Hari, Puasa dan Bubur Asyura

View previous topic View next topic Go down

Hari, Puasa dan Bubur Asyura

Post  Admin on Thu Dec 13, 2012 8:52 am

PENGENALAN

Bulan Muharram ialah salah sebuah bulan yang dimuliakan oleh masyarakat Arab zaman dahulu. Nama "Muharram" itu bermaksud "Yang Diharamkan". Dipercayai nama ini berkaitan dengan pengharaman berperang pada bulan ini.

Dalam bulan Muharram ini ada satu hari yang dimuliakan juga iaitu Hari 'Asyura. Perkataan "'Asyura" berasal daripada perkataan Arab "'asyarah" yang bermaksud "sepuluh", bersempena tarikhnya yang jatuh pada 10 Muharram itu.


KISAH-KISAH SEPUTAR HARI 'ASYURA

Kisah-kisah yang berkisar dalam masyarakat mengaitkan tanggal 10 Muharram ini dengan:

1. Hari pertama Allah menciptakan alam.
2. Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
3. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
4. Hari Allah menjadikan 'Arasy.
5. Allah menajdikan Loh Mahfuz.
6. Allah menajdikan malaikat Jibrail.
7. Allah menciptakan Nabi Adam.
8. Allah mengampunkan kesalahan Nabi Adam.
9, Nabi Idris diangkat ke langit.
10. Allah melabuhkan bahtera Nabi Nuh di Bukit Judi (ada sandarannya - hadis riwayat Imam Bukhari).
11. Nabi Ibrahim dilahirkan.
12. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api.
13. Nabi Yusuf dibebaskan daripada penjara.
14. Nabi Yaaqub pulih daripada buta.
15. Penyakit Nabi Ayyub disembuhkan.
16. Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah.
17. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa.
18. Nabi Yunus dikeluarkan daripada ikan.
19. Allah 'mengangkat' Nabi Isa.
20. Saiyidina Hussin syahid di medan Karbala (disahkan oleh para sejarahwan).

(*Kaitan kisah-kisah di atas dengan Hari 'Asyura hendaklah dicari sandarannya)


ASAL-USUL SAMBUTAN HARI 'ASYURA DALAM ISLAM

Abdullah bin 'Umar berkata:
"Sesungguhnya orang-orang jahilliyyah biasa melakukan puasa pada hari 'Asyura. Rasulullah saw pun melakukan puasa itu sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu juga kaum Muslimin ketika itu. "

"Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah saw mengatakan : Sesungguhnya Hari 'Asyura ialah hari antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan."
(Muslim)

Maksudnya Hari 'Asyura memang sudah sedia dimuliakan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah dan mereka berpuasa pada hari itu. Rasulullah dan para sahabat pun biasa melakukannya. Apabila puasa Ramadhan disyariatkan, puasa pada Hari 'Asyura tetap diteruskan sekalipun tidak diwajibkan.

Ibnu Abbas berkata:
"Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda dapati orang-orang Yahudi melakukan puasa 'Asyura. Kemudian Rasulullah bertanya (kepada mereka) : "Hari yang kamu berpuasa ini ialah hari apa?"

Orang-orang Yahudi itu menjawab : "Ini ialah hari yang sangat mulia. Ini ialah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula Fir'aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini kerana bersyukur, maka kami pun mengikutinya berpuasa pada hari ini."

Rasulullah saw lantar berkata (kepada para sahabat) : "Kita sepatutnya lebih berhak dan lebih utama mencontohi Musa daripada mereka."

Lalu setelah itu Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin berpuasa.
(Muslim)

Berpandukan sumber-sumber Yahudi, Rasulullah menggalakkan para sahabat untuk melakukan ibadah puasa pada Hari 'Asyura.

(*Hal ini menunjukkan tidak semestinya setiap cerita Israilliyyat itu terus ditolak)


KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI 'ASYURA

"Aku berharap dari Allah dengan berpuasa pada hari 'Asyura, akan menghapuskan dosa dari tahun sebelumnya."
(Muslim)


BILA HENDAK MELAKUKAN PUASA SUNAT 'ASYURA?

Ketika Rasulullah saw berpuasa pada Hari Asyura dan memerintahkan agar para sahabat turut berpuasa, mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah ia adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani?"

Lalu baginda bersabda: "Tahun akan datang, dengan kehendak Allah, kita (akan) berpuasa pada hari kesembilan (sehari sebelum Asyura)."

Berkata Ibnu Abbas : "Belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah saw telah diwafatkan."
(Muslim)

"Jika aku masih hidup pada tahun depan, sungguh aku akan melaksanakan puasa pada hari ke-9."
(Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain)

Hari 'Asyura jatuh pada 10 Muharram. Nabi Muhammad dan para sahabat pernah berpuasa pada 10 Muharram itu. Namun Rasulullah juga bercadang untuk berpuasa pada 9 Muharram, cuma baginda tidak sempat melaksanakannya kerana wafat.

"Berpuasalah pada Hari 'Asyura, tapi lakukan berlainan dengan kaum Yahudi, iaitu dengan berpuasa pada hari sebelumnya atau pun hari selepasnya."
(Ahmad & Ibnu Khuzaimah)

Ibnu Abbas berkata:
"Selisihilah (berbezalah dengan) Yahudi, berpuasalah pada tanggal 9 dan 10."
(Baihaqi)

Para ulama memberikan pelbagai pandangan dalam hal ini. Kita ringkaskan di sini, puasa 'Asyura boleh dilakukan:

- pada 9,10 dan 11 haribulan (tiga hari)
- pada 9 dan 10 haribulan (dua hari)
- pada 10 dan 11 haribulan (dua hari)
- pada 10 haribulan sahaja (sehari)


ASAL-USUL BUBUR 'ASYURA MASYARAKAT MELAYU

Disebutkan dalam kitab:
1. Nihayatuz Zain (Syeikh Nawawi Banten ms 96)
2. Nuzhatul Majalis (Syeikh Abdul Rahman Al-Usfuri ms 172)
3. Jam'ul Fawaid ( Syeikh Daud al-Fatani ms 132)

... bahawa ketika bahtera Nabi Nuh berlabuh di Bukit Judi, baginda menyuruh kaumnya mengumpullkan barang makanan yang ada. Antara bahan yang dapat dikumpulkan ialah kacang baqila'/ kacang ful, kacang adas, ba'ruz , tepung , kacang hinthoh dan lain-lain. Semuanya ada tujuh jenis bijian lalu dimasak.

Dalam syair Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pula dinyatakan:

"Pada Hari 'Asyura ada 7 yang dimakan iaitu gandum (tepung), beras, kemudian kacang mash (kacang kuda), dan kacang adas (kacang dal). Dan kacang himmash (kacang putih), dan kacang lubia (sejenis kacang panjang) dan kacang ful."

Sandaran sebegini tentunya tidak kukuh, namun tidaklah jadi kesalahan kepada sesiapa yang ingin memasak, menjamu atau memakan bubur yang dinamakan bubur 'Asyura itu. Biasanya bubur ini disediakan secara beramai-ramai. Antara manfaat yang diperolehi ialah pahala bersilaturrahim, pahala bergotong-royong, pahala memberi orang makan memberi gambaran perpaduan umat Islam kepada orang bukan Islam, dan sebagainya.

WaAllahua'lam



Abu Zulfiqar
14 Disember 2010
8 Muharram 1432 H

http://alexanderwathern.blogspot.com/2010/12/hari-asyura.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum