MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Luqman Al-Hakim Bukan Socrates

Go down

Luqman Al-Hakim Bukan Socrates Empty Luqman Al-Hakim Bukan Socrates

Post  Admin Sat Dec 08, 2012 9:13 pm

HUJAH PERTAMA YANG MENGATAKAN LUQMAN IALAH SOCRATES


Nama “Luqman” MUNGKIN berasal daripada perkataan “laqm”. Perkataan “laqm” dipercayai bermaksud “menelan”. Oleh kerana Socrates mati kerana menelan racun, MUNGKIN dialah Luqman al-Hakim. Perkataan “menelan” itu MUNGKIN bermaksud ataupun ada kaitan dengan “menelan sesuatu”, “menelan racun”, “menelan bukan dengan perasaan suka” dan sebagainya. Atas dasar inilah MUNGKIN Luqman itu tidak lain ialah Socrates yang menemui ajalnya dengan menelan racun. Kebetulan Luqman ialah seorang ahli hikmah, dan Socrates juga seorang ahli hikmah.



PENJELASAN SAYA:


1. Kaedah “Mungkin” Sekelompok


Terlalu banyak MUNGKIN, maka cubaan mencari persamaan sebegini tidaklah kukuh (*hendaklah difahami bahawa kalimah 'tidak kukuh' bukanlah bermaksud ia tertolak mentah-mentah tetapi masih boleh dikategorikan sebagai hujah yang boleh diambilkira ataupun hujah yang lemah, cuma ia tidak kukuh). Kita tidak menolak kemungkinan, tetapi jika terlalu banyak mungkinnya itu, membuatkan hujah di atas sangat kurang kredibilitinya. Kaedah “mungkin” sesuai jika digunakan sesekali, bukannya berkumpul setempat sebagaimana dalam kes di atas.


2. Siapa Sebenarnya Luqman Si Penelan?


Perkataan “Luqman” memang berasal daripada perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan”, tetapi orang-orang Arab jahiliyyah tidak menujukan perkataan ini kepada Luqman al-Hakim yang disebut dalam al-Quran. Mereka menisbahkannya kepada seorang lelaki yang kuat makan dan gelojoh menelan makanannya. Kegelojohannya MENELAN makanan membuatkan mereka menyebutnya sebagai Luqman.


Ada beberapa pepatah yang masyhur dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu seperti:


“Kuat makan lebih daripada Luqman.”

“Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang.’

“Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang dengan dua bekas dan lapan satu perempat.”

“Lebih kuat daripada Luqman al-‘Aadi.”


Bani Tamim terkenal sebagai kaum yang menyukai makanan. Seorang penyair Bani Tamim mengatakan:


Sekiranya tidak ada seorang pun

Yang meninggal dunia dari kaum Tamim

Maka ia menggembirakan dirimu

Kerana dia masih hidup

Lalu dia akan datang

Membawa BEKALAN PENUH DENGAN ROTI

DAGING, TAMAR atau APA SAHAJA

Yang dapat dilipat dalam pakaiannya.


Engkau akan melihatnya

Membuat lubang

Di sekeliling kaki langit

Agar dia dapat makan

Kepala LUQMAN BIN ‘AAD.


Semua perkara di atas berkisar tentang seseorang yang dipanggil sebagai Luqman kerana kerakusannya terhadap makanan. Dia jadi lagenda kerana kelahapannya.


Perkataan “laqm” bermaksud “makan dengan cepat”. Ini pandangan al-Abidin. Apabila seseorang makan dengan gelojoh, maka dia kurang mengunyah tetapi lebih banyak MENELAN. Dari sinilah datangnya nama Luqman yang bermaksud “menelan dengan cepat.” Tidak ada kena-mengena dengan MEMINUM RACUN, apatah lagi jika cuba dikaitkan dengan Luqman al-Hakim ataupun Socrates.


Cerita mulut ke mulut mengatakan Luqman Makan Cepat ini berusia panjang. Dia berasal dari kaum ‘Aad, iaitu kaum Nabi Hud (sebelum zaman Nabi Ibrahim). Kaum ‘Aaad terkenal dalam sejarah kerana peristiwa mereka dihancurkan oleh tentera Allah berupa angina rebut yang sangat dingin selama 7 malam 8 hari.


Dikatakan Luqman Makan Gelojoh ini seorang yang jahat. Dia suka melakukan jenayah, penipuan dan pengkhianatan menyebabkan banyak orang takut kepadanya. Kitab Mujma’ al-Amthal karya al-Maidani banyak mendedahkan latar belakang Luqman Makan Cepat ini.


Jadi, orang inilah yang dikenali sebagai Luqman Si Penelan, bukannya Socrates yang mati kerana meminum racun. Dia hidup lebih kurang 2000 tahun sebelum Socrates dan 1400 tahun sebelum Luqman al-Hakim. Semoga tidak ada pihak-pihak yang terkeliru lagi selepas ini.


3. “Laqm” Bermaksud “Menelan”, Bukan “Meminum”


Kemudian kita lihat dengan teliti perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan” itu. Perbuatan “menelan” memang tepat kena pada perbuatan menelan benda-benda kasar seperti nasi, roti, buah dan sebagainya. Namun perkataan “menelan” kurang sesuai untuk perbuatan meminum cecair.


Jika kita memasukkan sesuatu CECAIR ke dalam mulut dan melepasi kerongkongan, perbuatan itu tidak dikatakan menelan, tetapi lebih tepat disebut meminum. Orang yang mementingkan bahasa (lebih-lebih lagi bangsa Arab yang berbahasa Arab) tidak akan menyebut “menelan air” tetapi menghirup air, meneguk air, meminum air dan seumpamanya.


Jadi Socrates meminum racun hemlock (daripada akarnya), bukannya menelan racun. Maka perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan” itu tidak kena dengan diri Socrates. Yang menelan itu ialah Luqman Makan Cepat yang terkenal dengan kegelojohannya, bukan Socrates.


4. Selepas Mati Baru Dinamakan “Luqman”?


Satu lagi perkara yang mesti kita beri perhatian ialah hubungan antara peristiwa Socrates mati meminum racun dengan nama “Luqman” (menelan) yang cuba dikaitkan dengannya. Al-Quran biasa memberikan nama ataupun gelaran kepada seseorang ketiak orang itu masih hidup. Contohnya Abu Jahal, Zulqarnain, Dzun Nun dan lain-lain.


Jika benar Socrates diberikan nama “Menelan”, sejak bilakah nama itu diberikan kepadanya? Mustahil nama itu diberikan sebelum dia mati menelan racun kerana ketika itu dia BELUM MENELAN racun lagi. Maksudnya nama “Menelan” itu diberikan selepas dia mati meminum racun. Padahal Luqman al-Hakim dikenali sebagai Luqman ketika dia masih hidup lagi.


Jelas di sini menunjukkan Socrates tidak ada kaitan dengan “menelan” ataupun “Luqman”.


KESIMPULAN KECIL


Berdasarkan empat hujah yang diberikan di atas iaitu:


Kaedah “Mungkin, Mungkin dan Mungkin” tidaklah cukup untuk dijadikan sandaran.
Nama “Luqman” yang bermaksud “menelan” itu sebenarnya ditujukan kepada seorang tokoh Arab zaman silam yang gelojoh ketika makan. Tidak ada kaitan langsung dengan Socrates.
Socrates “meminum” racun, bukannya “menelan”. Perbuatan menelan kurang sesuai digunakan untuk menceritakan perbuatan memakan sesuatu cecair melainkan pepejal.
Luqman al--Hakim dikenali sebagai Luqman ketika dia masih hidup. Socrates dikenali sebagai Luqman (menelan) hanya selepas dia mati. Mana mungkin dia dikenali sebagai Luqman.

… ternyata Luqman al-Hakim bukanlah Socrates. Kaedah linguistik yang digunakan untuk menyamakan Luqman al-Hakim dengan Socrates ternyata salah dan gagal.



RUJUKAN

“Lelaki Misteri Dalam Al-Quran, Kisah Luqman al-Hakim & Kebijaksanaannya” karya Muhammad Khair Ramadhan Yusuf. Terjemahan Ibnu Ghazali. Jasmin Enterprise. Cetakan Keempat 2008.

http://id.wikipedia.org/wiki/Hud

http://en.wikipedia.org/wiki/Socrates

http://abuhaekal.wordpress.com/2007/08/12/kaum-aad-dan-ubar/

http://en.wikipedia.org/wiki/Luqman

http://inmystery.blogspot.com/2010/03/tanaman-paling-berbahaya.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Linguistik



Abu Zulfiqar Amsyari (Alexanderwathern)

6 MEI 2010


* Bersambung ke siri kedua.

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/05/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bahagian.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Luqman Al-Hakim Bukan Socrates Empty Re: Luqman Al-Hakim Bukan Socrates

Post  Admin Sat Dec 08, 2012 9:14 pm

LUQMAN AL-HAKIM MENURUT PARA ULAMA


* Sila baca bahagian pertama terlebih dahulu untuk memaksimakan pemahaman anda. Anda boleh ke sini
http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/05/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bahagian.html




LUQMAN AL-HAKIM HIDUP PADA ZAMAN YANG MANA?

Ibnu Kathir : “Dikatakan dia ialah seorang qadhi pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Mujahid : “Dia (Luqman) ialah seorang qadhi dalam kalangan kaum Bani Israil pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pendapat mengatakan dia hidup pada ZAMAN NABI DAUD as.”

Al-Qurtubi : “Kami diberitahu bahwa NABI DAUD as hanya BERTEMU DENGAN LUQMAN setelah baginda lanjut usianya.” (Maksudnya mereka berdua hidup sezaman)

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim tidak hidup pada zaman Socrates. Mereka hidup pada dua zaman yang berbeza, tidak saling bertemu, apatah lagi untuk dikatakan mereka berdua ialah individu yang sama. Berdasarkan sandaran-sandaran ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Kita lihat pula sandaran-sandaran yang lain.


APAKAH BANGSA LUQMAN AL-HAKIM?

Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

Pendapat yang mengatakan dia ialah seorang HABSYI ialah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.

As-Suhaili : “Luqman ialah orang NAUBAH (satu kaum kulit hitam Sudan) dari penduduk kota ‘Ielah.”

Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari KETURUNAN NAUBAH.”

Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang hamba HABSYI yang bekerja sebagai tukang kayu.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang hamba HABSYI.”

Said al-Musayyab : “Luqman ialah DARI SUDAN, Mesir.”

Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang hamba HABSYI, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

Dari ‘Ataa’ bin Rabah, dari Ibnu ‘Abbas telah berkata : “Rasulullah saw bersabda : “Ambillah orang (bangsa) KULIT HITAM, kerana sesungguhnya tiga orang daripada mereka ialah dari kalangan penghulu ahli syurga – Luqman al-Hakim, An-Najashi dan Bilal.”

KESIMPULANNYA, bangsa Luqman al-Hakim tidak sama dengan bangsa Socrates. Luqman al-Hakim juga tidak berasal dari tempat asal Socrates. Berdasarkan sandaran-sandaran setakat ini, Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Nampaknta perbezaan antara mereka berdua semakin ketara. Kita smabung lagi dengan sandaran-sandaran seterusnya.


DI MANAKAH MAKAM LUQMAN AL-HAKIM?

Hassan al-Basri : “Luqman telah membina sebuah singgahsana di RAMLAH, SYAM. Pada masa itu, tempat tersebut masih lagi belum dibangunkan. Dia berada di sana sehinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”

Ibrahim bin Adham : “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara MASJID AR-RAMLAH dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat itu terdapat 70 kubur nabi-nabi sebelum Luqman...”

Kitab Ruhul Bayan : “Kuburnya (Luqman) berada di desa Sharfanad, lambAng bagi KOTA AR-RAMLAH, dari hasil usaha orang Palestin dan ada tanda di atasnya.”

Qatadah : “Kuburnya di AR-RAMLAH, di antara masjid Ar-Ramlah dan pasarnya.”

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim meninggal dunia dan dimakamkan di kota Ar-Ramlah, Syam. Padahal Socrates meninggal dunia di Athens dan dikebumikan di sekitarnya. Sandaran-sandaran ini juga membuktikan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Belum cukup? Kita sambung lagi.


APAKAH PEKERJAAN LUQMAN AL-HAKIM?

Ibnu al-Jauzi memetik, dari Makhul, bahawa Luqman al-Hakim ialah seorang HAMBA kepada seorang lelaki dari kaum Bani Israil...”

Ath-Tha’labi berkata: “Abdullah bin Husain telah memberitahu kami, dari Akramah, bahawa Luqman al-Hakim ialah antara HAMBA yang paling disenangi oleh tuannya.”

Dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah bersabda : “Luqman bukanlah seorang nabi tetapi dia seorang HAMBA yang banyak berfikir...”

Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang PENGGEMBALA ternakan yang berkulit hitam.”

Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang PENGGEMBALA kambing.”

Daripada Ibnu Hatim, dari Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya... “(Seorang lelaki terjumpa Luqman al-Hakim lalu berkata) Bukankah engkau HAMBA seorang dari bani fulan YANG MENGGEMBALA kambing ternakanku dulu?”

Satu riwayat dari Ibnu Wahab yang ceritanya lebih kurang sama dengan cerita di atas tadi... seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang berkulit hitam itukah?”

Ibnu Qutaibah : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi kepada seorang lelaki dalam kalangan Bani Israil. Kemudian dia dibebaskan dan diberikannya harta.”

Khalid ar-Rab’i : “Luqman ialah seorang HAMBA Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu.”

Al-Alusi : “Kebanyakan pihak mengatakan dia ialah seorang HAMBA Habsyi.”

Sufyan ath-Thauri mengatakan, dari Ibnu Abbas : “Dia ialah seorang HAMBA Habsyi, bekerja sebagai tukang kayu. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

KESIMPULANNYA, Luqman al-Hakim pernah jadi seorang hamba yang antara kerja yang diamanahkan kepadanya ialah menggembala kambing. Pernahkah Socrates jadi hamba yang menggembala kambing? Sandaran-sandaran ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.


BAGAIMANAKAH FIZIKAL LUQMAN AL-HAKIM?

Mujahid : “Dia (Luqman) mempunyai dua bibir yang tebal, kedua-dua belah kakinya terbuka luas.”

Amru bin Qais : “Luqman ialah seorang hamba KULIT HITAM yang mempunyai bibir tebal dan terbuka luas kedua-dua belah kakinya.”

Mujahid : “(Luqman berkata kepada seorang lelaki yang memandangnya) Sekiranya engkau melihat diriku ini mempunyai dua bibir yang tebal, maka telah keluar daripadanya perkataan yang indah dan sekiranya engkau melihat diriku ini kerana HITAM LEGAM, maka hatiku ini putih bersih.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi hatim, Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir, dari Ibnu al-Musayyab: “Sesungguhnya Luqman LEBIH HITAM daripada orang Sudan Mesir, mempunyai dua bibir yang tebal.”

Satu riwayat dari Ibnu Wahab , seorang lelaki bertanya kepada Luqman , “Bukankah engkau Luqman, HAMBA Berian-Nuhas?”... “Dan engkau ialah PENGGEMBALA kambing yang BERKULIT HITAM itukah?”

Ibnu Abbas, Ibnu al-Musayyab dan Mujahid mengatakan Luqman berketurunan NAUBAH (kulit gelap Sudan), kakinya terbuka luas dan mempunyai bibir yang tebal.”

Qatadah menukilkan, dari Abdullah bin Zubair : “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang diri Luqman?” Jabir menjawab : “Dia ialah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari BERKETURUNAN NAUBAH”

Ibnu Abbas : “Luqman bukanlah seorang nabi ataupun raja, tetapi dia hanyalah seorang penggembala ternakan yang BERKULIT HITAM.”

KESIMPULANNYA, ciri-ciri fizikal Luqman al-Hakim sangat berbeza dengan cirri-ciri fizikal Socrates.


KESIMPULAN BESAR UNTUK BAHAGIAN INI

Luqman al-Hakim jauh berbeza dengan Socrates dari segi zaman hidup, bangsa/ keturunan, tempat asal, tempat meninggal dunia, lokasi makam, pekerjaan dan ciri-ciri fizikal. Kajian pada bahagian ini jelas menunjukkan Socrates bukanlah Luqman al-Hakim.

Kita akan berpindah ke bahagian yang lain pula. Selepas ini kita akan meneliti KESEPAKATAN PARA ULAMA tentang Luqman al-Hakim. Bahagian itu nanti sangat penting dan akan mengukuhkan pandangan bahawa Socrates bukanlah Luqman al-Hakim. Sebagaimana yang kita sedia maklum akan kaedah... MUSTAHIL PARA ULAMA BERSEPAKAT DALAM SESUATU KESALAHAN.

Para pembaca jangan terlepas bahagian ketiga nanti.


http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/08/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bah-2.html
Jumpa lagi insyaallah : )

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum