Kitab Kasyful Asrar

View previous topic View next topic Go down

Kitab Kasyful Asrar

Post  Admin on Tue Dec 11, 2012 5:58 pm

*Dimudahkan bahasanya (dengan sedikit huraian) supaya tidak timbul lagi kekeliruan/ mengurangkan kekeliruan ketika membacanya. Disarankan membacanya berulang kali untuk mendapatkan pemahaman sebenar.



KASYFUL ASRAR (Pembukaan Segala Rahsia)


Apakah ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ain (wajib dipelajari) kepada kita?

1. Ilmu usuluddin (tauhid)

2. Ilmu fekah

3. Ilmu tasauf


Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu usuluddin?

Tahu apa yang wajib, apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Tuhan dan rasul.


Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu fekah?

Tahu syarat amal, rukun amal dan perkara-perkara yang membatalkan amal.


Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu tasauf?

Tahu sifat-sifat mazmumah, iaitu perkara-perkara yang merosakkan pahala amal seperti riya’, sum’ah, ujub, takbur dan lain-lain.


Bagaimana jika kita beramal tanpa mengetahui (mempelajari) ilmu-ilmu fardhu ain ini?

Tidak diterima amalan-amalan kita.


Dari mana datangnya amal dan makrifah?

Dari ilmu.


Dari mana datangnya ilmu?

Dari Al-Quran. Ilmu-ilmu yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah adalah tertolak.


Apakah perkara paling awal yang mesti diketahui dalam agama?

Mengenal Tuhan iaitu Allah Taala.

(Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, kemungkinan besar kita akan menyembah selain Tuhan yang kita sangkakan Tuhan. Jadilah syirik)


Bagaimanakah cara untuk mengenal Allah Taala?

Dengan mengenal diri.

(Selepas kita mengenal diri kita, barulah mudah untuk kita mengenal Allah Taala kemudiannya)


Apakah yang dinamakan ‘agama’?

Iman, Islam, tauhid dan makrifah.


Apakah erti iman?

Percaya kepada Allah, rasul, malaikat, kitab, hari akhirat dan qada’ qadar (Rukun Iman).


Apakah erti Islam?

Buat apa yang Tuhan suruh, tinggal apa yang Tuhan larang.


Apakah erti tauhid?

MengEsakan (mentauhidkan) Zat, sifat, asma’ dan af’al Allah.

(Zat ialah Diri Allah. Sifat ialah kelakuan Allah. Asma’ ialah nama Allah. Af’al ialah perbuatan Allah)


Apakah erti makrifah?

Membezakan antara yang baharu (asalnya tidak ada, kemudian baru ada) dengan yang qadim (asal-asal sudah sedia ada).


Apa maksud percaya akan Allah?

Percaya akan zat, sifat, af’al dan asma’Nya.


Apa erti percaya akan rasul (Rasulullah)?

(Antaranya) percaya:

1. Dia memang pesuruh Tuhan

2. Dia berbangsa Quraisy dari Mekah

3. Dia lahir di Mekah

4. Usianya 63 tahun

5. Dia wafat di Madinah

6. Kuburnya ada di Madinah


Apa erti percaya kepada malaikat?

(Antaranya) percaya mereka:

1. Bertubuh halus

2. Bukan lelaki, bukan perempuan

3. Tidak makan, tidak minum

4. Tiada syahwat

5. Tidak beranak, tidak diperanakkan

6. Tidak tidur


Apakah erti percaya akan kitab?

(Antaranya) percaya kitab-kitab suci itu:

1. Diturunkan dari langit

2. Dibawa oleh Jibrail

3. Jumlahnya 104 buah kitab (*bahagian ini saya tidak tahu sumbernya)


Apakah erti percaya kepada ‘hari kemudian’?

(Antaranya) percaya:

1. Hari kiamat

2. Kebangkitan dari kubur

3. Perhimpunan di masyhar

4. Ditimbang dosa pahala

5. Titian sirat

6. Telaga

7. Syurga

8. Neraka


Apakah erti percaya akan qada’ qadar?

Percaya untung baik, iman, taat, untung jahat, kufur dan maksiat itu semuanya sudah ditentukan oleh Allah (sejak azali).


Apakah maksud Esa zat Allah Taala?

Tidak ada yang maujud di dalam alam ini kecuali Allah (tetapi jangan tersalah pula dengan menyangkakan bahawa alam inilah Allah, kerana alam ini ialah makhluk).


Apakah maksud Esa sifat Allah?

(Pada hakikatnya):

1. Tidak ada yang hidup selain Allah.

2. Tidak ada yang mengetahui selain Allah.

3. Tidak ada yang berkehendak selain Allah.

4. Tidak ada yang mendengar selain Allah.

5. Tidak ada yang melihat selain Allah.

6. Tidak ada yang berkata-kata selain Allah.


(Dan pada syariatnya pula, makhluk boleh hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata)


Allah dengan makhluk umpama sesuatu dengan bayang-bayangnya. Apabila bergerak tuan punya bayang, maka bergeraklah bayang-bayangnya. Mustahil bayang-bayang boleh bergerak sendiri jika tuan punya bayang tidak bergerak. Bergeraknya bayang-bayang juga menjadi bukti kewujudan tuan punya bayang. Wujudnya alam ini menjadi bukti kewujudan Penciptanya. Adanya cahaya matahari menunjukkan wujudnya matahari itu walapun kita tidak melihat si matahari itu (seperti kita duduk di dalam gua dan memandang ke luar gua).


Mustahil bayang-bayang bercerai dengan tuan punya bayang. Namun begitu, mustahil juga untuk bayang-bayang bersekutu dengan tuan punya bayang. Tidak bercerai, tapi tidak bersekutu. Mustahil makhluk bercerai dengan Tuhan tetapi makhluk tidak pernah bersekutu dengan Tuhan.


Bayang-bayang itu tidak lain ialah tuan punya bayang, tetapi bayang-bayang itu tetap tidak pernah sama dengan tuan punya bayang.


(Hendaklah difahamai betul-betul bahawa) Contoh-contoh (misalan-misalan) yang dibuat ini tidak pernah sama dengan apa yang hendak disampaikan, tetapi dibuat contoh juga kerana contoh-contoh ini ‘hampir-hampir’ sama dengan apa yang hendak disampaikan itu. Mengapa? Kerana Allah tidak boleh dibuat contoh. Dia Maha Suci daripada sebarang contoh/ misal. Tidak ada satu benda pun yang cocok untuk dibuat contoh untuk Allah. Dalam usaha untuk memindahkan ilmu, terpaksa kita ambil contoh yang agak hampir. Begitu ceritanya. Oleh itu jangan sesekali menyamakan 100% apa yang dicontohkan dengan apa yang hendak disampaikan.


(Mereka yang menyamakan contoh-contoh kami dengan apa yang kami hendak sampaikan, sudah pasti akan tersalah faham dan seterusnya menuduh ilmu ini sebagai sesat. Padahal dia yang tidak faham kaedah-kaedah yang kami gunakan. Contoh-contoh itu tidak pernah sama 100% dengan apa yang kami maksudkan)


Apakah maksud Esa af’al Allah?

1. Semua perbuatan/ perlakuan di alam ini (pada hakikatnya) tidak lain ialah perbuatan/ perlakuan Tuhan. Bukan perbuatan/ perlakuan makhluk.

2. (Pada hakikatnya) jika kita percaya bahawa mahkluk mampu berbuat sesuatu walau sekecil/ lebih kecil daripada zarah pun, kita sudah melakukan syirik.


Bagaimana jika kita tidak tahu membezakan antara yang baharu dengan yang qadim?

Itulah namanya jahil murakkab bersusun dua. Pertama jahil tentang dirinya. Kedua jahil tentang Tuhannya.


Apa yang akan kita dapat dengan makrifah?

Dapat mengenal diri.


Selepas berjaya mengenal diri?

Dapat pula mengenal Allah.


Selepas mengenal Allah?

Wujud diri kita itu jadi ‘binasa’.


“Sesiapa yang mengenal dirinya, akan mengenal Tuhannya. Sesiapa yang mengenal Tuhannya, ‘binasa’ dirinya.”


Ketika itu, siapakah yang mengenal dan siapa pula yang dikenal?

(Pada hakikatnya ketika itu) ‘Yang Mengenal’ itulah ‘Yang Dikenal’ (kerana makhluk tidak punya sebarang keupayaan untuk mengenal apa-apa termasuklah Tuhannya. Yang Mengenal itu pada hakikatnya ialah Tuhan sendiri kerana Dia saja yang berkuasa untuk mengenal apa-apa. Begitulah pada hakikatnya, bukan pada syariatnya)


“Aku mengenal Tuhanku ‘dengan’ Tuhanku.”


Bagaimana kita hendak mengenal Tuhan kerana Dia tidak boleh dilihat dengan mata kepala?

(Hendak mengenal sesuatu yang tidak boleh dilihat, mestilah dengan cara ‘tidak melihat’ juga). Kita boleh mengenal Tuhan dengan cara mengenal sifat-sifatNya.


Yang mana yang dinamakan ‘sifat’ itu?

Sifat itu ialah sesuatu yang menjadi tambahan ke atas zat.


Apakah erti sifat?

Kelakuan.


Apakah erti zat?

Dirinya.


Apakah erti af’al?

Perbuatan.


Apakah erti asma’?

Nama.


Yang mana yang dinamakan asma’ itu?

Asma ‘ itu ialah suatu yang menunjukkan sesuatu. (Contohya ‘lembu’ digunakan untuk menunjukkan sejenis makhluk Allah yang bertanduk, boleh diperah susunya, dimakan dagingnya dan seterusnya. Itulah ‘lembu’. ‘Lembu’ itulah asma’ kepada makhluk Allah itu tadi)


Siapakah yang memberi nama ‘Allah’ kepada Tuhan?

Dia sendiri yang menamakan diriNya sebagai Allah.


Nama Allah itu qadim ataupun baharu?

NamaNya itu qadim.


Bagaimanakah keadaan/ perihal Allah Taala itu?

1. Dia qadim (asal-asal sudah sedia ada, tanpa ada permulaan)

2. Dia baqa’ (kekal keadaannya tidak pernah dan tidak akan berubah sama sekali dulu, kini dan selamanya)

3. Mukhalafatuhu lil hawadith (tak sama langsung dengan makhluk)

4. Qiamuhu binafsih (‘berdiri’ dengan sendiri, tidak memerlukan kepada apa-apa/ siapa-siapa untuk wujud)

5. Wahdaniah (Esa)


Apakah beza antara sifat dengan ‘yang disifati’ itu?

Sifat itu ialah kenyataan bagi ‘yang disifati’.

(Contohnya – sifat merah ialah sifat bagi buah saga)


Apakah beza antara wujud dengan maujud?

Wujud itu ialah kenyataan bagi maujud.


Apakah beza antara Ilah dengan iIahiyyah?

Ilah itu ialah kenyataan bagi Ilahiyyah.


Apakah beza antara Ilah dengan Allah?

Allah ialah nama bagi Tuhan yang wajib wujud.

(Ilah ialah nama jawatannya manakala ‘Allah’ ialah nama diriNya. Contoh- Perdana Menteri ialah jawatannya manakala Tunku Abdul Rahman ialah nama perdana menteri itu)


Apakah sifat itu bersekutu dengan zat?

Tidak bersekutu, tapi tidak bercerai. Kaifiatnya/ bagaimana keadaannya tidaklah kita mampu mengetahuinya.


Sifat dengan zat itu satu peribadi ataupun dua peribadi?

Satu bukan, dua pun bukan. Kaifiatnya tidak akan termampu kita fahami.


Apakah beza antara zat dengan sifat?

Zat itu dirinya, sedangkan sifat itu ialah kelakuannya.

(Contohnya- zat itu ialah diri Saidina Ali manakala sifat Saidina Ali itu ialah agak rendah, teguh badannya, berkulit sawo matang, lelaki dan seterusnya).


Mengapa Sifat 20 itu dibahagi kepada 4 bahagian?

Kerana 20 Sifat itu terdiri daripada 4 jenis iaitu:

1. Jenis wujud.

2. Jenis 'adam.

3. Jenis hal.

4. Jenis i'tibar.


Yang mana jenis wujud?

Jenis wujud itu ialah sifat ma'ani, kerana sifat ma'ani itu maujud pada zihin dan pada kharij.


Yang mana jenis 'adam?

Jenis 'adam itu ialah sifat salbiyyah, kerana sifat salbiyyah itu tiada maujud pada zihin dan pada kharij.


Yang mana jenis hal?

Jenis hal itu ialah sifat nafsiyyah, kerana sifat nafsiyyah itu ialah kelakuan maujud.


Yang mana jenis i'tibar?

Jenis i'tibar itu ialah sifat ma'nawiyyah, kerana sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat dibilangkan sifat. Contohnya zat itu bernama Hayyun yang hidup, kerana berdiri sifat Hayat itu kepada zat.


20 sifat itu ada berapa martabat?

Ada 3 martabat:

1. Martabat zat

2. Martabat sifat

3. Martabat asma'


Yang mana martabat zat?

Martabat zat itu ialah sifat nafsiyyah dan sifat salbiyyah.


Yang mana martabat sifat?

Martabat sifat itu ialah sifat ma'ani.


Yang mana martabat asma'?

Martabat asma' itu ialah sifat ma'nawiyyah.


Sesiapa pun termasuklah malaikat muqarrabin tak akan tahu bagaimana zat Allah.


Mengapa sifat nafsiyyah dan sifat salbiyyah itu dinamakan martabat zat?

Sifat nafsiyyah tiada kenyataan pada kharij. Sifat salbyyah pula tiada maujud kenyataannya pada kharij, hanya sifat pada khabar jua.


Mengapa sifat ma'ani dinamakan martabat sifat?

Kerana sifat itu ada kenyataan kelakuannya bekas pada menjadikan alam.


Mengapa sifat ma'nawiyyah itu dinamakan martabat asma'?

Kerana sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat. Contohnya keadaan zat bernama Qadirun yang kuasa, kerana berdiri sifat Qudrat pada zat.


Mengapa wujud, qidam, baqa', mukhalafatuhulilhawadit dan qiyamuhu binafsih dikategorikan kepada sifat kaya?

Kerana kelima-lima sifat itu bernama kaya zat, iaitu wujud zat Allah Ta'ala tiada dikeranakan dengan suatu kerana, qidamNya tiada permualaan, baqa'Nya tiada berkesudahan, mukhalafatuhu tiada menyerupai sesuatu apa pun, dan qiyamuhu binafsih tiada berkehendak kepada tempat.

Itulah sebab dinamakan sifat kaya.


Mengapa sifat sama', basar, kalam, sami', basir dan mutakallim dikategorikan kepada sifat kaya?

Kerana sifat itu bernama sifat kaya, Maha Suci daripada kekurangan.


Mengapa bersifat hayyat, 'ilmu, qudrat, iradat, hayyun, 'alimun, qadirun, muridun dan wahdaniyyah?

Kerana sekiranya Allah tidak bersifat dengan 9 sifat ini, nescaya tiada diperoleh suatu daripada alam ini.


Apa maksud maujud kepada zihin?

Maksudnya maujud sifat kepada zat.


Apa maksud maujud kepada kharij?

Maksudnya sifat memberi bekas pada menjadikan alam.


Mengapa sifat nafsiyyah dan sifat ma'nawiyyah maujud kepada zihin tapi tiada maujud kepada kharij?

1. Sifat nafsiyyah itu kenyataan bagi maujud.

2. Sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat.

Sesungguhnya nama itu tidak memberi bekas sekali-kali. Itulah sebabnya.




Bersambung...

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/08/kitab-kasyful-asrar-bah-1.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum