Menjawab Sharafuddin yang Murtad

View previous topic View next topic Go down

Menjawab Sharafuddin yang Murtad

Post  Admin on Sat Dec 08, 2012 8:48 pm

Seorang rakan mengirimkan paparan berikut:


Kesaksian Saudara Sharafuddin

Salam Sejahtera saudara-saudari.

Saya adalah Sharafuddin, dan saya berasal dari sebuah keluarga Melayu Muslim. Sejak awal-awal lagi, saya telah menjalani pendidikan Islam secara serius dan intensif. Orangtua saya telah memastikan saya mempelajari mata pelajaran Islam seperti Usuluddin, pengajian al-Quran dan sebagainya.

Semua ini telah menolong saya peka dan prihatin terhadap perkara-perkara kerohanian dan keagamaan. Saya sangat suka mendalami pengetahuan dan pengalaman saya terutamanya dalam hal-hal kealiman dan tulisan-tulisan tokoh agama terutamanya ilmu-ilmu keIslaman.

Dari situ, waktu saya seorang remaja saya sudah pun rajin menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai seorang Muslim yang bertaqwa kepada Allah swt. Adik-beradik saya pun sedar akan hal ini dan kecenderungan saya terhadap kerohanian dan agama Islam saya.

Sesudah meningkat ke tahap umur kedewasaan, saya pun memasuki IPT dan lepas itu berjaya masuk ke Universiti yang saya harap-harapkan. Waktu itu, saya masih serius mencari jawaban-jawaban saya dalam agama Islam, dan mempercayai andaian bahawa Islamlah agama fitrah manusia yang harus dianuti semua orang.

Sedikit demi sedikit, pemikiran saya mulailah berkembang, apabila saya berbincang tentang keagamaan dengan sahabat-sahabat serta pensyarah-pensyarah kuliah saya di universiti. Satu sebab mengapa fikiran saya berkembang adalah kerana ketidak-puasan hati saya kepada routine keagamaan saya dan kecetekan ketaqwaan saya sebagai seorang Muslim. Maksud saya ialah: walaupun saya menegakkan din Islam saya dan telah menyempurnakan fardu-ain saya, saya mendapati bahwa Allah amat jauh sekali dari diri saya. Walau pun Islam ada berslogan : "Allah adalah sedekat doa anda." Ini bukanlah pengalaman yang sesungguhnya asli dalam Islam. Walau pun saya sungguh rajin bertaqwa kepada Allah, Dia selazimnya tidak pernah meyakini saya dengan ar-Rahman-Nya atau pun ar-Rahim-Nya (yakni Kasih-sayang-Nya) secara peribadi .

Sebaliknya, Allah maha jauh sekali daripada penganut-penganut-Nya! Dia melakukan segala-sesuatu dalam kehidupan mereka dari jarak yang jauh...maklumlah konsep bila tashbih dalam Islam mempelopori ajaran itu! Walau pun dalam nama, Islam mengajar Allah itu 'berkasihan dan sayang kepada makhluk-makhluk-Nya', tetapi, ajaran Islam yang lain seperti bila kaifa dan bila tashbih membatalkan apa-apa fahaman 'kasih dan sayang' Allah yang dapat difahami secara fitrah atau pun secara biasanya difahami dan dihayati oleh manusia. Kedua-kedua konsep ini sebenarnya 'adalah di luar jangkauan pemahaman manusiawi'.

Kita harus mempercayainya secara membuta sahaja, yaitu dengan sikap bertaqlid sahaja! Inilah yang maksudkan oleh ungkapan bil'a kaifa. Yakni : dengan TIDAK menanyakan 'Mengapa' atau pun 'Bagaimana'.
Islam juga mengutuk segala penyembahan kepada berhala-berhala ("idolatry") kerana Muhammad telah menyatakan 'La-illa ha-ilallah', 'Tidak ada tuhan selain daripada Allah'. Akan tetapi, SELURUH dunia Islam SETIAP HARI, DAN LIMA KALI SEHARI, mereka bersujud, berlutut dan berukuk kepada sebuah bangunan berbentuk segi-empat di kota Mekkah. Bangunan kaabah itu mengandungi sebuah Batu Hitam yang amat disanjung tinggi oleh semua para Muslimin dan Muslimat, yang disebut sebagai 'Hajarul aswad'. Lebih tepat lagi, batu ini sebenarnya ialah satu serpihan tahi bintang yang telah jatuh dari langit di zaman dahulu.

Serpihan tahi bintang ini juga adalah satu objek yang sangat disanjung tinggi, bahkan diagungkan semasa penziarahan ke bangunan Ka'abah itu. Sesudah berlutut, bersujud mengadap dan selepasnya bertawaf tujuh kali keliling bangunan itu, bakal-bakal Haji akan bergegas untuk melihat, menyentuh dan mencium hajar-ul aswad atau pun batu hitam itu sepertimana telah dilakukan oleh nabi Islam sendiri. Apakah itu bukannya keberhalaan ? Apakah itu bukankah menyanjung sebuah serpihan batu (tahi bintang) yang tidak bernafas, mendengar, melihat atau pun bercakap!!?

Akan tetapi, semua ini harus dijadikan pegangan serta ikutan secara bila kaifa dan dengan sikap bertaqlid saja. Para beriman tidak boleh bertanya: 'Kenapa' atau pun 'Bagaimana' hal ini bukan merupakan keberhalaan atau berbeda daripada keberhalaan, walaupun batu itu hanyalah satu serpihan hitam yang tidak melihat dan tidak mendengar atau pun bernafas-tetapi boleh dicium dan diidolakan orangramai! Bukankah itu satu sumber syirik?

Lambat-laun, saya pun dengan sendiri, tanpa dorongan dari mana-mana pengaruh luar, telah mengkaji karya-karya mereka yang dulunya menganuti fahaman atheis tetapi telah menjadi pengikut agama.
Salah satu dari mereka ialah C.S. Lewis, seorang pujangga, pemikir dan ahli falsafah dari Universiti Oxford, Inggeris. Beliau telah bergumul dengan persoalan-persoalan keabadian, ketuhanan dan hal-hal intelektual atheisme. Sebagai seorang yang dulunya atheis, beliau pernah mempersoalkan banyak perkara tentang agama Kristian dan agama-agama yang lain. Tetapi akhirnya juga dia memeluk agama Kristian dan telah menerbitkan banyak bahan-bahan ilmiah yang membuktikan munasabahnya agama Kristian dan ajaran Isa Al-Masih.

Salah sebuah buku yang dia telah menghasilkan ialah Mere Christanity. Saya amat tertarik dengan hujah-hujah di dalam karya ini termasuk penjelasan-penjelasannya yang bernas, jelas dan yang penting sekali -cukup memuaskan bagi pencarian saya untuk kebenaran rohaniah yang sejati. Pada waktu yang sama, saya telah membaca AlKitab/Injil dan mengkaji ajaran-ajaran Isa Al-Masih secara mendalam.

Akhirnya, saya telah tertarik kepada satu nas Kitab Suci Injil yang telah menjelaskan kasih sayang Tuhan Allah yang sebenar kepada saya, yakni :
"Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan (memberikan) Putera-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal."
Yohanes 3 : 16

Inilah sifat kasih dan penyayang Allah yang sebenar dan sejati. Jauh beda sekali ajaran Islam tentang kasih Tuhan yang sebenarnya tidak dapat dikenali dan dihargai. Ramai orang juga menyalah-fahami ungkapan 'Putera-Nya' yang telah diutus Allah itu, kerana ini tidak sekali pun bererti Tuhan Allah perlu 'isteri' untuk mengutuskan Putera-Nya! Pentafsiran salah segelintir orang Muslim ini, mencerminkan pra-sangka tidak berasas mereka dan fikiran yang dangkal sebenarnya!

Keputeraan Firman Allah Isa itu, tidak dapat difahami dalam maksud biologis atau pun jasmaniah. Umat Kristian sendiri tidak pernah mentafsirkannya secara begitu! Sebaliknya, mereka kutuk dan membantah salah-tafsiran jasmaniah ini sekeras-kerasnya!

Apakah istilah-istilah Anak Sungai, anak kunci, anak bulan dan sebagainya harus difahami atau ditafsirkan secara jasmani atau biologis ...?? Sudah tentu tidak, bukan!
Saya telah pun memeluk dan menerima dengan sebulat hati, kurnia Allah yang tidak terbanding itu dalam Isa Al-Masih bagi diri saya sendiri! Sekarang saya dan seisi keluarga saya pun sudah menikmati taufik dan hidayah Allah sendiri yang sejati yang diberkati ke atas kami melalui Firman Allah yang hidup itu - Al-Masih Isa satu-satu-Nya Putera Allah yang tersayang. Kami tidak mempunyai apa-apa masalah tentang segala-gala pengajaran Sayidina Isa yang terkandung di dalam Al-Kitab. Semuanya sangat berbaloi sekali.

Saya ingin menutupi kesaksian saya dengan satu petikan dari sebuah karya C.S.Lewis yang terkenal itu, Mere Christianity :
"If Christianity was something we were making up, of course we could make it easier and simpler. But it IS NOT. We cannot compete, in simplicity, with people who are inventing religions. How could we? We are dealing with Fact. Of course anyone can be simple if he has no facts to bother about."
C.S.Lewis, Mere Christianity (New York, The Macmillan Company, 1943, Hal.145)
Semoga Allah memberkati pencarian saudara & saudari!

Sharafuddin

TEMAN KITA MENULIS:


* pengakuan ini tidak ana ubah walau seayatpun. untuk pengetahuan semua, pengakuan ini ana dapat dari sahabat ana dan the actual source untuk pengakuan ini tidaklah ana ketahui.

* mohon perbahasan dari sahabat semua mengenai perkara ini. menjawab dan membidas semua kenyataan yang mengagungkan agama kristian dan merendahkan agama Islam yang tertinggi.

wallahualam.


Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Re: Menjawab Sharafuddin yang Murtad

Post  Admin on Sat Dec 08, 2012 8:48 pm

PENJELASAN


PERTAMA
Pengakuan sebegini jangan mudah-mudah dipercaya, ia boleh jadi benar dan boleh jadi palsu. Banyak tulisan-tulisan palsu kononnya kesaksian umat Islam beralih ke agama Kristian dikarang sendiri oleh para pendakyah Kristian. Tujuannya untuk menimbulkan ragu-ragu dalam kalangan umat Islam dan seterusnya menaikkan saham agama Kristian. Padahal cara begitu bukanlah cara yang benar di sisi Tuhan.



KEDUA
Sharafuddin yang murtad ini mengaku sudah berpindah agama ke agama Kristian. Maksudnya dia percaya agama Kristian. Hal ini akan memudahkan lagi pembicaraan kita seterusnya.



KETIGA
Jika Sharafudin menolak kebenaran agama Islam dengan hujah-hujah di atas, maka kita dengan mudahnya menolak agama Kristian dengan hujah-hujah daripada tulisan saya 'Apa Sebenarnya Ajaran Jesus' yang boleh dilayari di http://ajaranjesus.blogspot.com/.



KEEMPAT
Tulisan di atas kemungkinan satu penipuan. Sharafuddin mengaku mempelajari usuluddin tetapi bagaimana pula dia boleh merasakan Tuhan jauh daripadanya? Boleh jadi dia belajar asasnya saja. Boleh jadi juga dia ditipu oleh orang yang mengajarnya. Kata-katanya berbunyi:

"...saya telah menjalani pendidikan Islam secara serius dan intensif. Orang tua saya telah memastikan saya mempelajari mata pelajaran Islam seperti Usuluddin, pengajian al-Quran dan sebagainya."

Mana mungkin seorang yang mempelajari Usuluddin secara serius dan intensif merasakan Tuhan 'tidak dekat'?

Contoh:
Seorang yang sudah habis belajar memandu di sekolah latihan memandu berkata, "Saya belajar memandu secara serius tetapi saya tengok kereta dari jauh saja, tak pernah dekat dengan kereta."
Bukankah ini maksudnya dia tidak belajar memandu? Bukankah ini maksudnya dia menipu? Ataupun mungkin dia datang mendengar penerangan awal saja, ketika dibawa oleh guru memandu ke litar untuk cuba memandu, dia melarikan diri. Apabila bertemu dengan rakan-rakannya, dia pun berkata, "Aku sudah belajar memandu secara serius dan intensif."

Pada pandangan saya, jika benarlah dia pernah belajar usuluddin, dia mengikuti kuliah tok guru sehari dua saja, baru belajar muqaddimah kemudian dia pun murtad.



KELIMA

Isu ‘sembah’ Kaabah.

Umat Islam tidak bersujud, berlutut dan berukuk KEPADA BANGUNAN KAABAH dan isi kandungannya. Bangunan Kaabah itu hanya sebagai QIBLAT, sebagai penunjuk arah dan untuk menghasilkan keseragaman arah. Umat Yahudi dan Kristian sendiri ada qiblatnya iaitu Baitul Maqdis, bahkan umat Islam juga pernah berqiblatkan Baitul Maqdis.


Kaabah dan batu hitam itu berbeza dengan berhala. Jika sesebuah berhala dipindahkan ke tempat lain, para penyembahnya akan mengikut berhala itu dan menyembahnya di tempat baru. Sedangkan jika bangunan Kaabah dan batu hitam dipindahkan ke United Kingdom, umat Islam tetap akan bersembahyang kepada Tuhan dengan menghala ke arah tempat asal bangunan Kaabah itu juga iaitu di Mekah, bukan menghala ke United Kingdom. Umat Islam akan berhaji di Mekah juga.


Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Bukankah mereka nabi-nabi agama Kristian yang sedang dianut oleh Sharafuddin juga? Apakah para nabi itu menyembah berhala?

Ada penyembah berhala menganggap berhala itu sebagai gambaran Tuhan, ada kuasa, diberi jamuan, meminta sesuatu (berdoa dan berbicara) kepada berhala itu dan sebagainya. Padahal umat Islam tidak mengaitkan Kaabah dan batu hitam itu dengan Tuhan, umat Islam faham kedua-duanya tidak ada apa-apa kuasa langsung, tidak menjamu apa-apa kepada kedua-duanya, tidak meminta, berdoa dan bercakap kepada kedua-duanya tetapi kepada Allah yang tidak terpengaruh dengan tempat/ lokasi. Jauh bezanya.


Mencium batu hitam itu sekadar mengamalkan kebaikan budi. Samalah seperti umat Kristian mencium salib, mencium tangan Pope, mencium isteri dan anak-anak, mencium trofi Piala Dunia dan sebagainya. Umat Islam tidak pernah menganggap perbuatan itu sebagai mencium Tuhan ataupun apa-apa yang berkaitan dengan zat Tuhan, tetapi mencium batu.


Bolehkah batu ‘diidolakan’???


Itu bukan sumber syirik. Nampaknya Sharafudin masih belum lulus juga perihal SYIRIK walaupun mengaku mendapat pendidikan intensif dalam bidang agama termasuklah usuluddin. Jelaslah itu semua adalah tipuannya saja, ataupun mungkin artikel itu hanyalah karangan ciptaan seorang pendakyah Kristian untuk meragu-ragukan pembaca melalui taktik kotor yang pastinya dibenci oleh Jesus. Saya rasa watak Sharafudin ini berkemungkinan besar tidak wujud pun.


Ringkasnya syirik itu wujud apabila seseorang itu meyakini Allah ada berkongsi apa-apa seperti kuasa keTuhanan dan zat dengan mana-mana makhluk sama ada secara terang-terangan ataupun tersembunyi (syirik jali dan syirik khafi). Dalam kes ini, umat Islam tidak pernah menganggap bangunan dan batu itu ada apa-apa kuasa keTuhanan. Menyanjunginya tidak lain menyanjungi sesuatu yang berharga, contohnya trofi Piala Dunia yang dijulang dan dicium pasukan Brazil ketika mereka memenanginya.


Contoh syirik:

· Menganggap Jesus sebagai Tuhan, padahal Tuhan hanyalah Bapa sahaja. Ini menunjukkan seseorang itu yakin Jesus ada berkongsi kuasa dan zat dengan Tuhan/ Bapa.

· Meminta sesuatu kepada berhala. Ini menunjukkan seseorang itu yakin berhala itu ada berkongsi kuasa Tuhan.


Sharafudin ataupun tukang karang artikel itu terlepas satu lagi ilmu, iaitu ada umat Islam yang bersolat di dalam Kaabah. Hal ini menunjukkan bangunan Kaabah ataupun batu hitam itu bukanlah sembahan umat Islam. Umat Islam menyembah Allah yang tidak beruang, tidak berarah, tidak bertempat dan tidak bersempadan kerana Dialah yang menciptakan ruang, arah, tempat dan sempadan. Sebelum diciptakan semua itu, Allah sudahpun sedia ada.

Di dalam Kaabah itu ada lantai, udara dan tiang. Agaknya selepas ini Sharafudin akan menuduh umat Islam yang bersembahyang di dalam Kaabah itu sebagai penyembah lantai, udara dan tiang pula.


Seterusnya, Sharafuddin mungkin terlupa juga bahawa imam boleh bersembahyang di dalam Kaabah manakala makmum menurut dari luar Kaabah. Apakah ketika itu Sharafuddin akan mendakwa umat Islam menyembah imam pula? Mengagungkan imam? Menyanjung imam hingga menjadi syirik? Meletakkan imam setaraf Tuhan?


Bahkan boleh sembahyang berjemaah di dalam Kaabah, ada imam dan makmumnya di dalam bangunan itu. Mereka sembah apa pula? Hendak dikatakan mereka menyembah kotak hitam Kaabah itu, mereka sudah berada di dalamnya. Hendak dikatakan mereka menyembah batu hitam, batu hitam itu sudah berada di belakang mereka! Jadi mereka bersujud, melutut dan berukuk kepada siapa wahai Sharafuddin?


Sangat baik kalau Sharafudin kembali belajar ilmu agama Islam sama ada dia masuk Islam ataupun kekal murtad. Ada banyak perkara yang dia tersalah faham ataupun memang tidak tahu. Keadaan ini menyebabkan dia mengatakan salah kepada perkara yang tidak salah. Jika orang Kristian lain tahu akan hal ini, Sharafudin sendiri akan malu malah orang akan memandangnya sebagai pembohong dan tiada kredibiliti.


Di dalam Kaabah



KEENAM

Sikap bertaqlid buta, tidak bertanya “mengapa” ataupun “bagaimana” sebenarnya sudah lama menjadi darah daging dalam ajaran Kristian. Antaranya:


Kita dibiarkan tidak bertanya: Mengapa ribuan naskah tulisan awal Bible (tulisan asal pada zaman Jesus ataupun zaman para hawarinya memang tak ada pun) disorok dan tidak disebarkan kepada umum? (Apa yang mereka takuti jika orang ramai melihat dan mengkaji sendiri tulisan-tulisan itu? Apakah pembohongan-pembohongan mereka akan terdedah?)

Kita digalakkan berdiam tanpa mempersoalkan ayat Bible:


“Dan turunlah Roh Kudus dalam rupa burung merpati ke atasnya (Jesus). Dan terdengarlah suara dari langit: "Engkaulah anak-Ku yang Ku-kasihi, kepadamulah Aku berkenan."

(Lukas. 3:22)


Renung-renungkan. Roh Kudus sedang turun dari langit dan ketika itu Roh Kudus mengubah dirinya menjadi burung merpati. Jesus pula sedang berada di bumi manakala Bapa yang berada di syurga sedang berkata-kata. Anda melihat ketiga-tiga individu di atas sebagai tiga individu atau satu individu? Tiga badan atau satu badan? Tiga tempat atau satu tempat? Tiga peranan atau satu peranan?


Sekiranya Jesus sudah 100% Tuhan, mengapa dia perlu wahyu daripada Bapa di syurga? Mengapa mesti Roh Kudus menghantar wahyu? Sepatutnya tak payahlah dihantar-hantar lagi kerana wahyu itu datangnya daripada Jesus sendiri!


Kita dibiarkan tidak memahami maksud:

“KEPADAKU TELAH DIBERIKAN segala kekuasaan di langit dan di bumi.”

(Matius 28:18)


Perkataan ‘diberikan kekuasaan’ membawa maksud ada satu kuasa yang lebih kuat daripada Jesus yang telah memberinya kekuasaan tersebut. Ini juga bererti Jesus bukan Tuhan kerana sebelum ‘diberikan’ dia tidak ada kekuasaan tersebut. Mustahillah Tuhan baru mendapat kuasa kerana sifat Tuhan itu adalah sentiasa berkuasa dari awal hingga selama-lamanya. Bukankah sepatutnya Jesus mengatakan: “Pada diri-Ku telah sedia ada segala kekuasaan di langit dan di bumi”?


"Sembahlah Allah Tuhanmu dan ABDIKANLAH DIRI KEPADA DIA SAHAJA sahaja."

(Lukas 4:Cool


Jesus menyuruh berabdi kepada Allah sahaja, bukan kepada “Kami” atau kepada “Dia dan Aku”.


Perhatikan perkataan "DIA sahaja". Jesus tidak berkata "KAMI sahaja", atau "Dia dan Aku sahaja". Makna abstrak yang bagaimanakah yang mahu diada-adakan terhadap ayat ini untuk menunjukkan bahawa maksud sebenar Jesus adalah "sembah kami BERDUA"? Kata-kata Jesus di atas sesuai benar dengan ayat Perjanjian Akhir-Al Quran:


“Janganlah kamu beribadah kecuali kepada-Nya.”

(Surah Hud: 2)


Kata Tuhan:


"Inilah HAMBA-KU yang telah aku pilih".

(Matius 12:18)


Jesus hanyalah hamba Tuhan sebagaimana manusia lain.


"Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Jesus,HAMBA-MU yang suci"

(Kisah Rasul-rasul 4:27 RSV)


“Pada pagi-pagi hari dalam perjalanannya kembali ke kota, Jesus merasa lapar. Dekat jalan dia melihat pohon ara lalu pergi ke situ, tetapi dia tidak mendapat apa-apa pada pohon itu selain daun-daun saja. Katanya kepada pohon itu: "Engkau tidak akan berbuah lagi selama-lamanya!" Dan seketika itu juga keringlah pohon ara itu.”

(Matius 21: 18-19)


Tuhan lapar dan hendak makan buah ara. Tapi Tuhan itu tidak tahu sama ada pokok ara tersebut berbuah atau tidak! Betulkah ini Tuhan? Setelah pergi dekat barulah diketahui-Nya yang pohon itu tidak berbuah. Rupanya penglihatan dan pengetahuan Tuhan iaiti Bapa, Jesus dan Roh Kudus terbatas setakat beberapa meter sahaja. Bukankah penglihatan dan pengetahuan Tuhan sepatutnya seluas alam semesta malah lebih luas lagi?


Setelah diketahui-Nya tak ada buah, maka dikutuknya pokok tersebut. Inikah moral yang hendak ditunjukkan? Apabila orang tak mahu menolong kita maka kita terus menyumpahnya? Mengapa Tuhan menunjukkan moral sebegini?


Tuhan amat berkuasa. Mengapa Jesus selaku Tuhan tidak mampu memerintahkan : “Engkau berbuahlah ketika ini juga” lalu segera terbit buah? Selepas itu mereka sama-sama bersyukur, barulah ada moralnya.


“Pada waktu itu berkatalah Jesus: "AKU BERSYUKUR KEPADA-MU BAPA- TUHAN LANGIT DAN BUMI, karena semuanya itu Engkau sembunyikan bagi orang bijak dan orang pandai, tetapi Engkau nyatakan kepada orang kecil.”

(Matius 11: 25)


“Kata Yesus kepadanya: "Janganlah engkau memegang Aku, sebab Aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka, bahwa sekarang Aku akan pergi kepada BAPAKU DAN BAPAMU, kepada ALLAHKU DAN ALLAHMU."

(Yohanes 20: 17)


Kalau ayat semudah ini tidak mampu difahami, bagaimana hendak memahami perumpamaan-perumpaaan yang diucapkan Jesus.


Siapakah Bapa kepada Jesus dalam ayat ini?

Jawapan: _____________________


Siapakah Allah kepada Jesus dalam ayat ini?

Jawapan: _____________________


http://jesusanaktuhan.blogspot.com/

Banyak lagi perkara-perkara yang cuba ditutup dengan iman buta/ percaya buta sahaja tanpa digalakkan bertanya mengapa dan bagaimana?



KETUJUH
Sharafudin mengatakan:
Akhirnya, saya telah tertarik kepada satu nas Kitab Suci Injil yang telah menjelaskan kasih sayang Tuhan Allah yang sebenar kepada saya, yakni :


"Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan (memberikan) Putera-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal."
Yohanes 3 : 16

Jadi melalui ayat ini Sharafudin berkeyakinan bahawa Jesus ialah Tuhan, sebab itu pada gantinama Jesus diletakkan ‘Nya” dengan ‘N’ huruf besar.

Dalam hal ‘putera’ atau ‘anak’ ini bolehlah dikaji melalui tulisan panjang saya di
http://jesusanaktuhan.blogspot.com/ . Kita akan memahami nanti sesungguhnya kedudukan sebagai ‘putera Tuhan’ atau ‘anak Tuhan’ sebenarnya tidak menjadikan Jesus sebagai Tuhan. Inilah salah faham mejoriti penganut agama Kristian. Sila ke link yang saya berikan.



KELAPAN

Pembacaan kenalah seimbang. Kita tidak tahu berapa banyak buku orang yang penulis asalnya atheis tetapi kemudiannya beralih memeluk agama Islam dan lain-lain yang dikaji oleh Sharafuddin. Setakat maklumat yang disediakan, dia hanya memetik buku yang ditulis oleh SATU ORANG yang asalnya atheis tetapi beralih kepada Kristian sahaja.


Kita pun tidak tahu seberapa ilmiahnya tulisan-tulisan CS Lewis dan seberapa bernasnya hujah-hujah orang ini dalam ‘Mere Christianity’. Mungkin pada fahaman Sharafuddin begitu tetapi jika saya membacanya, insyaallah saya boleh menyenaraikan berapa banyak kesilapan, kelemahan dan keraguan di dalamnya.


Sharafuddin bolehlah membandingkan hujah CS Lewis dengan tulisan saya http://ajaranjesus.blogspot.com/



KESEMBILAN

Sharafuddin menulis:

“Akhirnya, saya telah tertarik kepada satu nas Kitab Suci Injil yang telah menjelaskan kasih sayang Tuhan Allah yang sebenar kepada saya, yakni :
"Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan (memberikan) Putera-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal."
Yohanes 3 : 16”

Penjelasan:

Umat Islam tiada masalah dengan ayat ini. Jika Sharafuddin menganut agama Islam pun, ayat ini tetap boleh dipegangi. Sememangnya umat Islam sudah siap percaya kepada putera Allah iaitu Nabi Isa as sebagaimana umat Islam percaya kepada putera-putera Allah yang lain terutamanya para rasul dan nabi sebelum kelahiran Nabi Isa. Bahkan Nabi Muhammadlah yang mengajar umat Islam agar percaya kepada Nabi Isa. Maksudnya, dengan menjadi seorang Muslim pun Sharafuddin tetap ‘tidak akan binasa’ dan ‘memperolehi hidup yang kekal’ di akhirat nanti.Mana-mana umat Islam yang tidak percaya kepada Nabi Isa, dikira rosak imannya.

Yang umat Islam tidak percaya ialah fahaman yang mengatakan Nabi Isa itu setaraf dengan Bapa (Tuhan).


‘Tuhan’ mestilah yang asli (original). Dia Esa (tunggal) tanpa bercampur ataupun bersekutu dengan mana –mana makhluk. Sesiapa yang menyembah Tuhan yang BERSEKUTU dengan makhluk, perbuatan itu tidak lain adalah MENSYIRIKKAN TUHAN. Tuhan yang kita sembah dan kita kasihi mestilah Tuhan YANG ESA tanpa sebarang sekutu dan percampuran sebagaimana zat-Nya ketika semua makhluk belum dicipta, ketika rambut, hidung, perut, kaki dan seluruh jasad Jesus belum dicipta lagi.


Jika pada masa yang sama Jesus itu Tuhan dan manusia sekaligus, maksudnya Tuhan sudah bersekutu dengan makhluk!


Umat Islam menyembah Tuhan yang asli, yang asal sebagaimana keadaan-Nya sebelum mana-mana makhluk dicipta. Sharafuddin pula menyembah Tuhan yang sudah bercampur, bersekutu dengan JASAD JESUS. Akidah Islam ternyata paling sejahtera kerana jelas-jelas menyembah dan mengasihi Tuhan/ Bapa SAHAJA, sedangkan Sharafuddin menyembah Tuhan/ Bapa yang bercampur dengan daging, tulang, gigi dan sebagainya yang tidak lain adalah MAKHLUK belaka.


Kesimpulannya, Putera tetaplah Putera dan Allah tetaplah Allah. Mustahil Putera menjadi Allah dan mustahil juga Allah menjadi Putera. Untuk Putera setaraf dengan Allah, Putera itu mestilah wujud sebelum wujudnya cahaya, ruang, arah, tempat, warna dan lain-lain makhluk dicipta.



KESEPULUH:

Masalah ‘kelahiran’ Jesus. Saya termasuk dalam golongan yang memang menolak keputeraannya secara biologis. Jadi hal ini tidaklah perlu dipanjangkan lagi.

Namun begitu Sharafuddin kena faham pertikaian pokoknya yang dipersoalkan oleh umat Islam. Apakah jawatan ‘Putera Tuhan’ itu setanding/ setara/ setaraf/ seazali/ seabadi dengan Tuhan (iaitu Bapa)?


Apa saja yang lebih muda daripada Tuhan, yang datang kemudian daripada Tuhan adalah makhluk. Persoalannya, Bapa sudah sedia ada sejak awal, apakah Putera itu juga sudah sedia ada sejak awal? Serentak?



KESEBELAS:

Segala pengajaran Jesus dalam Bible tidak ada apa-apa masalah bagi Sharafuddin? Hal ini boleh dipanjangkan lagi tapi tidaklah saya menulisnya di sini.


Lagipun, apalah sangat ajaran Jesus yang lebih banyak kepada mengembara dan berdakwah berbanding ajaran Nabi Muhammad yang mencontohkan terus bagaimana menjadi seorang ketua negara, ketua keluarga, suami, bapa, juru damai, ketua perang, ketua hakim, ketua perundingan, penternak dan banyak lagi. Jesus meninggalkan umatnya tanpa sempat menjadi teladan kepada mereka dalam banyak hal.



PENUTUP

Sama-samalah kita menilai, atas dasar apakah Sharafuddin (jika benar dia wujud) menganut agama Kristian. Benarkah kaedah-kaedah mencari kebenaran yang dilaluinya...



‘BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw’


Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’


http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/12/menjawab-sharafuddin-yang-murtad.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum