MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Nasser Al-Yamani, Saqar Bukan Planet Nibiru

Go down

Nasser Al-Yamani, Saqar Bukan Planet Nibiru Empty Nasser Al-Yamani, Saqar Bukan Planet Nibiru

Post  Admin Sun Dec 09, 2012 5:48 pm

PENDAHULUAN

Nasser Mohamed Al-Yamani mengaku sebagai Al-Mahdi. Abdul Aziz Muhammad Nasir di Lombok pula mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim merangkap Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim, malah kononnya Ka’abah didirikan oleh Nabi Ibrahim untuk diri Abdul Aziz. Melampau hebatnya. Aziz Lombok juga mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi utama, iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad. Maksudnya ada dua Al-Mahdi sekaligus.

Selain itu, Nasser Al-Yamani turut mendakwa tafsirannya akan ayat-ayat Al-Quran datang terus daripada Allah. Oleh itu semua tafsirannya kebal daripada sebarang kesalahan melainkan betul dan tepat belaka. Namun hal itu ternyata tidak benar apabila banyak tafsirannya yang tersasar.

Sebelum ini saya sudah membentangkan kesalahan Nasser Al-Yamani yang mengatakan kalimah ‘SIJJIL’ dalam Al-Quran merujuk kepada Planet Nibiru/Planet X, jasad Nabi Isa sedang berada di sebuah gunung di Yaman dan Nabi Muhammad diambil jiwanya oleh Allah ketika peristiwa Mi’raaj. Kali ini akan dihidangkan pula kesalahan Nasser yang mengatakan kalimah ‘SAQAR’ dalam Al-Quran ialah PLANET NIBIRU/PLANET X.

Sebenarnya ada banyak lagi kesilapan Nasser dalam mentafsir, yang insya-Allah akan kita bongkar dari semasa ke semasa. Yang benar daripadanya, tidak pernah kita tolak. Kita hanya menolak apa yang salah dan mempertikai apa yang lemah sahaja.

AYAT TENTANG ‘SAQAR’

Tuhan berfirman :
“Lalu dia (?) berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam SAQAR.”
“Dan tahukan kamu apakah SAQAR itu?”
“Ia tidak meninggalkan dan tidak membiarkan.”
“Yang menghanguskan kulit manusia.”
(Al-Mudaththir : 24-29)

SIAPAKAH ORANG ITU?

Siapakah orang yang dimaksudkan dalam ayat ini? Orang itu ialah Al-Walid bin Mughirah, salah seorang penentang Nabi Muhammad saw di Makkah. Apa maklumat yang Quran berikan kepada kita tentang orang dalam surah ini?

“Dan Aku (Allah) berikannya kekayaan yang melimpah.”
“Dan anak-anak yang selalu bersama-samanya.”
(Al-Mudaththir : 12-13)

Lelaki yang dimaksudkan dalam Surah Al-Mudaththir ini ialah :
1. Seorang yang kaya-raya.
2. Anak-anaknya selalu berada bersama-sama dengannya.

Orang yang tidak ada ciri-ciri di atas bukanlah lelaki yang dimaksudkan dalam surah ini. Secara tepatnya, lelaki itu ialah Al-Walid bin Al-Mughirah.

APAKAH KESALAHANNYA?

Apakah kesalahan yang dilakukan oleh lelaki ini? Dia tidak percaya kepada Al-Quran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw, malah menganggap Al-Quran sebagai perkataan-perkataan sihir yang dipelajari aripada orang-orang terdahulu. Buktinya :
“Lalu dia berkata : “(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (dari orang-orang terdahulu).”
“(Al-Quran) Ini hanyalah perkataan manusia.”
“(Maka) Nanti Aku (Allah) akan memasukkannya ke dalam Saqar.”

Apakah balasan Allah terhadap Al-Walid bin Al-Mughirah? Dia akan dimasukkan ke dalam SAQAR.

SAQAR IALAH PLANET NIBIRU/SIJJIL?

Menurut Nasser Al-Yamani yang mengaku sebagai Al-Mahdi dan mengaku tafsirannya tentang ayat-ayat Al-Quran adalah kebal daripada kesalahan kerana tafsirannya datang terus daripada Allah SWT, SAQAR ialah PLANET NIBIRU/PLANET X/SIJJIL. Tentang SIJJIL, kita sudah buktikan kesalahan Nasser Al-Yamani kerana SIJJIL bukanlah PLANET NIBIRU. Kali ini kita akan buktikan Nasser tersilap tafsir lagi apabila dia percaya SAQAR ialah Planet Nibiru.

Menurut Nasser, SAQAR/NIBIRU akan datang melewati/melintasi bumi tidak lama lagi. Persoalannya, apakah Al-Walid bin Mughirah akan dimasukkan ke dalam PLANET NIBIRU? Bukankah Al-Walid bin Mughirah sudah lama meninggal dunia? Betulkah kulit Al-Walid bin Mughirah akan dibakar oleh PLANET NIBIRU? Bukankah kulitnya sudah lama hancur lebur di dalam tanah?

Al-Walid sudah lama mati. Apabila NIBIRU melintas nanti (sekiranya benar ada planet Nibiru melintas), Al-Walid tidak ada dalam kalangan kita. Bagaimana dia hendak dimasukkan ke dalam NIBIRU/SAQAR? Kulit tubuh Al-Walid juga sudah tidak ada. Bagaimana kulitnya hendak dibakar oleh NIBIRU/SAQAR?

Maksudnya, PLANET NIBIRU bukanlah SAQAR. SAQAR ialah api (NAAR) iaitu salah satu daripada neraka. SAQAR ini akan menyeksa manusia selepas YAUMUL QIYAMAH (hari kebangkitan semula) di akhirat nanti, bukannya ia muncul dan menyeksa manusia di muka bumi hari ini.

BILA DAN DI MANA SAQAR ITU?

Apa bukti mengatakan SAQAR itu pada hari akhirat (Yaumul Qiyamah) nanti?
“Kecuali golongan kanan (orang-orang beriman).”
“(Mereka) berada di dalam JANNAH (SYURGA), mereka saling menanyakan.”
“Tentang orang-orang yang berdosa.”
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN (pembalasan).”
“Sampai datang kepada kami AL-YAQIIN (perkara-perkara yang mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 39-47)

Dialog di atas berlaku di alam akhirat ataupun alam dunia? Tentunya di alam akhirat kerana ketika itu orang-orang baik sudah pun berada di dalam syurga (jannah). Orang di dalam syurga bertanya/berdialog kepada orang-orang di dalam SAQAR. Begitulah cerita ayat-ayat di atas.

Persoalannya, betulkah orang-orang di dalam syurga berbicara dengan orang-orang di PLANET NIBIRU? Ataupun sebenarnya orang-orang di syurga berbicara kepada orang-orang di dalam neraka? Apakah di alam akhirat nanti ada PLANET NIBIRU/PLANET X?

APAKAH KRITERIA ORANG-ORANG YANG DIAZAB DENGAN SAQAR?

Kemudian, mengapakah mereka dimasukkan ke dalam SAQAR? Adakah kerana mereka menolak daripada mengakui Nasser Al-Yamani sebagai Al-Mahdi dan Aziz Lombok sebagai Pemuda Bani Tamim? Kita lihat apa kata Al-Quran :
“Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam SAQAR?”
“Mereka (yang berdosa) menjawab : “Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.”
“Dan kami tidak memberi makan orang miskin.”
“Bahkan kami biasa berbincang bersama-sama orang-orang yang membicarakannya.”
“Dan kami mendustakan hari AD-DIIN.”
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang mendatangkan keyakinan).”
(Al-Mudaththir : 42-47)

Ternyata mereka dimasukkan ke dalam SAQAR kerana tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat. Di sini pun sudah sangat jelas kepalsuan dan kesalahan tafsir yang dibuat oleh Al-Yamani.

Sekiranya SAQAR itu membakar manusia di dunia ini, bagaimana manusia yang beriman dengan yang terasing boleh diasing-asingkan? Bagaimana PLANET NIBIRU mahu membakar hanya orang –orang yang tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat, dan dalam masa yang sama tidak membakar orang-orang beriman? Siapa yang mengkelaskan dan mengasingkan antara orang-orang yang baik dengan orang-orang jahat (yang disebutkan dalam surah itu tadi)? Di akhirat memang akan ada pengasingan, tapi di dunia tidak ada.

APA BUKTI SAQAR ITU DI ALAM AKHIRAT?

Kemudian orang-orang yang diseksa dengan SAQAR mengakui kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan sepanjang hayat mereka itu berterusan sehinggalah mereka mati. Sebab itulah mereka diseksa dengan SAQAR. Oleh itu mana mungkin SAQAR itu mengazab manusia sebelum alam akhirat. Buktinya :
“Sampailah datang kepada kami AL-YAQIIN (hal-hal yang mendatangkan keyakinan).”

Apakah maksud ‘AL-YAQIIN’? Keyakinan tentang apa? Sekali lagi kita semak ayat-ayat lain yang menggunakan perkataan ini.
“Maka alangkah eloknya kalau sewaktu (nyawa seseorang) sampai ke kerongkongnya.”
“Sedang kamu pada masa itu menyaksikan keadaannya.”
“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu.”
“Maka bukankah elok kalau kamu (iaitu) orang-orang yang tidak dikuasai (yang enggan tunduk kepada Tuhan).”
“Kamu kembalikanlah nyawa itu jika betul kamu orang-orang yang benar.”
“Kesudahannya, jika ia (si mati) dalam kalangan orang-orang muqarrabiin.”
“Maka (dapatlah ia) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta jannah (syurga) kenikmatan.”
“Dan jika ia daripada golongan kanan.”
“Maka selamat sejahteralah kepada kamu (yang) dari golongan kanan.”
“Dan jika ia daripada (golongan kiri) yang mendustakan, lagi sesat.”
“Maka sambutan yang disediakan baginya ialah air panas menggelegak.”
“Serta bakaran JAHIMM (neraka).”
“Sesungguhnya itu adalah benar AL-YAQIIN.”
(Al-Waaqi’ah : 83-95)

‘AL-YAQIN’ dalam ayat ini ialah sakaratul maut, kematian, alam akhirat, pembahagian manusia kepada 3 golongan di akhirat, syurga dan neraka jahannam. Sebelum melalui peristiwa-peristiwa ini, ramai manusia yang tidak yakin tentangnya. Apabila tiba sakaratul maut, barulah mereka meyakini hal ehwal sakaratul maut itu. Apabila tiba hari akhirat, barulah mereka yakin akan hal ehwal hari akhirat itu. Apabila sudah terlihat syurga JANNAH dan neraka JAHIMM, barulah mereka yakin kedua-duanya. Jadi AL-YAQIN itu ialah peristiwa-peristiwa ghaib yang bakal terjadi kepada manusia, yang apabila mereka sudah bertemu dengannya, ketika itu tidak boleh tidak mereka pasti yakin ia memang ada.

Berbalik kepada orang-orang yang dikenakan azab neraka SAQAR, pada asalnya mereka tidak yakin tentang hal-hal ghaib lalu mereka tidak bersembahyang, DAN tidak menolong orang-orang miskin, DAN tidak percaya kepada hari pembalasan iaitu hari akhirat. Apabila tiba AL-YAQIN bermula dengan alam sakaratul maut, barulah orang-orang itu yakin/ percaya/ beriman dengan alama sakaratul maut. Apabila tiba alam akhirat, barulah mereka percaya/yakin kewudjuan alam akhirat. Apabila melihat syurga dna neraka, barulah mereka yakin/percaya kedua-duanya. Jadi mereka bertemu SAQAR sesudah kematian, iaitu di alam akhirat, bukannya di dunia ini.

Dalam surah lain, maksud firman Tuhan :
“Kamu akan melihat JAHIIM (neraka).”
“Kemudian kamu akan melihatnya dengan penglihatan AL-YAQIIN.” (At-Takaathur : 7)

Kisah ini juga berlatarbelakangkan alam akhirat, kerana neraka JAHIMM itu di akhirat, bukannya di dunia ini. Apabila manusia dan jin sudah melihat neraka JAHIMM, ketika itu mereka pasti yakin (walaupun sebelumnya ketika di dunia mereka tidak yakin) kewujudannya. Keyakinan mereka ketika ini ialah ditahap ‘AINUL YAQIIN’ iaitu yakin dengan melihat. Maksudnya, apabila sudah melihat, barulah percaya.

Dalam Surah Al-Waaqi’ah yang kita bincangkan sebelum ini, istilah yang digunakan ialah ‘HAQQUL YAQIIN’ iaitu yakin dengan sebenar-benar yakin, kerana mereka sudah pun merasai/dimasukkan ke dalam neraka JAHIIM itu. Keyakinan peringkat ‘rasa’ ini adalah lebih kuat daripada keyakinan peringkat ‘lihat’.

Jelaslah kepada kita bahawa seksaan SAQAR berlaku selepas manusia mati, iaitu selepas manusia dibangkitkan semula di akhirat nanti. Jadi seksaan SAQAR bukanlah berlaku di dunia ini tetapi di alam akhirat.

(*KEYAKINAN AKAN PERKARA-PERKARA GHAIB adalah dalam tiga peringkat. Umumnya orang-orang yang belajar tentang sakaratul maut, maut, alam akhirat, syurga neraka dan lain-lain di dunia ini berada pada YAKIN TAHAP 1 iaitu ILMU YAQIIN. Kita yakin perkara-perkara itu melalui ilmu-ilmu yang kita pelajari di dunia ini. Kita belum melihatnya dan belum merasainya.

Kemudian apabila tiba masanya dan kita mula melihat perkara-perkara itu, ketika itu keyakinan kita naik ke tahap kedua iaitu AINUL YAQIIN. Kita bertambah yakin kerana sudah melihatnya.

Kemudian apabila kita merasai sendiri hal-hal itu, maka sampailah kita ke tahap yakin dengan hak atau sebenar-benar yakin, iaitu HAQQUL YAQIIN.)

LAGI KATA QURAN TENTANG SAQAR

Kita lihat pula perihal SAQAR dalam surah yang lain :
“Bahkan AS-SAA’AH (saat kehancuran) itulah yang dijanjikan kepada mereka, dan AS-SAA’AH itu amat dahsyat dan amat pahit.”
“Sesungguhnya orang-orang berdosa dalam DALAL (kesesatan) dan dalam SU’UR (kegilaan).”
“Pada hari mereka diseret dalam NARR (neraka) atas muka mereka. Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR (api neraka yang membakar kulit).”
(Al-Qamar : 46-48)

Bilakah manusia diseret di atas muka mereka di dalam neraka? Tentunya pada hari akhirat, bukannya di dunia ini. Mereka diseret dalam neraka lalu dikatakan kepada mereka : “Rasakanlah sentuhan/bakaran SAQAR”. Jadi di manakah SAQAR itu? Di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat dan SAQAR itu ialah neraka.

Jelaslah kepada kita, SAQAR bukanlah PLANET NIBIRU/PLANET X. Sekiranya benarlah ada benda-benda angkasa yang melewati bumi (termasuklah Nibiru/Planet X) tidak lama lagi, ia tetap bukan SAQAR.

KESIMPULAN

1. Sekali lagi Nasser Al-Yamani tersilap mentafsir Al-Quran.
2. Terbukti SAQAR bukannya Planet Nibiru/ Planet X.
3. Terbukti lagi bahawa tafsirannya bukanlah datang terus daripada Allah dan kebal daripada sebarang kesalahan sebagaimana yang didakwanya. Tafsirannya hanyalah datang daripada pemikirannya sendiri dan dihembuskan secara halus oleh syaitan-syaitan yang disangkakannya Tuhan.
4. Nasser Mohamed ini bukanlah Al-Mahdi.

Abu Zulfiqar
21 September 2012

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nasser-al-yamani-saqar-bukanlah-planet_27.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum