Mentajdid Kuliah-kuliah Umum

View previous topic View next topic Go down

Mentajdid Kuliah-kuliah Umum

Post  Admin on Thu Jan 03, 2013 2:41 pm

PENDAHULUAN

KULIAH UMUM di masjid, surau, dewan, rumah-rumah persendirian dan sebagainya menjadi salah satu medium penting bagi masyarakat mendapatkan ilmu-ilmu agama. Kalau dahulunya kuliah-kuliah umum di kampung-kampung mendapat sambutan, beberapa puluh tahun kebelakangan ini kuliah-kuliah di bandar-bandar pula yang lebih meriah. Begitulah jalannya, seumpama ular menyusur kembali ke lubangnya. Asalnya agama Islam itu bermula dan berkembang di bandar, kini ia kembali ke bandar-bandar semula.

Selaras dengan perkembangan zaman, kuliah umum tidak terkecuali daripada dibahangi aura pentajdidan. Kuliah-kuliah umum sebaiknya ditajdidkan tanpa kita menidakkan keberkesanan kuliah-kuliah umum tradisional. Oleh itu Dakwah Tajdid Segar (dakwah tajdid sebenar) ada melontarkan beberapa saranan untuk mentajdidkan kuliah-kuliah umum tradisional di tempat-tempat yang disebutkan di atas tadi.

SARANAN-SARANAN

Antara saranannya, kuliah-kuliah umum :
1. Hendaklah boleh diulang dengar/tonton oleh pelajar sama ada melalui rakaman audio, video, internet atau lain-lain. Pengulangan akan memantapkan ingatan dan pemahaman pelajar tentang isi satu-satu kuliah itu.
2. Hendaklah ada ruang interaksi antara pengajar dengan pelajar selepas tamat sesuatu kuliah. Ruang antara satu kuliah dengan kuliah akan datang tidak sepatutnya kosong. Pelajar hendaklah diberi peluang untuk bersoal-jawab dengan pelajar dalam tempoh itu melalui media seperti internet, telefon, surat atau sebagainya.
3. Hendaklah ada sistem penilaian sekalipun ringkas. Hal ini supaya guru dapat menilai sejauhmana keberkesanannya mengajar dan merangka tindakan susulan. Bagi pelajar pula, dapat menilai sejauhmana keupayaan diri menangkap segala isi pelajaran yang disampaikan oleh guru lalu membuat pembaikan.
4. Hendaklah membolehkan pelajar menyambung pelajarannya tidak kira ke mana ia pergi, di mana ia berada dan selama mana ia ke sana. Terputus pembelajaran atau belajar sekerat jalan hendaklah dielakkan.

PENJELASAN

Sebenarnya idea/saranan ini sudah lama, tapi oleh kerana saya belum mencontohkannya, tak sedaplah bercakap kosong. Hendak bercakap biarlah yang bercakap itu sudah mengamalkannya, barulah kemas percakapannya itu. Hal ini bukanlah satu kemestian. Sesiapa yang ada saranan yang bagus, boleh sahaja melontarkannya terus, cuma hati berasa kurang sedap jika berbuat begitu.

Kita biasa mendengar kisah seorang hamba meminta agar seorang imam memperkatakan kelebihan-kelebihan memerdekakan hamba dalam khutbah Jumaatnya, dengan harapan agar dia akan dimerdekakan oleh tuannya. Beberapa kali Jumaat kemudian barulah si imam menyebutnya dalam khutbah. Si hamba berasa hairan, mengapa begitu lama masa yang diambil oleh si imam untuk memperkatakannya? Dia pun bertanya kepada si imam. Jelas si imam, dia memperkatakan hal itu dalam khutbah hanya setelah dia sendiri memerdekakan hamba tidak lama sebelum itu. Dia tidak selesa memperkatakan sesuatu yang tidak/belum dibuatnya.

Samalah halnya dengan saya. Sekarang kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sudah memiliki saranan-saranan yang dinyatakan, maka selesalah untuk saya berkongsi dengan para pembaca. Sebenarnya banyak lagi saranan-saranan pentajdidan yang dibincangkan dalam Dakwah Tajdid Segar (dakwah tajdid sebenar), namun terpaksa dipendamkan sehinggalah saya atau para sahabat sudah mengamalkannya.

CONTOH-CONTOH

Jadi untuk lebih memahamkan, kita ambil contoh kuliah umum Ihya’ ‘Ulumiddin (sebagai contoh kuliah umum yang sudah ditajdidkan) dan dibandingkan dengan kuliah umum biasa.

KULIAH UMUM IHYA’ ‘ULUMIDDIN : Mereka yang hadir ke kuliah, selepas kuliah boleh mengulang dengar/tonton keseluruhan isi kuliah di internet seberapa kali yang mereka mahu, sampai betul-betul puas dan faham. Ingatan dan pemahaman terhadap isi kuliah boleh dipertingkatkan lagi pada bila-bila masa, asalkan punya kemudahan internet.
KULIAH UMUM BIASA : Biasanya tidak boleh mengulang dengar/tonton kuliah pada hari itu. Sekali itulah mendengarnya. Ingatan dan pemahaman terhadap isi kuliah sangat terhad.

KULIAH IHYA’ : Mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah sama ada kerana ada urusan lain, terlupa, terlewat, tinggal jauh dan sebagainya masih boleh mengulang dengar/tonton di internet seberapa kali yang mahu sehingga betul-betul faham. Dengan sedikit usaha, tidak akan ada kuliah yang terlepas.
KULIAH BIASA : Mereka yang tidak berada dalam majlis itu, biasanya akan terlepaslah kuliah kali itu selama-lamanya. Tiada ulangan lagi.

KULIAH IHYA’ : Selepas kuliah, masih boleh berinteraksi dengan guru melalui e-mel, Facebook, forum-forum dan seumpamanya (sekadar keluangan masa guru). Apa yang tidak difahami, kurang jelas, gagal mencapai objektif dan seumpamanya, masih boleh dipertingkatkan.
KULIAH BIASA : Selepas kuliah, hubungan dengan guru biasanya terputus terus. Tidak ada ruang untuk bersoal-jawab dengan guru lagi. Sekiranya guru datang sebulan sekali, alamatnya bulan depan pulalah dapat bertanya kepada guru. Itu pun ruangnya sangat terhad kerana si guru tidak punya banyak masa untuk kita.

KULIAH IHYA’ : Ada sistem penilaian berupa peperiksaan bertulis tentang isi kuliah yang sudah dilalui (bukan wajib/tidak mesti). Pelajar yang mahu menilai pemahaman diri tentang isi kuliah yang sudah dilalui/ kitab Ihya’, digalakkan menjawab soalan-soalan peperiksaan. Soalan boleh diminta dari guru atau muat turun dari internet. Jawapan boleh dihantar secara bersemuka atau melalui internet. Guru akan memeriksa (sekadar keluangan masa guru) lalu memberikan markahnya.
KULIAH BIASA : Biasanya tidak ada sistem penilaian. Guru hanya mengajar dan pelajar hanya belajar dalam majlis. Guru kurang tahu sejauhmana pengajaran dan pembelajarannya berkesan. Pelajar juga kurang tahu sejauhmana kuliah-kuliah yang dilalui diingati, difahami dan bermanfaat buat diri mereka.

KULIAH IHYA’ : Pelajar boleh terus menyambung pelajaran mereka di mana sahaja di seluruh dunia ini, selagi ada perkhidmatan internet. Pelajaran tidak akan terputus walaupun si pelajar pergi/berhijrah ke luar negara, sakit dan tidak dapat keluar rumah, berpindah jauh dari tempat guru mengajar atau lain-lain. Tidak timbul masalah belajar berpuluh buah kitab tetapi semuanya suku jalan.
KULIAH BIASA : Sebagai contoh, selepas mengikuti pengajian kitab Ihya’ selama 2 tahun, tiba-tiba si pelajar pergi sambung pelajaran ke United Kingdom. Hal ini bermaksud terputuslah pelajarannya itu. Tidak ada peluang untuk terus mengikuti pengajian itu. Apabila dia pulang ke Malaysia tiga tahun selepas itu, si guru tak akan mengulang pelajaran selama 3 tahun yang tertinggal itu. Rugilah selama 3 tahun, tanpa ulangan.


Begitulah perbezaan kuliah umum yang sudah ditajdidkan berbanding kuliah umum tradisional.

TAMBAHAN

Selain itu, kuliah syarah Ihya’ ‘Ulumiddin juga mempunyai beberapa kelebihan lain.

KULIAH IHYA’ : Kitab disyarahkan secara lisan. Kemudian syarahan lisan itu ditekskan. Selepas itu, teks syarahan itu disyarahkan lagi (syarah kepada syarah, dengan lebih mendalam dan panjang)) dalam bentuk tulisan dan dimuatkan ke laman Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin. Maksudnya, kitab itu disyarahkan dua kali dua tahap. Syarah atas syarah. Pelajar yang berminat boleh lebih mendalaminya secara kendiri.
KULIAH BIASA : Sesuatu kitab itu disyarahkan oleh guru dalam majlis……. setakat itu sahaja. Biasanya isi kuliah tidak ditekskan. Syarahan lanjutan juga memang tidak ada.

KULIAH IHYA’ : Kuliah diadakan hampir setiap minggu, atau sekurang-kurangnya 3 kali sebulan. Maksudnya jarak antara satu kuliah ke satu kuliah tidak jauh. Ingatan dan pemahaman para pelajar lebih berkesinambungan.
KULIAH BIASA : Biasanya kuliah sebulan sekali. Ingatan dan pemahaman pelajar terhadap isi kuliah bulan lepas sudah banyak yang terkikis. Jika bernasib baik, dapatlah kuliah 2 minggu sekali.

PENUTUP

Kesimpulannya, kuliah-kuliah umum (yang bukan kuliah umum tidak termasuk dalam tulisan ini) yang ditajdidkan sememangnya lebih berkesan kepada guru dan pelajar. Diharapkan akan semakin banyaklah kuliah-kuliah umum yang ditajdidkan dari semasa ke semasa. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita dunia dan akhirat. WaAllahu’alam.

Abu Zulfiqar
1 MEI 2012

http://alexanderwathern.blogspot.com/2012/05/mentajdid-kuliah-kuliah-umum.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum