Lailatul Qadar Serentak Seluruh Dunia?

View previous topic View next topic Go down

Lailatul Qadar Serentak Seluruh Dunia?

Post  Admin on Sun Dec 09, 2012 2:29 pm

Seluruh umat Islam ternanti-nanti dan tercari-cari Lailatul Qadar, atau dikenali di rantau Nusantara ini sebagai Malam Al-Qadar. Timbul persoalan tentang waktu berlangsungnya Malam Al-Qadar itu. Adakah ia berlaku hanya pada waktu malam, ataupun serentak di seluruh dunia?

Jika ia berlaku hanya pada waktu malam, maksudnya bahagian planet bumi yang sedang siang tidak berlaku Malam Al-Qadar. Namun jika ia berlaku serentak di seluruh planet bumi, maka ketika Makkah mengalami Malam Al-Qadar, bahagian bumi yang lain yang sedang siang turut mengalaminya.

Jadi, bagaimana?

Langkah pertama, kita lihat firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Kami turunkan (Al-Quran ini) pada Malam Al-Qadar. Apakah jalannya untuk kamu mengetahui apakah itu Malam Al-Qadar (sudah tentu kita tidak ada ilmu tentangnya kecuali diberitahu sendiri oleh Allah SWT)? Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Turun malaikat dan ruh padanya dengan izin Rabb mereka untuk mengerjakan segala urusan. Sejahteralah ia (malam itu) sehingga terbit fajar.” (Al-Qadr : 1-5)

Berdasarkan Surah Al-Qadr ini, kita dapat perhatikan bahawa :

1. Ayat pertama jelas menyebut waktu malam, bukannya siang.

2. Malam Al-Qadar tidak disebut Siang Al-Qadar. Jika ia berlaku serentak di seluruh dunia, ia lebih sesuai disebut sebagai Hari Al-Qadar kerana melibatkan siang dan malam sekaligus.

3. Ayat kelima mengatakan Malam Al-Qadar itu tamat pada waktu fajar. Jika ia berlaku serentak di seluruh muka bumi, waktu tamatnya tentu lebih sesuai disebut “sehingga terbit fajar dan tenggelam matahari (senja)”, ataupun sesuai juga disebut sebagai “sehingga dua tepi siang (iaitu waktu subuh dan maghrib)” kerana ketika fajar tamat di Makkah, bahagian dunia yang lain belum tamat malah ada yang sedang melalui waktu senja.

Nampaknya isi surah ini menyebelahi pandangan yang mengatakan Malam Al-Qadar tidak berlaku serentak. Namun begitu, mari kita lihat juga maklumat lain yang kita ada.

Pada awal pagi selepas Malam Al-Qadar biasanya kita dapat melihat langit di sebelah timur kelihatan kabur dan cahaya matahari tidak menembusinya. Hal ini kerana diyakini tentera langit yang turun pada malam itu sedang pulang ke langit. Dari sini ada pertimbangan tertentu yang boleh kita ambil.

Sebenarnya wujud perbezaan pandangan tentang lokasi pertama perubahan hari. Contoh yang mudah ialah tentang sambutan Hari Raya Aidil Fitri :

1. Satu pihak meyakini hari bermula dari timur. Oleh itu orang di rantau sebelah Nusantara ini menyambut Aidil Fitri lebih awal beberapa jam daripada Makkah.

2. Pihak yang lain pula mengatakan orang-orang di Makkah terlebih dahulu menyambut Aidil Fitri, dan sehari selepasnya barulah penduduk rantau sebelah sini merayakan Aidil Fitri.

Katakanlah kita berpegang dengan pandangan pertama. Maksudnya rantau Nusantara terlebih dahulu dikunjungi Malam Al-Qadar dan lebih awal tentera langit pulang, sedangkan di Amerika masih belum mengalami Malam Al-Qadar. Di sini timbul satu persoalan. Jika tentera langit sudah mula pulang ke langit dari Nusantara, siapa pula yang sedang turun di Makkah dan siapa pula yang akan turun di Amerika? Adakah tentera yang turun itu bertukar ganti?

Jika benar ada tukar ganti, maka Malam Al-Qadar hanya berlaku pada waktu malam dan tidak serentak di seluruh dunia. Tapi jika tentera langit itu turun serentak dan pulang serentak, hal ini bermaksud Malam Al-Qadar itu berlaku serentak, iaitu ketika sebahagian bumi sedang mengalami waktu malam dan sebahagian lagi sedang siang.

Seandainya kita memilih pandangan kedua tadi pula, maka ketika tentera langit sedang pulang ke tempat mereka dari Makkah, siapa pula yang akan turun di Nusantara beberapa belas jam kemudiannya?

Persoalan ini bakal terjawab jika kita ada maklumat tentang turunnya malaikat pada Malam Al-Qadar itu, sama ada mereka turun serentak dan naik serentak tanpa tukar ganti, ataupun ada turun naik. Setakat ini saya tidak punya maklumat itu.

Dengan maklumat yang sekadar ini, setakat ini secara peribadi saya berpandangan bahawa Malam Al-Qadar itu berlaku tidak serentak di seluruh bumi, tetapi pada belahan-belahan bumi yang sedang mengalami waktu malam sahaja. Sekiranya ada maklumat-maklumat tambahan nanti, tidak mustahil pula pandangan saya boleh berubah. WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

16 OGOS 2011

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/08/lailatul-qadar-serentak-seluruh-dunia.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum