MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Soal Jawab Solat Witir

Go down

Soal Jawab Solat Witir Empty Soal Jawab Solat Witir

Post  Admin Thu Dec 13, 2012 8:36 am



Apakah hukum solat witir?

Hukumnya sunat muakkad, yakni sunat yang amat digalakkan untuk kita melakukannya.

Antara sandarannya ialah kata-kata Saidina Ali yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam An-Nasa’i iaitu:

“Solat sunat witir hukumnya tidaklah wajib seperti solat fardhu, tetapi ia sunat yang amat digalakkan Nabi saw.”

Juga kata-kata Saidina Ali yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah iaitu:

“Ia tidak wajib seperti wajibnya solat fardhu, tetapi ia amat digalakkan Nabi, yang tidak layak bagi seseorang meninggalkannya.”


Bilakah waktu solat sunat witir?

Waktunya bermula apabila masuk waktu Isya’ sehinggalah terbit fajar. Ia boleh terus dilakukan sebaik-baik sahaja selesai solat fardhu Isya’. Majoriti ulama berpendapat tidak sah jika solat witir dilakukan sebelum solat fardhu Isya’.

Manakah yang lebih afdhal antara mengerjakan solat sunat witir pada awal malam ataupun pada akhir malam?

“Sesiapa yang khuatir tidak akan bangun pada akhir malam sebelum terbit fajar sadiq, maka hendaklah dia melakukannya sesegera mungkin, kemudian baru tidur. Dan sesiapa yang yakin akan terbangun di penghujung malam sebelum subuh, maka sesunguhnya solat sunat di akhir malam itu lebih afdhal.” (Muslim & Ahmad)


Berapakah jumlah rakaat solat witir?

Paling kurang 1 rakaat dan sebanyak-banyaknya 13 rakaat. Ada juga pendapat mengatakan maksima 11 rakaat. Wallahualam.

Antara sandarannya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

“Berwitirlah dengan 5, jika tidak sanggup maka 3, dan jika tidak sanggup maka 1.”

Berdasarkan hadis ini, jelaslah jumlah minima untuk solat sunat witir ialah 1 rakaat. Namun begitu, bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, tidak sah mengerjakan solat sunat witir sekadar 1 rakaat. Paling kurang hendaklah dibuat 3 rakaat.

Dalam kitab Tuhfatul Ahwazi jilid 1 mukasurat 155, Imam Turmizi mengatakan:

“Diriwayatkan daripada Nabi saw bahawa solat witir 13, 11, 9, 7, 5, 3 dan 1 rakaat.”


Berapa rakaatkah untuk setiap satu solat witir?

Biasanya kita melakukan dua dua rakaat. Selepas dua rakaat, beri salam, dan buat lagi dua rakaat. Begitulah seterusnya sehinggalah solat yang terakhir dikerjakan sebanyak 1 rakaat sahaja.

Namun begitu, Rasulullah saw pernah mengerjakan 7 rakaat dengan satu salam dan 5 rakaat dengan satu salam. Antara sandarannya ialah sebuah atsar riwayat Imam Ahmad dan Imam An-Nasa’i:

Kata Ummu Salamah: “Adalah Rasulullah mengerjakan solat witir dengan 7 dan 5 rakaat secara berturut-turut tanpa diselangi dengan salam.”

Sementara sebuah lagi atsar riwayat Imam Bukhari dan Muslim mengatakan:

Kata Aisyah: “Rasulullah pernah mengerjakan solat malam sebanyak 13 rakaat, dia tidak duduk (untuk memberi salam) kecuali jika sudah sampai 5 rakaat.


Apakah surah-surah yang sesuai dibaca dalam solat witir?

Kita boleh membaca mana-mana surah pun.

Apakah surah-surah yang biasa dibaca oleh Rasulullah dalam witirnya?

“Adalah Rasulullah membaca pada rakaat pertama surah Sabbhismarabbikal a’la, pada rakaat kedua membaca Qulyaaiyuhal kafirun dan pada rakaat yang ketiga membaca QulhuallahuAhad dan mu’awwizatain. (Ahmad & Turmizi)


Bilakah doa qunut dibaca dalam solat witir?

Menurut Mazhab Syafie, qunut sunat dilakukan pada separuh kedua bulan Ramadhan sahaja.

Menurut Mazhab Hanafi, sunat dilakukan sepanjang tahun.


Bolehkah kita melakukan solat sunat lain selepas mengerjakan solat sunat witir?

Boleh saja.


Apakah selepas itu kita perlu mengerjakan solat sunat witir sekali lagi?

Tidak perlu, kerana kata Nabi Muhammad:

“Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Abu Daud)


Bolehkah kita mengqada solat sunat witir?

Boleh.


Bilakah masanya?

Menurut Mazhab Syafie, boleh diqada pada waktu siang ataupun malam.

Menurut Mazhab Maliki, boleh diqada sebelum melakukan solat fardhu Subuh.

Menurut Mazhab Hanafi, boleh diqada pada waktu malam.

“Sesiapa yang tertidur sampai habis waktu witir sedangkan dia belum bersolat witir, ataupun lupa melakukannya, maka hendaklah dia mengqadanya pada bila-bila masa dia teringat.” (Abu Daud)

“Apabila salah seorang kamu (terjaga) setelah masuk waktu Subuh, sedangkan dia belum mengerjakan solat witir, maka hendaklah dia melakukan witir.” (Abu Daud)

Wallahualam.


Abu Zulfiqar

http://alexanderwathern.blogspot.com/2009/12/solat-witir.html

13 DISEMBER 2009

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum