MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Muslimah yang Berusaha Memperbaiki Diri

Go down

Muslimah yang Berusaha Memperbaiki Diri Empty Muslimah yang Berusaha Memperbaiki Diri

Post  Admin Thu Dec 13, 2012 11:35 pm

HAMBA ALLAH MENULIS:

Salam....

Harap soalan saya tidak keterlaluan dan sudi dijawab ustaz. Saya malu sebenarnya hendak mengaku akan hal ini, tapi sedikit sebanyak ia amat mengganggu hidup saya...

Saya bermasalah. Saya kira saya seorang yang ingin menjaga agama, bertudung labuh lagi berstoking, tak pandai bergaul dengan lelaki, suka dengar ceramah agama dan orang yang solat dan mengaji tapi ada tabiat buruk dengan bahasa modennya onani.

Dah lama dan dah berkali saya taubat tak mahu ulangi... tapi saya buat lagi. Saya tahu dosa tapi saya buat suka hati, dan sekarang saya takut jika Allah murka dan memberi balasan dengan perkara ini.

Contoh situasinya, saya baru menonton tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis dan membuka radio alunan al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat. Sedangkan saya dah benteng hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah berkhayal dan buat sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan al-Quran. Saya betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang tak nampak)

Tolong beri kata dua pada saya ustaz, hati saya cintakan agama tapi sikap buruk saya ini sangat-sangat menipu diri. Yang rugi saya. Saya mula bimbang jika generasi saya esok melakukan amal buruk ini...

Dan satu lagi, adakah orang boleh kenal/tahu kita jenis yg beronani.
Maaf dan terima kasih.


JAWAPAN:

Wlksm Ukhti,

Pertamanya saya ucapkan tahniah kerana anda dipilih Tuhan sebagai orang yang berusaha untuk memelihara agama, menutup aurat dengan sempurna, suka akan majlis-majlis dan ilmu agama, memelihara solat, istiqamah membaca Al-Quran dan lain-lain. Tidak ramai orang yang dipilih oleh Tuhan sebegitu rupa. Yang tidak kurang pentingnya, anda ada rasa bersalah dan mahu membuat perubahan. Sikap sebegini bukan mudah dicari, tapi ia ada pada anda. Alhamdulillah syukur.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Apabila kita bertaubat bersungguh-sungguh, dosa-dosa kita akan dihapuskan oleh Allah.

Tentang tabiat buruk (onani/martubasi) itu saya sarankan beberapa usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan.


Pertama: DARI SUDUT PERUBATAN ALTERNATIF ISLAM

Antaranya anda cubalah pergi dapatkan rawatan daripada pengamal perubatan alternatif Islamik (yang biasa kita sebut sebagai mu’allij, contohnya di Darussyifa’). Tak perlu ceritakan masalah anda kepada perawat, cukup minta perawat tolong ruqyahkan. Cakap saja yang anda berasa tidak sedap badan dan khuatir kalau-kalau ada ‘gangguan’. Sekiranya perawat itu wanita dan anda bersedia berkongsi masalah anda dengannya, bolehlah diceritakan.

Saya menyarankan langkah ini kerana maklumat yang anda beri menunjukkan ada kemungkinan wujudnya gangguan jin ataupun sihir. Di bawah ini ialah maklumat yang dimaksudkan:

“Contoh situasinya, saya baru menonton tv Tanyalah Ustaz, membaca majalah Anis dan membuka radio alunan al-Quran. Tiba-tiba hati terdetik nak buat. Sedangkan saya dah benteng hati ke arah agama ustaz... saya dengan mudah berkhayal dan buat sendiri. Sedang radio masih mengalunkan bacaan al-Quran. Saya betul-betul buat tak malu dengan Tuhan.... (sebab orang tak nampak).”

Jika sudah sampai ke tahap sebegini, mungkin anda mengalami ‘gangguan’. Katakanlah setelah dirawat nanti ternyata tidak ada sebarang gangguan, anda tidak rugi apa-apa. Perawat pun tidak tahu apa masalah sebenar/ rahsia anda. Malah berasa lega kerana diri anda ternyata selamat.

Tapi seandainya memang ada dan ia berjaya disingkirkan, saya yakin tabiat itu akan hilang dengan mudah. Oleh itu saya angat sarankan agar anda dapat menemui mana-mana muallij dengan segera.

Saya melihat, dorongan untuk anda melakukannya banyak datang dari dalam diri, bukannya dari luar diri seperti dirangsang orang lain, menonton, menatap, mendengar dan sebagainya. Hal ini kerana ketika berinteraksi dengan bahan-bahan keagamaan pun anda dengan sendirinya terdorong untuk melakukannya. Oleh itu keutamaan rawatan adalah ke atas diri anda yang rohani.


Kedua: DARI SUDUT PENGAWALAN DIRI & LATIHAN JIWA

Anda berusahalah membuang perlakuan itu. Hendak membuang terus secara mengejut memang sukar, oleh itu anda buangkanlah ia secara beransur-ansur. Kurangkan kekerapan melakukannya. Jika selama ini (sekadar contoh) ia dilakukan 2 kali seminggu, kurangkan jadi 1 kali seminggu. Kemudian kurangkan lagi 1 kali sebulan dan seterusnya. InsyaAllah suatu hari nanti tabiat itu akan mereda dan hilang.

Tapi seandainya anda dapat membuangnya serta-merta, hal itu adalah sangat baik lagi bermanfaat.


Ketiga: DARI SUDUT SUNNAH NABI & FITRAH MANUSIAWI

Anda berusahalah agar dapat lekas mendirikan rumahtangga. Dengan cara itu ‘kehendak’ anda dapat disalurkan pada tempatnya dan insyaAllah perlakuan itu akan hilang dengan sendirinya. Saya mendoakan agar anda bertemu jodoh yang sesuai, baik lagi soleh dalam masa yang terdekat.


Keempat: DARI SUDUT SAINS & KESIHATAN

Kawal pemakanan. Kita boleh mengurangkan keinginan dengan cara mengawal pengambilan makanan. Biasakan diri jangan makan sampai kenyang, tapi tidak terlalu sedikit sehinggakan tubuh kekurangan zat dan tenaga.

Kekuatan dan keinginan melakukan seks banyak datang daripada makanan yang diambil berlebihan. Sebab itu para ulama mengurangkan makanan. Rasulullah juga menasihatkan kita agar berhenti makan sebelum mencapai kenyang. Jika selepas makan kita berasa puas (maksudnya kita sudah memenuhkan perut), sebenarnya ia memudaratkan diri dalam jangka masa panjang. Jika selepas makan kita berasa seperti hendak makan lagi (maksudnya kita berhenti sebelum puas/kenyang), itulah yang terbaik untuk kesihatan.

Anda kurangkan bahan yang merangsang seperti kopi dan teh. Hal ini memang dipesan oleh Asy-Syahid Hasan al-Banna (Pengasas Ikhwanul Muslimin). Anda juga perlu kurangkan pengambilan gula, kerana ia merangsang kekuatan (dan pengurangan ini bagus untuk kesihatan) terutamanya air berkarbonat. Mengurangkan bahan-bahan yang merangsang kekuatan tubuh dapat mengurangkan kehendak dan keupayaan untuk melakukan perbuatan itu.

Kaedah yang biasa dianjurkan ialah berpuasa. Tapi takkanlah hendak berpuasa setiap hari, mungkin kita tidak mampu. Jadi anda boleh cuba istiqamah puasa Isnin dan Khamis, ataupun salah satunya. Cuma yang saya lihat di negara kita ini, cara kebanyakan orang berbuka puasa tidak sesuai untuk kesihatan. Memanglah perut dikosongkan seharian, tapi apabila berbuaka puasa, pelbagai benda dimakan dan dengan kuantiti yang banyak.

Oleh itu, jika anda berpuasa, ketika berbuka makanlah sekadarnya. Yang pentingnya berbukalah dengan makanan yang berkhasiat walaupun dalam jumlah yang sedikit.


Kelima: DARI SUDUT PERSEKITARAN DIRI

Perlakuan itu menjadi apabila anda bersendirian. Oleh itu, selalulah bersama-sama orang lain. Selalulah buat aktiviti bersama rakan-rakan atau saudara-mara walaupun sekadar berbual kosong ataupun menonton bersama-sama. Maksudnya, biarlah ada individu lain berhampiran anda. Sudah tentu ruang untuk anda melakukannya sangat kecil.


Keenam : DARI SUDUT AGAMA

Apabila timbul perasaan hendak melakukannya, ucapkan dengan bersuara dan penghayatan:

Dua Kalimah Syahadah

Selawat ke atas Rasulullah

Istighfar

Lakukan berulang-ulang.


Ketujuh: DARI SUDUT PSIKOLOGI / KUASA MINDA

Apabial timbul keinginan, sebut nama/ panggilan orang-orang yang anda hormati seperti ibu, ayah, guru, pendakwah dan sebagainya dan bayangkan mereka semua sedang berada hampir dengan anda dan memerhatikan perbuatan anda dengan perasaan dukacita pada wajah mereka. Teruskan ‘mencipta’ gambaran sebegitu.


Setahu saya, umumnya tidak ada ilmu untuk mengetahui seseorang itu sering melakukan onani/martubasi. Cuma orang tua-tua zaman dahulu ada kaedah tertentu untuk melihat sama ada seseorang itu masih dara ataupun tidak. Ada yang melihat pada suatu tempat di muka dan ada yang melihat pada tangan. Ada juga yang mendakwa mampu mengetahuinya melalui kaedah ghaib tetapi umumnya semua itu hanyalah sangkaan-sangkaan.

Pada zaman ini jumlah orang yang mengetahui kaedah ini pun amatlah kecil (saya sendiri tidak ada ilmu ini), dan peluang anda untuk terserempak dengan orang sebegini sangatlah kecil. Oleh itu janganlah risau. Tambahan pula, dara seseorang wanita itu adakalanya boleh pecah/hilang kerana sebab-sebab lain, bukan melalui aktiviti yang berkaitan dengan seks sahaja.

Doktor mungkin boleh mengetahui kekerapan seseorang melakukan onani/ martubasi melalui ujian dan pemeriksaan. Tapi, doktor mana yang saja-saja hendak/ boleh buat pemeriksaan bahagian itu? Jadi, tidak perlu risau.

Kesimpulannya, jika ada pun, orang itu hanya boleh mengetahui sama ada masih ada dara ataupun tidak, bukannya mengetahui sama ada selalu beronani atau tidak. Dan orang yang ada ilmu sebegitu pun sudah hampir pupus dan peratusan anda untuk terserempak dengan mereka adalah terlalu kecil.

Akhirnya, dengan penjelasan ringkas ini diharap dapatlah memberikan kesan positif pada diri anda dan menambahkan kekuatan jiwa anda untuk berubah kea rah yang lebih baik daripada sebelumnya. Semoga segala urusan kita semua khusunya anda dipermudahkan oleh Allah SWT.

Wassalam.


Abu Zulfiqar

23 Mei 2011


HAMBA ALLAH MENULIS:

Terima kasih ya ustaz...
Terharu rasa baca saranan-saranan ustaz yang lebih ke arah positif....

Sedih sebenarnya dengan dosa-dosa, dan mungkin ini juga penghalang untuk lekas bertemu jodoh.... Semoga keikhlasan ustaz, menjadi doa membantu diri ini menjadi lebih bertakwa dan berdamping dengan orang soleh...

Semoga ustaz sekeluarga dirahmati. Syukran.

http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/05/muslimah-yang-berusaha-memperbaiki-diri.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum