Tarian Poco Poco, Antara Halal dan Haram

View previous topic View next topic Go down

Tarian Poco Poco, Antara Halal dan Haram

Post  Admin on Thu Dec 13, 2012 11:10 pm

PENDAHULUAN

Timbul perbahasan tentang halal atau haramnya Tarian Poco-poco, maka saya jelaskan secara RINGKAS dalam artikel ini.

HUKUM TARIAN & MENARI (secara ringkas)

‘Tarian’ dan ‘menari’ dua perkara berbeza.

TARIAN ialah sejenis geraklaku tubuh badan. Contohnya tarian zapin, tarian perang, breakdance, twist, rap dan lain-lain.

MENARI pula ialah proses/ aktiviti melakukan tarian.

Contoh lain:

Silat – sejenis seni beladiri.

Bersilat – melakukan silat.

Lompat – sejenis perbuatan.

Melompat – melakukan perbuatan itu.

Harap dapat dibezakan antara TARIAN dengan MENARI.

KEPENTINGAN TAHU PERBEZAAN ANTARA KEDUA-DUANYA

1. Jika sesuatu TARIAN itu dihukum haram di sisi agama Islam, biasanya MENARIKANNYA juga haram. Contohnya tarian memuja Dewa Laut. TARIAN itu haram, jadi ia haram DITARIKAN. Contoh lain ialah haramnya tarian kuda kepang yang membuatkan penarinya kerasukan. Tetapi jika tarian kuda kepang itu sudah diubahsuai dan dibuang bahagian yang berkait dengan kerasukan itu (dan kesemua unsur-unsur yang tidak selaras dengan Islam dalam tarian itu), maka menarikannya tidaklah dikira haram.

2. Jika MENARIKAN sesuatu tarian itu dihukum haram, tidak semestinya TARIANNYA juga haram. Contohnya lelaki dan wanita menari ski ais dalam keadaan si wanita memakai baju sendat dan membuka sebahagian auratnya, dengan disaksikan oleh penonton yang pelbagai. MENARIKAN tarian itu haram, tetapi TARIAN itu tidak haram. Hal ini kerana haram ataupun tidak tarian itu bergantung pada KEADAAN. Jika sepasang suami isteri melakukan tarian itu tanpa dilihat oleh lelaki lain yang bukan mahram, tidak ada salahnya tarian itu.

Fahamkan kedua-dua permasalahan ini baik-baik supaya kita tidak terkeliru.

Oleh itu, apabila seseorang ilmuwan agama menjatuhkan hukuman haram ke atas tarian tertentu, kita perhatikan dengan teliti bahagian mana yang dihukumkan haram itu:

1. Haram pada TARIAN itu.

2. Haram pada MENARIKANNYA.

HARAMKAH TARIAN?

Bergantung kepada jenis tarian.

Jika dalam tarian itu (dan dalam pelaksanaannya) tidak ada unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, tidaklah haram. Contohnya tarian perang untuk menaikkan semangat dan seni tari silat untuk membetulkan urat-urat dan otot-otot. Rasulullah dan A’ishah sendiri menonton tarian perang. Tarian sambil duduk dalam dikir barat (sebagaimana yang biasa kita lihat) juga tidak haram.

Tarian yang haram ialah tarian yang mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat, memuja makhluk halus, yang melekakan, yang berisiko tinggi untuk cedera, bercampur lelaki wanita, berlaku pendedahan aurat dan seumpamanya.

Ringkasnya, haram ataupun tidak tarian itu bergantung pada ISI tarian dan PELAKSANAANNYA. Jika isi dan pelaksanaannya tidak bertentangan dengan kehendak agama, tidaklah haram.

HARAMKAH MENARI?

Bergantung juga pada keadaan.

Beberapa contoh tidak haram menari:

1. Isteri menari untuk suaminya ataupun hamba wanita menari untuk tuannya, dengan memenuhi syarat-syarat tarian yang dibenarkan sebagaimana disebut di atas tadi.

2. Lelaki menarikan tarian yang dibenarkan.

3. Wanita menari tanpa dilihat oleh lelaki yang bukan mahram... dan lain-lain.

Beberapa contoh haram menari:

1. Menarikan tarian yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan kehendak agama Islam.

2. Menari sehingga lupa diri.

3. Wanita menari di hadapan lelaki yang bukan mahramnya.

4. Lelaki menari di depan umum dengan gaya yang tidak sopan, berunsur lucah. Wanita lebih-lebih lagilah.

5. Lelaki dan wanita bukan mahram menari beramai-ramai di suatu tempat, tak kira ramai ataupun sekadar satu pasang... dan lain-lain.

SOALAN: Haramkah Tarian Poco-poco?

JAWAPAN : Kita kena mengkaji tarian itu, ada tak unsur-unsur yang membawa kepada lalai, leka, mengandungi unsur-unsur syirik, tatacara penyembahan agama lain dan seumpamanya? Jika ada (dan sandaran kajian kita itu kukuh), haramlah hukumnya. Jika sepanjang menari itu kita masih boleh mengingati Allah, masih boleh berzikir dalam hati, tidak meniru cara penganut agama lain mengagungkan sembahan mereka, dilakukan di tempat yang sesuai dan lain-lain, silakanlah.

Saya tidak tahu jenis-jenis Tarian Poco-poco, jadi saya hukumkan Tarian Poco-poco YANG PERNAH SAYA TENGOK DI INTERNET SAHAJA (untuk menjawab persoalan ini, saya ada melayari Youtube dan melihat 3-4 video tarian ini. Tarian Poco-poco YANG SAYA TIDAK PERNAH TENGOK (yang MUNGKIN ia selaras dengan kehendak agama, dapat menaikkan rasa keinsafan, tidak mendedahkan goyangan bahagian-bahagian tubuh wanita dan lain-lain), tidaklah termasuk ke dalam hukum ini. WaAllahua’lam.

Berdasarkan Tarian Poco-poco yang saya lihat, JELAS HARAMNYA. Haram yang dimaksudkan di sini ialah dari segi PELAKSANAANNYA, bukan dari segi zat Tarian Poco-poco itu (segala geraknya itu).

Saya perhatikan, wanita-wanita menari menggerakkan badan sehingga nampak ‘gerakan cantik’ bahagian dada dan punggung dengan ditonton oleh lelaki-lelaki yang bukan mahram dengan mereka. Jelas haram! Melenggokkan sanggul bonggol unta di hadapan lelaki bukan mahram pun sudah tidak mencium bau syurga (kata Rasulullah melalui hadith riwayat Imam Muslim, bukan saya yang kata), apatah lagi MELENGGOKKAN bahagian dada dan punggung.

( Gerakan yang terjadi akibat perlakuan semula jadi manusia seperti berjalan yang mengakibatkan bergoyang bahagian-bahagian sensitif tubuh, tidaklah dihukum haram. Yang berdosa ialah apabila gerakan itu terhasil daripada perbuatan MELENGGANG-LENGGOK).

AURAT wanita dan lelaki tidak terhad kepada kulit (sebagaimana sangkaan kebanyakan orang), tetapi juga bentuk dan hiasan. Ramai yang menutup kulit, tapi tidak menutup kulit dan hiasan. Maksudnya mereka masih belum menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

SOALAN : Haramkah MENARIKAN Tarian Poco-poco?

Jika ‘confirm’ tarian itu tidak punya unsur-unsur yang bertentangan dengan kehendak agama, tentunya tidak haram kecuali kita menari sampai leka dan lalai.

Jika wanita tidak menarikannya di hadapan lelaki bukan mahram, tentulah tidak haram.

Semuanya bergantung pada ISI dan cara PELAKSANAAN tarian itu.

SOALAN : Ada orang mengatakan tarian ini adalah salah satu ritual agama segolongan penganut agama Kristian. Jadi, bagaimana hukumnya.

Jika benar begitu, tentulah haram hukumnya. Namun kita menghukum berdasarkan bukti/sandaran-sandaran kukuh. Sebelum boleh dihukumkan haram secara mutlak, perlulah dibawakan sandaran-sandaran yang kuat. Maksudnya kita ataupun sesiapa sahaja hendaklah melakukan kajian yang memadai tentang Tarian Poco-poco ini. Apabila sudah ditemui bukti yang kukuh mengatakan Tarian Poco-poco ini ialah salah

satu ritual penganut agama lain, haramlah hukumnya tarian ini dan haram menarikannya.

Jika sandarannya antara kukuh dengan tidak (maksudnya ia sudah jadi perkara syubahat), sebagai orang yang mukmin, sepatutnya kita tinggalkan. Takkanlah kita hendak kekal pada tahap muslim sahaja. Hidup di dunia sudah lama, sepatutnya sudah lama kita sudah naik ke taraf orang mukmin, yang antara ciri-cirinya ialah meninggalkan perkara-perkara syubahat.

Sekiranya sandaran yang diperolehi tidak kukuh, maka tidaklah boleh kita hukumkan TARIAN ini sebagai haram.

Sekiranya kita tidak berpeluang buat kajian dan tidak tahu pun hasil kajian orang lain, sudah semestinyalah kita meninggalkan tarian ini.

Tamsilannya... di depan anda ada segelas minuman. Banyak orang mengatakan ia beracun, tapi banyak juga yang mengatakan tidak. Anda akan meminumnya ataupun meninggalkannya?

SOALAN : Bagaimana dengan Tarian Poco-poco yang biasa dibuat pada majlis-majlis seperti yang banyak berlaku pada hari ini?

1. Jika ada percampuran penarai lelaki dan penari wanita, haram.

2. Jika yang menari itu semua wanita, tapi ada ahli majlis yang lelaki (walau seorang) dan bukan mahram dengan mana-mana seorang wanita yang menari itu (walau seorang), haram.

SOALAN : Saya memang tidak mahu menari, tetapi sukar hendak mengelakkannya kerana tuntutan pihak majikan ataupun yang setara dengannya. Bagaimana?

Saya faham situasi anda. Elaklah sedaya yang boleh, tapi sekiranya dengan mengelak itu mendatangkan kesan yang lebih buruk daripada tidak mengelak, anda ambillah bahagian (tapi di dalam hati jangan ada rasa redha). TAPI... gerakan anda hendaklah tidak melenggok. Cukup sekadar menggerakkan tangan dan melangkah, biar nampak kaku ala-ala robot.

Soalan-soalan ini berbentuk umum dan ada banyak perinciannya lagi, tapi tak laratlah kita hendak memperincikan kesemuanya.

KESIMPULANNYA

Dari segi agamanya (agama Islam), setakat hari ini jelas tarian ini banyak mengundang dan menghasilkan dosa daripada pahala. Saya tidak nampak yang ia bermanfaat untuk kita perjuangkan. Mahu kukuhkan ukhwah? Bergembira? Berhibur? Menyihatkan badan? Penuhi program kursus? Baaaanyak lagi cara lain yang selaras dengan kehendak agama yang boleh kita lakukan, tapi kita saja yang suka-suka memilih Tarian Poco-poco kerana ada ‘keseronokan’ di dalamnya.


Ini lirik lagu Poco-poco yang saya dapat. Jika beginilah liriknya, liriknya automatik 'out'.

http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/04/tarian-poco-poco-antara-halal-dan-haram.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum