MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Kerajaan Sulaiman dan Balqis di Alam Melayu?

Go down

Kerajaan Sulaiman dan Balqis di Alam Melayu? Empty Kerajaan Sulaiman dan Balqis di Alam Melayu?

Post  Admin Sun Dec 09, 2012 4:29 pm

TULISAN SAHABAT :

Kalau dalam sejarah Nusantara ada nama Brahma / Brahmin dan Saraswati... Kerajaan Balqis kemungkinan besar berada d alam Melayu... Pantai Saba dan banyak lagi... serta bangsa Bugis dikaitkan dengan zuriat Ratu Balqis... dan tentera laut Garuda dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada kemungkinan angkatan laut Ratu Balqis...

Mengikut kajian terbaru, Candi Borobodor adalah istana Nabi Sulaiman... dan ada pulau di kawasan Nusantara bernama Solomon Island... Ukiran di Candi Borobodor ada menceritakan tentang burung hud-hud...

PERKONGSIAN SAYA :

‘Puzzle-puzzle’ awal yang tuan berikan memang menarik. Tidak mustahil ada kebenarannya, namun begitu kita perlukan sangat banyak maklumat lagI sebelum dapat mengesahkannya. Saya kongsikan maklumat-maklumat yang saya ada, yang mungkin dapat membantu kajian tuan.

BRAHMA

Brahma ialah salah satu daripada 3 dewa utama (bukan manusia tetapi Tuhan itu sendiri) penganut agama Veda, yang kemudiannya lebih dipandang sebagai agama Hindu. 2 lagi dewa utama ialah Vishnu dan Siva. Ketiga-tiganya satu peribadi yang ‘bersekutu’ dalam Trimurti. Nampak macam ada persamaan dengan Triniti dalam ajaran Kristian tapi sebenarnya berbeza.

Brahmin pula ialah para sami agama Veda, merupakan kasta tertinggi. Sementara Brahman ialah Tuhan sebenar yang kemudiannya dikenali sebagai Trimurti (Barahma, Vishnu, Siva) berdasarkan pekerjaan yang dilakukannya.

Kata tuan : “dalam sejarah Nusantara ada nama Brahma / Brahmin dan Saraswati.” Ada tak sumber-sumber berkaitan yang boleh kita lihat sama-sama?

SARASWATI

Ketiga-tiga Brahma, Vishnu dan Siva punya isteri, atau lebih tepat lagi disebut shakti. Saraswati ialah shakti kepada Brahma.

Persamaan sebutan menyebabkan sebahagian orang mengaitkan Brahman dan Saraswati dengan Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah.

RATU BALQIS

Dipercayai pemerintah Kerajaan Saba’ (Sheba) di Yaman. Kemudiannya menjadi isteri kepada Nabi Sulaiman. Namun Al-Quran, hadith dan Bible tidak menyebut nama Balqis (setakat pengetahuan saya ketika ini). Nama itu datang dari cerita mulut ke mulut. Jika benar, maksudnya Balqis hidup sekitar 1000-900 Sebelum Masehi, sezaman dengan Nabi Sulaiman.

Berdasarkan zaman 1000-900 SM ini, kita boleh menyiasat keadaan di Nusantara ketika itu dan mencari perkaitannya dengan Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis sekiranya ada.

PANTAI SABA

Setahu saya Pantai Saba berlokasi di Pulau Bali. Pantai Sabak pula di Kelantan, namanya diambil sempena nama seorang petani yang mengasaskannya iaitu Tok Sabak. Mungkin ada tempat-tempat lain dengan nama yang sama.

BUGIS

Ada keserasian bunyi antara ‘Bugis’ dengan ‘Balqis’, namun itu bukanlah hujah yang kukuh buat masa ini. Kalau tidak salah saya, kitab Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji (tokoh Bugis) bermula dengan kisah Puteri Balqis, menampakkan kaitan Bugis dengan Balqis. Namun begitu, kitab epik yang lebih tua daripada kitab Mahabrata iaitu La Goligo yang berkait rapat dengan bangsa Bugis memulakan penceritaannya sejak awal penciptaan dunia. Dipercayai Raja Ali Haji banyak memetik daripada kitab La Goligo tetapi entah mengapa dia memulakan kitabnya dengan kisah Puteri Balqis. Mungkin ada kaitan antara Bugis dengan Balqis.

MERONG MAHAWANGSA

Hikayat ini meletakkan Raja Merong Mahawangsa/Mahabangsa sezaman dengan Nabi Sulaiman. Bahagian ini sangat kucar-kacir kerana Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis hidup sekitar 1000-900 Sebelum Masehi sedangkan berdasarkan kronologi salasilah raja-raja Kedah, Raja Merong Mahawangsa hidup sekitar 1000 Masehi. Ada perbezaan jarak sebesar lebih kurang 2,000 tahun.

Sumber-sumber China pula mengatakan memang sudah ada kerajaan di sekitar Kedah yang dikenali sebagai Langkasuka sebelum zaman Merong Mahawangsa, namun paling awal pun ia diasaskan sekitar 100 Masehi. Masih berjarak 1,000 tahun dengan zaman Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.

GARUDA DALAM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Garuda dipercayai tinggal di Langkawi. Dia mendapat tahu Putera dari Rom dalam perjalanan hendak berkahwin dengan puteri dari China. Entah mengapa Garuda hendak menghalang perkahwinan ini, namun dia menghadap Nabi Sulaiman terlebih dahulu untuk memohon kebenaran menyerang.

Sekiranya Garuda ialah Ratu Balqis dan tenteranya, hal ini bermaksud peristiwa ini berlaku selepas perkahwinannya dengan Nabi Sulaiman. Mustahil sebelum berkahwin kerana sebelum berkahwin mereka saling tidak mengenali.

Antara kemungkinannya, tentera Balqis cuba menghalang perhubungan antara Rom dengan China kerana hubungan dua kuasa besar ini akan menggugat empayar Nabi Sulaiman-Balqis yang berada di tengah-tengah. Sekadar kemungkinan.

Garuda pergi ke negara China dan berhasil menculik puteri China. Maksudnya pemimpin dan tentera Garuda ini sangat aktif di lautan kerana dengan mudah berulang alik ke Palestin, Nusantara dan China. Cuma kisah armada Rom belayar ke Timur agak mustahil berlaku pada era Nabi Sulaiman (sekitar 1000-900 Sebelum Masehi) kerana orang Eropah hanya menemui jalan laut ke Timur sekitar 1500 Masehi. Ada jarak sekitar 2,500 tahun di situ.

Garuda yang gagal dalam misinya membuang diri meninggalkan dunia ini. Adakah dia pergi jauh dan berkerajaan di Sulawesi, atau Jawa, atau Kepualauan Solomon, atau tempat-tempat lain? Boleh jadi.

CANDI BOROBUDUR

Tulisan/aksara yang dipahat/diukir pada candi ini bersesuaian dengan tulisan yang popular sekitar tahun 700-800 Masehi. Jadi para pengkaji cenderung mengatakan ia dibina sekitar waktu itu, bersesuaian dengan zaman Kerajaan Sailendra. Antara zaman Borobudur dengan zaman Nabi Sulaiman, berbeza lebih 1,600 tahun. Lagi pula di kemuncak Candi Borobudur terdapat binaan loceng-loceng besar yang berkaitan dengan agama Buddha sejak awal lagi. Jadi buat masa ini, mungkin belum cukup maklumat untuk saya mengaitkan Borobudur sebagai istana Nabi Sulaiman ataupun Balqis. Binaan Haikal Sulaiman juga nampaknya berbeza dengan binaan Borobudur. Ukiran-ukiran manusia di situ ada yang menceritakan tentang riwayat hidup Gautama Buddha.

SOLOMON ISLAND

Jika diterjemahkan akan menjadi “Pulau-Pulau Sulaiman”. Nama ini dipercayai datang kemudian, sekitar tahun 1500-an apabila orang-orang Barat menjalankan misi mencari lombong emas Nabi Sulaiman. Mereka menamakan gugusan kepulauan ini sebagai Solomon’s Island. Setahu kita, mereka tidak menemui benda-benda berharga di kepulauan ini tetapi tak tahulah kalau-kalau ada cerita yang mereka sembunyikan. Kcenderungan ini menunjukkan orang-orang Barat pun sebahagiannya percaya bahawa empayar Nabi Sulaiman melebar sehingga ke Nusantara. WaAllahua’lam.

Ada beberapa lagi perkaitan antara Nabi Sulaiman, Ratu Balqis, istana, Candi Borobudur, Majapahit dan lain-lain yang sering kita jumpa di internet, tapi saya tidak menyentuhnya di sini. Saya sekadar memberikan perkongsian ke atas perkara-perkara yang tuan sebut, itupun sekadarnya sahaja.

Abu Zulfiqar

13 November 2011

*Saya terlupa menanggap tentang burung hud-hud. Sefaham saya, tidak ada ukiran yang jelas menggambarkan peristiwa burung hud-hud kerana terdapat pelbagai jenis burung yang diukir di Candi Boribudur.

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/11/kerajaan-sulaiman-dan-balqis-di-alam.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum