Nabi Isa, Ruh, Jiwa, Zat Allah, Qalb, 'Arasy

View previous topic View next topic Go down

Nabi Isa, Ruh, Jiwa, Zat Allah, Qalb, 'Arasy

Post  Admin on Sun Dec 09, 2012 5:47 pm

SAHABAT MENULIS :
Salam Ustaz..
Minta maaf kerana persoalan saya menganggu ustaz.Saya hanyalah pelajar baru yang mengikuti pelajaran tasawuf dan masih banyak persoalan tentang kehidupan. Minta ustaz perbetulkan saya andai tersalah dari syariat Islam..

ABU ZULFIQAR :
Wlksm tuan,
Sebenarnya tuan tidak mengganggu saya pun, kerana memang minat saya mengkaji. Kita sama sahaja, masing-masing sedang belajar. Jadi kita di sini berkongsi maklumat untuk menambahkan pengetahuan dan keimanan, insya-Allah.


SAHABAT MENULIS :
Izinkan saya menambah pendapat saya di persoalan ustaz. Bagi saya, memang Nabi Isa as telah naik ke hadrat Ilahi, akan tetapi apa yang naik? Jasadnya atau rohnya?

ABU ZULFIQAR :
Ayat yang berkaitan dengan hal ini ialah :
“Ketika Allah berfirman : “Wahai Isa! Aku mengambilmu (MUTAWAFFIIKA) dan Aku mengangkatmu (RAAFI’UKA) kepada-Ku, dan menyucikanmu daripada orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikutimu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat. Kemudian kepada-Ku engkau kembali (MARJI’UKUM), lalu Aku beri keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan.” (Ali Imran : 55)

Yang diangkat (RAAFI’UKA) ialah jasad Nabi Isa, sedangkan jiwanya ‘DIPEGANG’ oleh Allah SWT (MUTAWAFFIIKA). Tentang rohnya, saya tidak tahu kerana persoalan ruh ini sangat rumit untuk diperkatakan.

Firman Tuhan :
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah : “Ruh itu dari perintah Rabbku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.” (Al-Isra’ : 85)

Ketika kita tidur, jiwa kita ‘dipegang’ Allah tapi badan kita masih bernyawa. Maksudnya pada badan kita yang sedang lena itu masih ada ruh walaupun jiwa sudah ‘dipegang’ oleh Allah.

Buktinya :
“Allah mengambil jiwa (YATAWAFFA) seseorang ketika matinya dan (juga kepada seseorang) yang belum mati (iaitu) ketika tidurnya, maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan jiwa yang lain (yang belum sampai waktu kematiannya) sehinggalah waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda Allah bagi kaum yang berfikir.” (Az-Zumar : 42)

“Dan Dialah yang menidurkan kamu (YATAWAFFAAKUM) pada malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian DIA MEMBANGUNKAN KAMU PADA SIANG HARI untuk disempurnakan umur kamu yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nya tempat kamu kembali (MARJI’UKUM), lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-An’am ; 60)

Kedua-dua ayat di atas menunjukkan ketika kita tidur, jiwa kita diambil/dipegang Tuhan. Sungguhpun jiwa kita sedang diambil/dipegang oleh Tuhan, tapi jasad kita yang sedang lena masih bernyawa, masih ada ruh.
Hujah mengatakan jasadnya yang diangkat kepada Tuhan boleh disemak semula dalam tulisan saya bertajuk “Naser, Jasad Nabi Isa Bukan di Yaman” http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nasser-jasad-nabi-isa-bukan-di-yaman.html .

Untuk memahami perbezaan antara RUH dan JIWA (NAFS), boleh rujuk semula tulisan saya bertajuk “Perbezaan Antara Roh dan Jiwa” http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/perbezaan-antara-roh-dan-jiwa.html .


SAHABAT MENULIS :
Pada setiap manusia ada Dzat Allah swt iaitu ROH, kerana telah dicampakkan sewaktu kejadian Adam as. Maka, sudah tentu yang kembali kepadaNya adalah roh Nabi Isa. Namun, tidaklah menyatakan jasad itu bukan dari Allah swt, akan tetapi penciptaanNya sudah tidak secara langsung berbanding ROH ALLAH yang dicampakkan terus ke jasad Adam as.

ABU ZULFIQAR :
Pada setiap manusia tidak ada Zat Allah, kerana Zat Allah dan zat manusia (dan zat semua makhluk) saling berlawanan. Zat Allah tidak bersentuh dengan zat manusia, tetapi tidak juga terpisah. Kata ulama dulu-dulu, tidak bersekutu tidak bercerai. Ruh bukan Zat Allah. Zat Allah juga bukan ruh.

Bukti mengatakan Zat Allah tidak sama dengan zat manusia ialah :
“Tidak ada suatu apa apapun yang serupa dengan-Nya.” (Asy-Syura : 11)

“Tidak ada suatu pun yang sekufu/setanding/semacam dengan-Nya.” (Al-Ikhlass : 4)

Jika kita menganggap roh itu Zat Allah, maka kita mesti berabdi dan menyembah roh sebagai Tuhan juga, kita mesti berIlahkan roh. Namun kita sedia tahu, roh bukan Tuhan, bukan Ilah, bukan Rabb. Sebab itu kita tidak menganggap roh sebagai Tuhan. Tuhan ialah Allah SWT, sedangkan roh bukan Tuhan, bukan Allah SWT.

Jika pada diri manusia ada Zat Allah, maka manusia juga sepatutnya dinobatkan sebagai Allah. Tapi kita tahu hal itu tidak berlaku. Mustahil untuk Zat Tuhan bersekutu dengan makhluk.

Ruh Nabi Isa juga belum KEMBALI (IRJA’) kepada Allah, kerana KEMBALI kepada Allah (IRJA’) hanya berlaku selepas Yaumul Qiyamah (Hari Kiamat) iaitu Hari Kebangkitan Semula di akhirat sana. Mati atau meninggal dunia disebut ‘MAUT’, bukannya IRJA’.

Bukti mengatakan KEMBALI (RAJA’A) hanya berlaku selepas hari kehancuran :
“Bagaimana kamu engkar kepada Allah, padahal kamu (asalnya) mati (iaitu sebelum kita dilahirkan), lalu Dia menghidupkan kamu (di dunia), kemudian Dia mematikan kamu (meninggal dunia), lalu Dia menghidupkan kamu kembali (pada hari akhirat). KEMUDIAN kepada-Nyalah kamu dikembalikan (TURJA’UN, dari perkataan IRJA’).” (Al-Baqarah : 28)

Selepas kita dihidupkan kembali di alam akhirat, barulah kemudiannya kita KEMBALI (IRJA’/TURJA’UN). Oleh Itu, Nabi Isa belum KEMBALI kepada Allah. Ruhnya belum kembali kepada Allah.

Bukti mengatakan mati/meninggal dunia menggunakan kalimah ‘MAUT’ :
“Dan mereka (orang-orang Yahudi) tidak akan mengharapkan MAUT (KEMATIAN) itu selamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan sendiri.” (Al-Jumu’ah : 7)

“Bagaimana kamu engkar kepada Allah, padahal kamu (asalnya) mati (iaitu sebelum kita dilahirkan), lalu Dia menghidupkan kamu (di dunia), kemudian Dia mematikan kamu (YUMIITUKUM, daripada perkataan MAUT), lalu Dia menghidupkan kamu kembali (pada hari akhirat). Kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Al-Baqarah : 28)

Di sini kita perhatikan terdapat perbezaan antara MAUT dengan KEMBALI KEPADA ALLAH. Kesimpulannya, ruh Nabi Isa belum kembali kepada Allah.


SAHABAT MENULIS :
Dan ke 2 adalah mana mungkin Allah swt mencipta 'rule' atau ketetapan bahawa jasad manusia tempatnya di bumi akan menidakkan dengan membenarkan jasad manusia keluar dari ketetapan itu. Contohnya orang ke bulan tanpa memakai sut untuk ke sana.. pasti hancurlah jasad itu kerana tekanan vakum di atas sana..

ABU ZULFIQAR :
Tentang kesesuaian jasad manusia di langit, hal itu tidak menjadi masalah kerana jasad Nabi Muhammad melewati ketujuh-tujuh langit dalam peristiwa Mi’raaj. Nabi Adam dan Hawa pun sebelum turun ke planet bumi, jasad mereka tidak mengalami sebarang masalah. Seandainya benar pulalah kisah Nabi Idris ‘diangkat’ ke langit dalam keadaan jaga, hal itu juga menjadi bukti tidak rosaknya jasad manusia di luar planet bumi.

Lagi pun Allah berkuasa memelihara jasad mana-mana makhluk di mana sahaja. Sefaham kita, apabila jasad manusia dikebumikan di dalam tanah, akan hancurlah jasad itu akibat tanah dan makhluk-makhluk di dalamnya. Tapi kan selalu kita terdengar jasad manusia yang soleh-soleh tidak rosak akibat tanah dan haiwan-haiwan di dalamnya itu? Jika di dalam tanah yang mengahancurkan pun jasad sebahagian manusia tidak rosak, maka di tempat selain palent bumi pun jasad manusia boleh tidak rosak, atas izin Allah. Maksudnya ketentuan Allah yang tuan maksudkan itu boleh kita pertikaikan dan buat penyelidikan lanjut lagi.


SAHABAT MENULIS :
Namun, Ia juga tidak mustahil kerana oleh kerana Allah swt itu boleh ada di mana-mana, mungkin bumi ini adalah syurga dan neraka..dan Nabi Isa as diletakkan di sampingNya di bumi kerana Allah swt itu lebih hampir dengan manusia lebih dari urat leher manusia dan lebih hampir dari hati manusia. Maka jikalau manusia dibumi, pastilah Allah swt ada di sini...penciptaan Adam as juga di sini..Iblis juga di sini..dan para malaikat juga di sini..juga Arash Allah swt juga di sini..

ABU ZULFIQAR :
Zat Allah SWT tidak boleh berada di mana-mana. Hal ini kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat, lokasi, posisi dan tidak terpengaruh dengan “di mana-mana”. Sebelum adanya tempat, lokasi dan posisi, ZatNya sudah sedia ada. Sebelum ada langit dan bumi, ZatNya sudah sedia ada, tanpa dipengaruhi oleh apa-apa makhluk termasuklah langit dan bumi.

Imam Al-Ghazali berkata dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Maha Suci Dia daripada dipengaruhi oleh tempat, sebagaimana Maha Suci Dia daripada dibataskan oleh waktu. Tetapi adalah Dia sebelum dijadikan zaman dan tempat.”

Selepas Dia menciptakan makhluk termasuklah tempat, lokasi dan posisi, ZatNya masih seperti dulu juga, langsung tidak mengalami sebarang perubahan. Jika ZatNya pernah mengalami walau sekelumit perubahan, bermaksud dia bukan Tuhan. Allah tidak terpengaruh dengan perubahan. Oleh itu, Allah tidak berada di mana-mana. Yang tepatnya, Allah tidak terpengaruh dengan tempat. Oleh itu juga, Allah tidak berada di planet bumi.

Firman Tuhan :
“Segala sesuatu pasti binasa melainkan Wajah Allah.” (Al-Qasas : 88)
‘Binasa’ akan berlaku selepas berlakunya perubahan. Apabila berlaku perubahan barulah boleh binasa, padahal Zat Allah tidak terpengaruh dengan perubahan.

Imam Al-Ghazali mengatakan dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Dia Maha Suci daripada perubahan dan perpindahan.”

Hasan Al-Banna dalam Allah Dan Aqidah Islamiyyah pula berkata :
“Maka sifat berjisim itu ternafi daripada Allah kerana benda itu berubah-ubah, sedangkan Al-Khaliq jauh sekali daripada sifat-sifat berubah.”

Hampirnya Allah dengan urat leher kita, tidaklah sama dengan hampirnya makhluk dengan makhluk. Contoh hampir sesama makhluk : pen di sebelah buku. Ya, itu hampir dari segi tempat dan jasad kerana kedua-duanya berjisim. Maksudnya kedua-dua benda itu rapat dari segi jarak dan jasad. Tapi hampirnya Allah dengan urat leher tidak boleh kita samakan dengan hampirnya sesama makhluk. Hal ini kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat dan lokasi, ZatNya tidak terpengaruh dengan jisim. Ia tidak membawa maksud Zat Allah ada di dalam tengkuk kita. Apa sahaja yang hampir ataupun berada di dalam tengkuk/leher kita, itu ialah makhluk, kerana Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat termasuklah leher manusia.

Imam Al-Ghazali menulis dalam Ihya’ ‘Ulumiddin :
“(Zat Allah) tidak menyerupai kehampiranNya dengan kehampiran di antara tubuh-tubuh.”

Bercakap tentang hati manusia, kita kena pastikan, ‘hati’ yang manakah yang dimaksudkan? Ada dua jenis hati :
1. QALB Iaitu hati berupa daging jantung yang berada di dalam rongga dada manusia, yang mengalir keluar masuk darah di dalamnya dan mempunyai salur-salur. Jantung ini boleh dilihat, dipegang, dipotong dan dimusnahkan.
2. QALB Iaitu hati yang berkaitan dengan ruh, akal fikiran, perasaan, jiwa, kalbu dan seumpamanya. Hati jenis ini tidak boleh dilihat, dijamah, dipotong dan dihancurkan.

Mengapa saya menyamakan hati dengan daging jantung dan bukannya daging hati? Kerana kekeliruan tafsiran bahasa Melayu tentang istilah ‘hati’ dalam bahasa Arab iaitu QALB. Apabila berbicara tentang PERASAAN/KALBU, Al-Quran dan hadith menyebutnya sebagai QALB.

Contoh mudah, orang Arab mengatakan : “QALB aku sakit melihat perangai jahat budak itu.”
Apabila diterjemah ke bahasa Melayu sepatutnya ia berbunyi : “JANTUNG aku sakit melihat perangai jahat budak itu.” Hal ini kerana QALB ialah JANTUNG, bukannya HATI.
Tapi apabila ayat di atas diubah ke bahasa Melayu, orang Melayu menyebutnya sebagai : “HATI aku sakit melihat perangai jahat budak itu.” Di situlah terubahnya istilah yang sebenar.

QALB ialah JANTUNG. Untuk hati, bahasa Arab menyebutnya sebagai KABID. Sebab itulah saya menyamakan hati dengan jantung, bukannya dengan daging hati.

Bukti kata-kata saya ini ialah sebuah hadith :
“Seseungguhnya di dalam jasad ada seketul daging, apabila (ia) baik nescaya baiklah seluruh jasad, dan apabila (ia) jahat nescaya jahatlah seluruh jasad.” Ketahuilah, itulah QALB.” (Bukhari dan Muslim)

QALB dalam hadith ini ada dua jenis :
1. QALB berupa daging jantung. Kalau jantung sudah rosak atau lemah, rosaklah atau lemahlah seluruh anggota.
2. QALB berupa perasaan, nurani, akal, fikiran dan seumpamanya. Jika yang ini rosak/jahat, maka rosak’jahat jugalah seluruh anggota badan.

Dari segi bahasa Arab, QALB ialah jantung. Tapi dari segi bahasa Melayu, QALB itu diterjemah sebagai hati.

Memang manusia ada di bumi, tetapi Zat Allah tidak ada di bumi. Kita kembali kepada persoalan usul, iaitu Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat termausuklah planet bumi. Apa sahaja yang terpengaruh dengan tempat, itu bukanlah Tuhan, bukanlah Allah. Jadi, Zat Allah tidak berada di planet bumi.

Iblis memang berada di planet bumi. Para malaikat pula, mereka berada di merata tempat, bukan di planet bumi sahaja tetapi di seluruh alam semesta.

Tentang arasy Allah, ia merupakan benteng pemisah antara alam makhluk dengan zat Allah SWT. Oleh itu antara pengertian yang sesuai untuk arasy Allah ialah ‘lapisan’ paling luar bagi seluruh alam semesta ini. Contohnya, katakanlah seluruh alam makhluk ini berbentuk bulat (di dalamnyalah 7 petala langit, bumi dan semua yang lain-lain), maka ‘lapisan’ paling luar itulah arasy Allah. Ada juga orang beranggapan arasy Allah itu ialah seluruh alam makhluk ini. Perkataan ini juga ada benarnya kerana seluruh alam makhluk inilah pembatas/benteng antara Zat Allah dengan zat selain Allah. Juga dikatakan arasy Allah itu meliputi seluruh alam makhluk. Wallahua’lam. Oleh itu, Zat Allah tidak berada di planet bumi. Apa sahaja yang bertempat di planet bumi, ialah makhluk.


SAHABAT MENULIS :
Contoh: Arash Allah swt ada lapan malaikat yang mengangkatnya..maka, jikalau bumi itu Arash Allah swt, 8 planet lainnya mungkin malaikat kerana planet ini tugasnya menstabilkan bumi..ini sebagai contoh..kalau ada yang musykil, saya terima dengan rendah hati..

ABU ZULFIQAR :
Yang pertama – Planet bumi bukanlah ‘arasy Allah, kerana ‘arasy ialah ‘pembatas/benteng’ antara Zat Allah dengan zat makhluk, sekaligus merupakan ‘singgahsana’ bagai Zat Allah. Hal ini sudah diperkatakan di atas tadi.

Yang kedua - Planet-planet bukanlah para malaikat dan para malaikat juga bukan planet-planet. Tapi memang ada malaikat yang bertugas ke atas planet-planet itu. Planet-planet boleh dilihat dengan mata kasar, diteropong, diambil gambar dan divideokan. Tapi kepada para malaikat tidak boleh. Planet-planet berasal daripada benda-benda maujud yang boleh dipegang. Para malaikat berasal daripada nur.

Kata Nabi Muhammad saw :
“Malaikat diciptakan daripada nur, dan jin diciptakan daripada nyala api, dan Adam diciptakan daripada sesuatu yang sudha disebutkan kepada kamu.” (Muslim)

Yang ketiga – Jumlah planet kalau dipandang dari sudut sains adalah tidak tetap. Para pengkaji sentiasa berselisih pandangan tentang bilangan planet. Dari sudut maklumat dalam Al-Quran pula, dalam mimpinya Nabi Yusuf melihat 11 buah planet. Jika dicampur dengan dirinya sendiri, akan jadi 12 buah planet.

Buktinya :
“(Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada bapanya : “Wahai bapaku! Sesungguhnya aku (bermimpi) melihat sebelas KAUKAB (PLANET), matahari dan bulan. Kulihat semuanya bersujud kepadaku.” (Yusuf : 4)

Yang keempat – Cerita tentang 8 malaikat penanggung ‘arasy itu yang saya temui dalam Quran, berlaku selepas Hari Kehancuran, iaitu pada Hari Kebangkitan (Yaumul Qiyamah). Maka pada hari ini tidak sesuailah untuk kita kaitkan planet-planet itu dengan lapan malaikat penanggung ‘arasy, apatah lagi jika kita mahu kaitkan dengan 8 planet.

Buktinya :
“Maka pada saat itu berlakulah AL-WAAQI’AH (hari kehancuran).Dan terbelahlah langit, lalu jadilah ia ketika itu rapuh. Sedang malaikat-malaikat mengawal segala penjurunya, dan ‘arasy Rabbmu pada hari itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat itu.” (Al-Haaqah : 15-17)

Kesimpulannya, 8 planet itu tidak sesuai untuk kita kaitkan dengan para malaikat penanggung ‘arasy.


SAHABAT MENULIS :
Maka persoalan disini:-
1.Siapakah yang jasadnya diserupakan Allah swt dengan Isa as?

ABU ZULFIQAR :
Sehingga kini saya belum dapat keputusan yang kuat tentang identiti individu yang diserupakan dengan Nabi Isa. Ada beberapa calon tetapi hasil kajian saya belum memungkinkan untuk saya memilih mana-mana satu calon. Tapi calon yang popular diperkatakan orang ialah Judas yang mengkhianati Nabi Isa. Wallahua’lam.


SAHABAT MENULIS :
2.Jikalau jasad Isa as diganti, dimanakah ditanamnya jasad sebenar Nabi Isa as itu? ini menyamai saranan Imam Mahdi celup dan orang Syiah yang telah ustaz bahaskan.

ABU ZULFIQAR :
Berdasarkan kajian saya yang faqir ini setakat ini, jasad Nabi Isa diangkat kepada Allah. Jasadnya tidak ditanam di mana-mana tempat di muka bumi ini. Jasadnya tidak berada di planet bumi.


SAHABAT MENULIS :
3.Oleh kerana jasad tidak boleh dibawa keluar bumi,maka, pendapat saya ialah Rohnya Nabi Isa as telah dipegang oleh Allah swt dan dibawa kehadratnya melalui tidur, manakala jasadnya telah diisi dengan roh seseorang. Seperti filem Freaky Friday. Ini saya tidak pasti dan diharap ustaz boleh menghuraikan samada pendapat saya ini benar atau ada khilaf. Diharap ustaz dapat berkongsi maklumat dengan saya yang tidak seberapa ini. Wassalam.

ABU ZULFIQAR :
Tentang ruh Nabi Isa, sudah kita jelaskan sebelum ini bahawa kita tidak tahu kedudukannya. Hal ruh sangat sulit untuk diperkatakan. Yang pasti, sebagaimana yang dimaksudkan oleh Al-Quran, yang ‘dipegang’ oleh Allah SWT ialah JIWA (NAFS) Nabi Isa. Itu hal yang jelas yang dapat kita pegangi.

Tentang jasad Nabi Isa diisi dengan ruh orang lain, ini kali pertama saya mendengar teori sebegitu. Setakat ini saya tidak beranggapan begitu kerana jasad para nabi tentunya tidak layak untuk diisi oleh ruh-ruh selain mereka sendiri. Jasad para nabi jasad yang suci, tentunya tidak layak untuk diduduki oleh ruh-ruh yang tidak sedarjat dengannya. Wallhua’lam.

Wassalam.

Abu Zulfiqar
19 September 2012

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nabi-isa-ruh-jiwa-zat-allah-qalb-arasy.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum