadar contoh:


700 tahun dahulu para ulama mujtahid dan para ulama di bawah mereka membincangkan perkara ABC. Mereka mendapat keputusan “KHILAF” untuk perkara ABC. Kumpulan penggemar takalluf (dalam hal ini) memanjangkan perbincangan yang sudah ada keputusan ini (iaitu “KHILAF”) selama ratusan tahun secara besar-besaran sampailah ke zaman kita hari ini. Dan keputusannya tetap KHILAF. Kalau dibawa untuk 700 tahun akan datang pun, keputusannya KHILAF juga.


Jadi, benda yang sudah ada keputusan tidak bijak untuk dipersoalkan lagi. 300 tahun dulu keputusannya khilaf, sekarang pun keputusannya khilaf, jika dibawa berhabis masa dan tenaga untuk 300 tahun akan datang pun jawapannya KHILAF juga. Benda ini sudah ada keputusan. Hanya orang-orang jahil saja yang akan membincangkan perkara yang sudah ada keputusan pada zaman umat Islam hilang kekhalifahan seperti sekarang. Mereka dijolok oleh musuh-musuh Islam SECARA HALUS atas slogan “Kembali kepada sunnah’, ‘Perangi bidaah’, ‘Mari ikut manhaj Salaf’ dan lain-lain supaya terus membesar-besarkan benda yang sudah ada keputusan.


Hasilnya, umat Islam terus hanyut dan tenggelam dalam perbalahan tidak berkesudahan kerana perbuatan golongan Salafi Wahabi yang merupakan salah satu penggemar takalluf ini. Tindakan mereak membuatkan umat Islam lambat maju ke hadapan malah terundur pula ke belakang. Musuh-musuh Islam tersenyum senang. “Buat lagi! Sebar lagi! Teruskan perbalahan mencari keputusan benda-benda yang sudah ada keputusan! Biar kami yang menguasai kamu semua! Habiskan masa, tenaga dan harta kamu untuk itu!” Mungkin begitulah sorak para musuh Islam.


Kita kenang bersama kisah para sahabat menuju ke Bani Quraizah. Rasulullah berpesan agar mereka mengerjakan solat Asar di Bani Quraizah. Sebelum sampai ke Bani Quraizah, waktu Asar sudah hampir tamat. Para sahabat berkhilaf lalu berpecah dua. Satu kumpulan menunaikan solat Asar di pertengahan perjalanan sementara satu kumpulan lagi menunaikannya di Bani Quraizah walaupun ketika itu waktu Asar sudah habis.

Rasulullah tidak menyalahkan mana-mana pihak, dua-dua pun betul. Dan yang PALING PENTING, para sahabat tidak bertakalluf memanjang-manjangkan perkara yang sudah ada keputusan iaitu berkeputusan KHILAF. Beginilah cara yang sunnahnya, manakala mereka yang memanjang-manjangkan isu khilaf dan menghidangkannya pula kepada orang ramai (sebagaimana perlakuan kebanyakan yang terpengaruh dengan ajaran Salafi Wahabi) tidak lain ialah pelaku bidaah (dalam bahasa yang lain ialah bidaah dhalalah). Mahu ikut yang mana? Cara Rasulullah dan para sahabat yang sunnah ataupun cara kaum Salafi Wahabi yang bidaah (dhalalah)? Sudah tentu kita pilih sunnah dan menolak bidaah, menolak takalluf.

Saya tidak mengaitkan takalluf dengan Khawarij sahaja, kerana pada saya penggemar takalluf ini ada dalam mana-mana pihak pun. Tapi oleh kerana PENGARANG mengaitkannya dengan Khawarij, maka antara yang layak dilabelkan sebagai khawarij hari ini tentunya para penggemar takalluf yang banyak bersarang dalam ajaran Salafi Wahabi.


Bersambung...

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/07/siapa-yang-khawarij-bah-1.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Re: Siapa Yang Khawarij?

Post  Admin on Tue Dec 11, 2012 5:46 pm

MAKLUMAT:
2. Menolak Konsep Taysir.
Islam adalah agama yang menekankan prinsip at-taysir (memudah dan meringankan) sebagai salah satu dasar utamanya. Nabi s.a.w bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, tiada sesiapa yang menjadikan agama ini susah melainkan dia akan tewas. Maka hendaklah kamu perbetulkan, dekatkan, gembirakan dan mohonlah pertolongan (gunalah kesempatan) daripada perjalanan pada waktu pagi dan petang serta sedikit daripada perjalanan pada waktu awal malam”24.

Dalam sebuah hadith lain, ketika Nabi s.a.w. mengutuskan Mu'az Ibn Jabal r.a. dan Abu Musa Al-Asy'ari r.a. ke Yaman, baginda berpesan kepada kedua-duanya: “Hendaklah kamu berdua permudahkan jangan menyusahkan, gembirakan jangan menakutkan, hendaklah saling bekerjasama dan jangan berbeza pendapat”25 .

Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadith ini di bawah beberapa judul bab yang berbeza dalam kitab Sahihnya, antaranya di bawah bab berjudul: “Bab: (Pada menyatakan) sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu permudahkan jangan menyusahkan”, kerana sesungguhnya Baginda sukakan peringanan dan kemudahan untuk manusia”26. Disebabkan kejahilan mereka tentang sunnah, maka mereka pesimis terhadap sunnah-sunnah yang bersifat taysir, lalu mereka pertikai dan menolaknya.

Dalam hal ini, Al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan: Maksudnya: “Kami sedang berada di tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah, tiba-tiba Abu Barzah Al-Aslamiyy datang menunggang kuda lalu bersolat sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya lantas beliau menghentikan solat dan mengejarnya sehingga dapat. Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya. Seorang lelaki khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah meninggalkan solatnya kerana seekor kuda”. Abu Barzah tampil seraya berkata: Sesungguhnya aku dengar kata-kata kamu, semenjak Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku, sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan (pendekatan) taysir baginda (dalam ibadat), sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama binatang tungganganku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya sehingga menyusahkanku, sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat dan biarkan nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke malam”27.

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa golongan khawarij tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak, meskipun ia menepati sunnah Nabi s.a.w. dan menepati konsep taysir yang menjadi dasar penting dalam ajaran Islam.

PANDANGAN SAYA:

Jika seorang penganut agama Islam mengatakan, “SUNAT hukumnya bagi wanita Islam TIDAK BERTUDUNG.” Kemudian penganut agama lain mengatakan, “Lihatlah, begitulah pegangan umat Islam.” Benarkah tafsiran sebegini?

Pastinya tidak. Begitu juga dalam hal solat dan kuda tadi. Hanya kerana SEORANG daripada kaum Khawarij itu berkata begitu, maka mereka mengeluarkan hukuman terburu-buru yang berbunyi: “jelas menunjukkan bahawa GOLONGAN KHAWARIJ (terus dihukumnya keseluruhan kaum Khawarij itu) tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak.”

Ini bukan cara yang berlandaskan kebenaran dan moral. Sebiji pisang busuk lalu dihukum setandan busuk. Hujah yang dibawanya ini sama sekali tidak menunjukkan yang kaum Khawarij menolak konsep at-taysir. Hujah ini hanya sesuai untuk menunjukkan pernah ada SEORANG Khawarij yang menolak konsep at-Taysir. Itu pun bukan muktamad.

Kita kena berpandangan luas. Kejadian itu berlaku dalam suasana bahang perang. Biasalah, dalam situasi begitu, masing-masing pihak akan menggunakan apa saja helah yang berkesan untuk memenangi perang saraf. Boleh jadi si Khawarij itu mengeluarkan kata-kata sebegitu untuk menunjukkan teruknya keimanan musuh mereka. Dengan itu, dia dapat mengukuhkan kepercayaan para khawarij lain bahawa mereka di pihak yang benar. Jadi mungkin situasi ini lebih kepada perang saraf. Wallahualam.

Siapa penulis artikel ni sebenarnya? Jenis penulis begini memang banyak bawa kerosakan kepada umat Islam. Harap-harap dia dapat buat pembetulan pada artikelnya. Hendak berdakwah melalui tulisan ni ada tatacaranya, bukan hentam melulu. Bayangkan jika orang biasa dalam masyarakat kita membaca tulisan si penulis, kan mereka akan terpegangaruh dengan maklumat dan hidangan salah dalam artikel itu.

MAKLUMAT:
3. Berpegang Dengan Falsafah ‘Bidah Hasanah’.


Dalam sebuah athar28 sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asy'ari r.a. memberitahu Ibn Mas'ud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mas'ud menuju ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi s.a.w. masih ramai, baju baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di TanganNya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?” Mendengar kata-kata Ibn Mas'ud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu Abd Ar-Rahman29! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”. Mendengar jawapan mereka itu, lalu Ibn Mas'ud berkata: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka”30. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”. Menjelaskan kata-kata Ibn Mas'ud ini, Amr Ibn Salamah31 berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-_ahrawan” 32.

Athar ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai adalah amalan bidcah puak Khawarij yang memerangi para Sahabat r.a. dalam peperangan an_ahrawan. Manakala jawapan yang mereka berikan kepada Ibn Mas’ud r.a. itu pula menunjukkan bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah hasanah’.

PANDANGAN:

Jadi yang hendak ditolak daripada pernyataan di atas ialah amalan berzikir berkumpulan beramai-ramai.

Pertama:

Ia satu ATSAR (ringkasnya kata-kata sahabat, bukan hadis Nabi- bukan perkataan, perbuatan ataupun pengakuan Nabi). Boleh jadi ia satu ijtihad SEORANG DUA sahabat. Ijtihad para sahabat lain tentang majlis zikir beramai-ramai tidak pula disertakan oleh penulis. Jelasnya dia mengharapkan kita terus percaya tanpa soal HANYA dengan satu sandaran iaitu atsar.

Kedua:

Kata Nabi Muhammad saw sendiri tentunya lebih kuat daripada sebuah atsar. Kata baginda:

"Sesungguhnya bagi malaikat itu ada sekumpulan malaikat yang berlegar-legar mencari ahli zikir. Maka, apabila mereka menjumpai SATU KAUM BERZIKIR kepada Allah s.w.t., mereka akan berkata (kepada sesama malaikat yang lain): "Marilah segera kepada hajat kamu (apa yang kamu hajati)" Maka, mereka menaungi golongan yang berzikir dengan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia..."

(Bukhari).

Dari Mu'awiyah r.a. telah berkata, bahawasanya Nabi s.a.w. pernah keluar menuju ke halaqah para sahabat Baginda s.a.w.. Lalu, Baginda s.a.w. bertanya (kepada para sahabat yang berhimpun tersebut): "Apa yang menyebabkan kamu semua duduk berhimpun ini?" Mereka menjawab: "KAMI DUDUK UNTUK BERZIKIR kepada Allah s.w.t., memujiNya terhadap nikmatNya takkala Dia memberi hidayah kepada kami dalam memeluk Islam..." sehinggalah sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah s.w.t. berbangga terhadap kamu di hadapan mara malaikat."

(Muslim)

“Tidaklah duduk SUATU KAUM PADA SUATU MAJLIS, di mana mereka berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla di tempat itu. Lalu (setelah selesai) mereka berdiri, melainkan dikatakan (oleh malaikat) kepada mereka: “Berdirilah kalian, sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosa kalian dan keburukan-keburukan kalian pun telah diganti dengan berbagai-bagai kebaikan.”

(Thabrani)

“Tidaklah duduk SUATU KAUM BERZIKIR nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan DINAUNGILAH MEREKA oleh para malaikat, dipenuhi mereka oleh rahmat Allah dan diberikan ketenangan kepada mereka, juga Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.”

(Muslim, Turmizi, Ibnu Majah)

“Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku kepda-Ku. Dan Aku bersamanya apabila ia berzikir (mengingat) Aku. Kalau ia berzikir kepada-Ku secara tersembunyi (dalam hatinya saja), Aku pun ingat pula kepadanya seperti itu, kalau ia BERZIKIR (mengingat) Aku DALAM MAJLIS, maka Aku pun ingat pula kepadanya dalam majlis yang lebih baik dari itu (iaitu majlis malaikat).”

(Bukhari & Muslim)

“Dari Tsabit ia berkata: “Ketika sahabat Salman (al-Farisi) beserta kawan-kawannya sedang sibuk berzikir, lalulah Rasulullah s.a.w. di hadapan mereka. Maka mereka terdiam sebentar. Lalu beliau bertanya: “Apa yang sedang kalian lakukan?” Mereka menjawab: “KAMI SEDANG BERZIKIR.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh aku melihat rahmat Allah turun di atas kalian, maka hatiku tertarik untuk bergabung bersama kalian membaca zikir.” Lantas beliau bersabda yang ertinya: “Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan dari umatku orang-orang yang aku diperintahkan duduk bersama mereka.”

(Ahmad)


bersambung...

MAKLUMAT:
4. Membalut Kebatilan Dengan Kebenaran.
Telah disebutkan sebelum ini bahawa puak khawarij dikenali dengan beberapa gelaran seperti al-Muhakkimah dan asy-Syurah yang menggambarkan seolah-olah mereka berada di atas landasan kebenaran. Gelaran al-Muhakkimah misalnya diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya mereka hanya berhukum dengan hukum Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, Dia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan"33. Begitu juga dengan gelaran asy-Syurah kerana mereka mendakwa kononnya mereka menjual diri mereka kepada Allah, sanggup berkorban nyawa keranaNya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli nyawa dan harta orang beriman dengan balasan syurga (kerana) mereka berperang pada jalan Allah…”34. Tidak dinafikan bahawa gelaran yang mereka pakai itu mengandungi maksud yang baik dari segi bahasanya, manakala slogan yang mereka laung-langkan itu juga adalah slogan yang benar pada asalnya. Namun, hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap khalifah dan umat Islam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya)…”. Menjelaskan hal ini Ali Ibn Abi Talib r.a. berkata: “Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”35.

PANDANGAN:

Umumnya setuju.


MAKLUMAT:
5. Membaca Quran Tanpa Penghayatan Dan Keikhlasan.
Sabda Nabi s.aw (maksudnya): “…Mereka membaca al-Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka…”. Menjelaskan maksud sabda ini, Imam an-Nawawi memetik kata-kata al-Qadi 'Iyad bahawa ia membawa dua pengertian, pertama: hati mereka tidak memahaminya dan mereka tidak mendapat manfaat daripada bacaan mereka dan kedua: segala amalan dan bacaan mereka tidak diangkat dan tidak diterima36. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith-hadith berkenaan Khawarij ini di bawah beberapa judul bab, antaranya: “Bab (pada menyatakan): dosa orang yang membaca al-Quran untuk riya’, mencari makan dengannya atau berbangga dengannya”37 dan “Bab (pada menyatakan): bacaan orang jahat dan munafiq serta suara mereka dan bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka”38.

PANDANGAN:

Umumnya setuju.


MAKLUMAT:
6. Mengkafir Dan Memerangi Umat Islam.
Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala”. Ibn Umar r.a. mengangap mereka sebagai sejahat-jahat makhluk dan beliau (Ibn Umar) berkata: “Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”39. Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-Arabi membahagikan puak khawarij kepada dua kumpulan: Pertama, kumpulan yang mengkafirkan semua para Sahabat r.a. yang terlibat dalam perang Jamal, Siffin dan yang reda dengan Majlis Tahkim. Kedua, kumpulan yang mengkafirkan sesiapa saja yang melakukan dosa besar40. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan bahawa puak an-_ajdah menambah pegangan takfir khawarij kepada sesiapa saja yang tidak keluar memerangi orang Islam, meskipun orang itu berpegang dengan aqidah mereka”41.

PANDANGAN:

Umumnya saya setuju.

Cuma satu saja yang musykil. Benarkah kaum Khawarij SEJAHAT-JAHAT MAKHLUK? Bukan apa, sekadar bertanya. Sebab kita terfikir juga... di mana kedudukan Iblis, syaitan, Dajjal, Yakjuj Makjuj, nabi-nabi palsu dan lain-lain? Sefaham saya kaum khawarij ini banyak yang mengakui dua kalimah syahadah dan melakukan amal ibadah yang lain.

Apa pandangan anda sendiri?

MAKLUMAT:
7. Penyelewengan Aqidah
Imam Abu Hasan al-Ash'ariyy (M 330 H) menegaskan bahawa pegangan tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah dan mereka sepakat menganggap al-Quran sebagai makhluk (bukan Kalam Allah)42 . Kemudian al-Ashcariyy huraikan pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tac03 dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat43. Puak Khawarij mempunyai titik kesepakatan dari segi mengkafirkan Khalifah Uthman Ibn Affan dan Ali Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja

PANDANGAN:

Pertama:

“tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah.”

Saya tidak pernah mengkaji secara mendalam tentang persamaan itu. Penulis juga memberi maklumat yang sangat umum, boleh mengelirukan orang ramai. “Sama” yang dimaksudkannya itu SAMA DALAM HAL-HAL TERTENTU sajakah ataupun SAMA 100 PERATUS? Ceritalah betul-betul. Ini tidak, beri gambaran umum yang boleh mengelirukan.

Kedua:

“al-Ashcariyy HURAIKAN pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tac03 dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat.”

“Al-Ashaari MENGHURAIKAN”...... saya tidak nampak apa-apa masalah di situ. Serupalah jika kita menghuraikan pegangan tauhid Syiah Imamiah (contohnya kita katakan):

“1. Mereka percaya Allah itulah Tuhan. 2. Mereka tidak menyembah dewa-dewa Hindu. 3. Mereka mendakwa Jibril tersalah beri wahyu. .... dan seterusnya.”

Ayat-ayat di atas berbentuk HURAIAN. Dalam huraian, perkara yang benar pun disentuh, perkara yang salah pun disentuh. Apakah kerana kaum Syiah Imamiah percaya Allah itu Tuhan, maka automatik kepercayaan itu salah? Oleh itu sesiapa yang percaya Allah itu Tuhan termasuklah kita, dikira sesat?

Apakah kerana mereka tidak menyembah dewa-dewa Hindu maka kita yang tidak menyembah dewa-dewa Hindu juga dikira rosak akidah? Tentulah tidak juga.

Ketiga:

Allah berada di mana-mana

Saya pun memang menolak fahaman sebegini kerana sudah jelas Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, posisi, sempadan, arah dari dahulu, kini dan selamanya. Mustahil Zat Allah mengalami sebarang perubahan. Apa saja yang ‘berubah’ ialah makhluk. Bukan saya saja, semua kaum sufi, tariqat, tasauf, tradisional, Asyairah dan seumpamanya memang tidak berpegang kepada “Allah berada di mana-mana” kecuali SEGELINTIR puak-puak yang sesat.

Sebelum adanya tempat, ruang, sempadan, sisi, arah, gelap, terang, bumi, langit dan segala makhluk, DIA SUDAH SEDIA ADA. Bahkan Dialah yang menciptakan tempat, ruang, sempadan, sisi, arah, gelap, terang, bumi, langit dan segala makhluk daripada tiada kepada ada.

Jelasnya, Zat Allah tidak memerlukan semua itu dan tidak terpengaruh dengan semua itu. Jika Dia ada terpengaruh dengan salah satu saja pun daripada semua itu, maka Dia sudah BERUBAH. Apa saja yang berubah ialah makhluk. Sesiapa yang menyembah Tuhan yang berubah, sebenarnya dia sedang menyembah makhluk. Perbuatan ini dinamakan syirik. Dosa syirik tidak terampun.

“DI MANA-MANA” itu sendiri merujuk kepada tempat, ruang dan posisi. Sedangkan Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang dan posisi. Di bintang, di awan, di laut, di bumi, di sini dan seumpamanya juga merujuk kepada tempat. Sesiapa yang berpegang kepada salah satu daripada fahaman ini, dia sudah berfaham bahawa Allah terpengaruh dengan tempat. Maksudnya Allah sudah berubah. Maksudnya Allah sudah jadi makhluk. Jika dia menyembah Allah jenis ini, jelas-jelas dia sedang menyembah makhluk, menyekutukan Allah dan melakukan syirik. Mungkinkah kita sedang menyembah sebesar-besar berhala. Alam semesta dan langit ialah antara berhala terbesar.

Keempat:

“mengkafirkan Khalifah Uthman Ibn Affan dan Ali Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja.”

Memang jahat sesiapa yang berfahaman begini.

Nampaknya sudah habis semua persoalan. Sekadar itu saja pandangan saya yang dhaif ini. SEmoga ada manfaatnya.

Wallahualam.

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/07/siapa-yang-khawarij-bah-2.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum