MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Kenangan - Memberock

Go down

Kenangan - Memberock Empty Kenangan - Memberock

Post  Admin Tue Dec 11, 2012 7:02 pm

Pada kesempatan cuti musim perayaan baru-baru ini, aku berkesempatan bertemu dengan Akam, seorang teman lama sejak dari zaman belum bersekolah lagi. Pertemuan itu mengingatkan aku akan zaman ‘rock’ yang sudah berbelas tahun kutinggalkan. Sesekali mengenang zaman jahiliyyah ada juga menariknya. Ustaz Akhil Hayy (kumpulan D’Riyadh) dan Ustaz Radzi (kumpulan Melissa) pun selalu terkenangkan zaman muda mereka.

Aku, Akam dan beberapa orang teman lagi pernah punya sebuah kumpulan muzik kecil-kecilan. Akam ialah pemain gitar bass dalam kumpulan kami manakala aku sendiri berperanan sebagai ketua kumpulan, pencipta lagu dan pemain gitar utama. Kami banyak pengalaman pahit manis bersama. Berjalan ke sekolah rendah bersama-sama, bermain segala macam jenis permainan kampung, menangkap ikan di parit-parit, mencari lokan di lombong, sesekali bergaduh, basikal BMXnya sering kupinjam, melepak sampai pukul 2-3 pagi, memancing ikan keli, ke bukit mencari cempedak, berlumba lari (dia pelari terpantas sekolah rendah kami) dan sebagainya. Di atas pentas, kami berdualah yang paling ligat bergerak ke sana ke mari. Kadang-kadang sampai terlanggar sesama sendiri.

Itu cerita dulu. Kini Akam menjadi seorang penjual burger yang berjaya, siap boleh pakai pekerja lagi. Memang laku burgernya. Banyak juga kawan-kawan kami yang pernah menjal burger, tapi bertahan setakat setahun dua saja. Si Akam ni sudah berbelas tahun dan mampu hidup dengan bisnes ini. Mungkin warung burgernya ialah yang paling laris dan stabil di seluruh bandar Taiping dan Kamunting, wallahualam. Selalu saja pelanggan datang ke warungnya, kami hendak bersembang pun susah walaupun berjumpa puratanya setahun 2-3 kali saja. Dia berkecimpung dalam bidang ini sejak kami masih bermain muzik lagi. Dari segi imej dan penampilan, memang tak jatuh- menjadikan dia otai ori generasi rock. Masih bujang walaupun usia kami semakin menghampiri angka 40. : )

Vokalis kami bernama Pejo. Orangnya kacak dan berkulit putih. Idolanya Awie Wings, menjadikan lenggok suaranya pun ada iras-iras penyanyi itu. Rumahnya di belakang rumahku saja. Aku tidak pernah tahu kebolehannya menyanyi sehinggalah pada suatu hari aku terdengar dia tarik lagu Gugurnya Bunga Cinta (kumpulan Laksamana) dari dapur rumahku. Memang ‘power’ suaranya. Aku menawarkan posisi penyanyi kepadanya walaupun dia sudah ada band. Sejak itu kami berkawan rapat, terasa seperti adik-beradik. Merayau dan makan-makan di sekitar bandar Taiping menjadi kegemaran kami.

Kami sama-sama bekerja di sebuah kilang kain. Pejo kemudiannya bertukar kerja ke Genting Highland beberapa tahun. Kemudian dia kembali ke Taiping apabila dapat tawaran bekerja di taman tema air di Bukit Merah. Penghijrahan demi penghijrahannya menjadikan hubungan kami semua semakin renggang. Seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur, menyebabkan hubungan kami terputus sampailah sekarang. Ada khabar-khabar angin mengatakan Pejo kini berada di Pulau Pinang. Sudah berkahwin dan mungkin punyai 2-3 orang anak. Sudah belasan tahun kami tidak bertemu muka.

Pemain gitar kedua ialah Acek, adik kepada Pejo. Kacak dan berkulit cerah seperti abangnya. Aku banyak ‘mentarbiahkan’ ilmu bermain gitar kepada Achek. Achek turut berhijrah ke Genting. Kemudian kudengar dia berkahwin dan dapat anak. Dia antara yang paling awal mendirikan rumahtangga. Juga sudah belasan tahun tidak ketemu.

Aswat nama pemain dram. Asalnya pelajar sekolah agama tapi tak berapa berjaya dalam akademik, namun keluarganya memang orang berada. Peminat setia kumpulan thrash Metallica. Mungkin Aswat yang paling awal berkahwin iaitu dalam usia 18-19 tahun kalau tak silap. Setahu aku, dia jadi tauke perniagaan ayam mentah. Dengar khabar, badannya yang gempal kini sudah jadi sasa kerana Aswat aktif dengan kelab bina badan. Bertahun-tahun tidak bertemu.

Selepas Aswat mengundur diri, tempatnya digantikan dengan Emi. Aku tidak sempat bergaul lama dengan Emi. Entah ke mana perginya si Emi ni.

Kami punya seorang pemain bass simpanan. Nama gelarannya Man Doraemon, kerana dia suka meniru-niru suara Doraemon. Puluhan tahun depan rumahnya jadi tempat lepak anak muda kampung pada waktu malam. Pernah membuka sebuah kedai runcit tetapi kurang berjaya. Kini menjadi peniaga di pasar malam dan aktif dengan parti politik UMNO. Sudah berkahwin dan punya anak, berapa orang tak tahulah. Kali terakhir terjumpa di pasar malam sekitar 4-5 tahun lepas.

Aku, Akam, Pejo dan Achek pernah simpan rambut panjang separas belakang badan. Pakaian kami biasanya berwarna hitam dan ada gambar hantu tengkorak mak nenek semualah. Sebab itu mereka yang mengenali kami terutamanya orang kampung terkejut kung fu cengkadak melihat perubahan diriku. Mereka agak pening juga melihatkan seorang bekas kutu era rock kini berceramah, mengajar kitab, mengendalikan usrah-usrah, berjubah, memelihara janggut, berserban, menjadi imam solat mereka dan lain-lain yang bersangkutan dengan keagamaan. Begitulah kerja Tuhan yang Maha Berkuasa.

Sekarang kita ke bahagian kemuncak nukilan ini.

Aku pernah banyak kali ke ceramah Ustaz Akhil Hayy. Suatu waktu dahulu, sesekali dalam ceramahnya Ustaz Akhil turut mengundang Ito Blues Gang sebagai penceramah pertama. Jenaka Ustaz Akhil lebih kurang, “Ito ni dulu bekas tok guru kami le dalam muzik. Dia le yang jadi pemimpin ‘usrah-usrah setan’ kami.”

Aku mengaitkan kata-kata Ustaz Akhil ini dengan diriku sendiri. Untuk ‘usrah-usrah’ band kami, akulah pemimpinnya, akulah naqibnya. Malang betul! Apa saja keburukan yang pernah kutarbiahkan dan jika kini masih jadi pegangan Akam, Pejo, Achek, Aswat dan Man, saham negatifnya tetap masuk ke akaunku. Akaunku itu pula akan dibuka di depan Tuhan nanti. Bagaimana pula jika ajaran-ajaranku itu mereka salurkan pula kepada orang lain, kepada anak-pinak mereka? Semakin panjanglah senarai di sebelah kredit akaunku...

Elok sangatlah Tuhan tidak menjadikan kami sebuah band yang ada nama. Jika tidak, entah berapa juta jiwa yang sedikit-sebanyak akan terpesona dan terpengaruh dengan aspek-aspek negatif kami zaman-berzaman.

Sebab itu aku berasa sangat gentar melihatkan para artis hari ini terutamanya yang wanita. Sudah berapa ramai wanita lain yang termotivasi untuk menjadi seperti para artis wanita itu, dan memotivasikan pula orang lain untuk meniru artis kegemaran mereka? Berapa banyak yang terikut-ikut gaya penampilan mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna? Berapa banyak pula kaum lelaki yang pernah mereka jamukan sebahagian daripada aurat mereka?

Ketika kita ‘menyebarkan’ memang seronok, tapi apabila kita sudah tua ataupun di anjung halaman malaikat maut, banyak perkara akan kita fikir. Bila masanya kita hendak menarik balik tarbiah negatif yang kita sebarkan ataupun contohkan selama ini? Mampukah kita untuk menemui dan mentarbiahkan semula ribuan atau jutaan orang yang pernah meminati kita itu? Jika kita dengan sengaja menjadi ‘punca’ seseorang itu termotivasi ke arah negatif, segala perlakuan negatif yang mereka amalkan dan mereka sebarkan itu akan masuk juga ke akaun akhirat kita, tidak berkurang walaupun sedikit. Bahaya betul!

Nasib baik jugalah jahat aku hanya dalam muzik rock, ilmu itu sajalah yang pernah kuperturunkan kepada ikhwah usrah kami. Segala benda-benda khayal, mabuk, rokok, perempuan, jenayah dan lain-lain tidak pernah kujadikan silibus usrah, bahkan aku sendiri tidak pernah terlibat dengan itu semua. Sebab itu jugalah antara sesama kumpulan rock, band kami agak tersisih dari segi sosialnya kerana imej kami yang ‘clean’ ala-ala white metal gitu. Biasalah, orang baik-baik payah dapat kawan. : )

Beberapa kali juga aku terfikir, bagaimanalah caranya untuk aku menebus silibus ‘usrah’ku dahulu? Kalaulah Tuhan izinkan kami semua berkumpul semula dan tinggal berdekatan, sudah tentu aku akan bawa mereka ke alam usrah Islami. Akan kutuang air keagamaan banyak-banyak ke dalam bekas hati mereka yang pernah kuisi dengan air hiburan tidak Islamik itu. Insyaallah lama kelamaan air hiburan itu akan melimpah keluar juga jika dituang air keagmaan berterusan. ‘Qiamullail’ pukul 3-4 pagi dulu mahu kugantikan dengan qiamullail sebenar. Aku yakin rasa hormat mereka kepadaku selaku ‘naqib rock’ mereka dulu masih ada bisa-bisanya.

Tapi hal itu hampir-hampir mustahil berlaku. Mana mungkin kami dapat duduk semeja lagi ramai-ramai selalu seperti dahulu kala...

Ya Allah... ampunkan aku... Amin...

Pengajaran utama nukilan ini ialah... jangan sesekali melibatkan diri dalam hal-hal yang tidak selaras dengan agama, apatah lagi jika ia jadi contoh kepada orang lain. Apabila kita mendapat kesedaran suatu hari nanti, ketika itu kita sedar bahawa memang tidak ‘tercover’ balik apa yang pernah kita sebarkan.

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/09/memberock.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum