MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Perbezaan Antara Roh dan Jiwa

Go down

Perbezaan Antara Roh dan Jiwa Empty Perbezaan Antara Roh dan Jiwa

Post  Admin Sun Dec 09, 2012 5:37 pm

SEORANG HAMBA ALLAH BERTANYA :
Salam Ustaz..setelah saya membaca tulisan ustaz saya ada beberapa soalan:
1. Apakah perbezaan antara roh dan jiwa? ‘Mutawaffiika’ itu adalah mengambil jiwa atau mengambil roh/nyawa?


PENJELASAN :
Wlksm. Terima kasih kerana sudi membaca (soalan ini datang selepas sahabat kita ini membaca tulisan saya yang bertajuk : “Nasser, Jasad Nabi Isa Bukan di Yaman” di http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nasser-jasad-nabi-isa-bukan-di-yaman.html) Insya-Allah saya akan cuba berikan penjelasan sekadar yang saya termampu.

Kita sedia maklum, pengetahuan kita tentang roh sangatlah sedikit. Firman Tuhan :
“Mereka bertanyakan engkau tentang ROH, maka katakanlah ROH itu dari perintah/urusan Tuhanku.” (Al-Isra’ : 85)

APAKAH ‘ROH’?

Dalam Al-Quran, sebutan ‘roh’ mempunyai beberapa maksud. Berdasarkan susunan dan isi kandungan sesuatu ayat itu, kita boleh mengagak maksud ‘ROH’ dalam ayat itu. Antaranya petikan Al-Quran :
“Dan begitulah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ROH dari perintah Kami.” (Asy-Syura : 52)
Allah mewahyukan ROH kepada Nabi Muhammad saw. Maka ROH pada ayat ini ialah ‘sesuatu yang diwahyukan’. Ada ulama mengatakan ROH pada ayat ini ialah Al-Quran itu sendiri. WaAllahua’lam.

“Yang Maha Tinggi DarjatNya, yang memiliki ‘arasy, yang menurunkan ROH dari perintahNYa kepada sesiapa yang disukaiNya dalam kalangan hamba-hamba-Nya, agar memperingatkan tentang hari pertemuan (hari kebangkitan).” (Al-Mu’min : 15)
Antara yang sesuai untuk ROH pada ayat ini ialah wahyu atau malaikat…….

“Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang di dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan, dan Allah telah memperkuatkan mereka dengan ROH daripadanya.” (Al-Mujaadilah : 22)
ROH dalam ayat ini ialah ‘sesuatu yang menguatkan, meneguhkan, membantu…’. Sekadar itu sahaja maklumat yang saya ada.

“Pada hari ROH dan para malaikat berdiri berbaris-baris, mereka sekalian tidak berkata-kata …” (An-Naba’ : 38)
Saya tidak tahu apa maksud ‘ROH’ pada ayat ini. Jika hendak dikatakan Malaikat Jibril, tentunya dia sudah berada dalam spesis malaikat. Ada kemungkinan juga roh itu ialah roh-roh manusia dan jin. Ada juga ulama yang mentafsirkannya sebagai sebahagian tentera Allah.

“Pada malam itu turun para malaikat dan ROH dengan izin Tuhan mereka.” (Al-Qadr : 4)
ROH yang ini juga tidak saya ketahui. Ia bukan Malaikat Jibril kerana Jibril berada dalam kalangan malaikat. Boleh jadi juga roh itu ialah roh-roh para manusia dan jin yang sudah meninggal, ataupun tentera Allah selain para malaikat.

“Hanya sanya Al-Masih Isa anak Maryam itu ialah utusan Allah dan kalimatNya yang disampaikan kepada Maryam, dan ROH daripadaNya.” (An-Nisa : 171)

“Dan (Maryam) yang menjaga kesuciannya, lalu Kami meniupkan kepadanya ROH Kami.” (Al-Anbiya’ : 91)
ROH pada kedua-dua ayat ini ialah sesuatu yang menjadi penyebab kepada terbentuk dan hidupnya Nabi Isa di dalam kandungan ibunya.

“Dan sesungguhnya (Al-Quran) ini benar-benar diturunkan oleh Rabb sekalian alam.” (Asy-Syu’araa : 192)
“Yang dibawa turun oleh ROH AL-AMIN.” (Asy-Syu’araa : 193)
“Ke dalam hatimu (wahai Muhammad) agar engkau termasuk orang yang memberi peringatan.” (Asy-Syu’araa : 194)
“Dengan bahasa Arab yang jelas.” (Asy-Syu’araa : 195)
ROH AL-AMIN di sini ialah Malaikat Jibril.

Bukti sokongannya yang mengatakan ia ialah Jibril ada dijelaskan dalam ayat yang lain :
“Katakanlah : Sesiapa yang menjadi musuh kepada Jibril, sesungguhnya dialah yang menurunkan wahyu itu kepada hatimu dengan izin Allah.” (Al-Baqarah : 97)
Ada persamaan kerana hal Jibril menurunkan wahyu ke dalan hati Nabi Muhammad ada disebutkan dalam kedua-dua surah.

Juga bukti ROH itu ialah Jibril :
“Katakanlah : ROHUL QUDUS yang menurunkan (Al-Quran) itu daripada Tuhanmu dengan kebenaran…….” (An-Nahl : 102)
ROHUL QUDUS pada ayat ini ialah Malaikat Jibril.

Satu perkara yang kita nampak di sini, apabila ROH mahu dikaitkan dengan Malaikat Jibril, pada gelaran itu ada penambahan seperti ROH AL-AMIN dan ROHUL QUDUS. Ia tidak disebutkan ‘ROH’ sahaja.

Begitulah serba-sedikit panduan daripada Al-Quran tentang ROH. Jelasnya, ROH tidak dikaitkan dengan nyawa atau diri halus manusia kerana Al-Quran menyebut nyawa manusia sebagai JIWA (AN-NAFS). Seterusnya mari kita lihat apa kata Al-Quran tentang JIWA (AN-NAFS) pula.

APAKAH ‘JIWA’?

“Wahai JIWA (AN-NAFS) yang tenang. Kembalilah Kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhainya.” (Al-Fajr : 27)
‘JIWA’ dalam ayat ini lebih sesuai dengan hati, kalbu, perasaan, akal, pemikiran dan seumpamanya.

“Aku bersumpah dengan JIWA (AN-NAFS) yang selalu menyesali.” (Al-Qiyamah : 2)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah hati, akal, pemikiran, perasaan dan yang seumpama dengannya

“Dan aku (Nabi Yusuf) tidak (mengatakan) diriku bebas (dari kesilapan), kerana sesungguhnya JIWA (AN-NAFS) itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali yang diberi rahmat oleh Rabbku. Sesungguhnya Rabbku Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Yusuf : 53)
‘JIWA’ dalam ayat ini sesuai dengan nafsu, kehendak.

“Dan JIWA (NAFS) dan apa yang menyempurnakannya. Maka diilhamkan kepadanya (kepada jiwa itu) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya (jiwa itu).” ( Asy-Syams : 7-Cool
JIWA’ di sini ialah akal, pemikiran, hati dan seumpamanya.

“Setiap JIWA (NAFS) akan merasai maut .” (Ali Imran : 185)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah makhluk yang hidup atau bernyawa. Maut bermaksud kehilangan nyawa. Oleh itu ertinya setiap makhluk yang hidup dan bernyawa pasti akan merasai mati, pasti akan hilang nyawa. ‘JIWA’ dalam ayat ini melibatkan jasad dan nyawa sekaligus.

“Dan ketika kamu membunuh satu jiwa/seseorang (NAFSAN), lalu kamu menuduh-nuduh tentang pembunuhan itu.” (Al-Baqarah : 72)
‘JIWA’ yang ini pula ialah manusia yang bernyawa. Maka ayat ini sesuai dikatakan : “Dan ketika kamu membunuh seorang manusia hidup…” Ia melibatkan jasad dan nyawa sekaligus.
“Dan kerana engkau melihat ketika orang –orang yang bersalah itu di dalam sengsara kematian, dan para malaikat pun mengembangkan tangan-tangannya seraya mengatakan : “Lepaskan jiwa-jiwa kamu (ANFUSAKUM).” (Al-An’am : 93)
‘JIWA’ di sini ialah nyawa.

“Berilah salam sesama kamu (ANFUSIKUM).” (An-Nur : 61)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah manusia dan jin, iaitu jasad dan jiwa sekaligus.

“Ketahuilah, bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada di dalam JIWA (ANFUSIKUM) kamu itu, sebab itu berhati-hatilah.” (Al-Baqarah : 235)
‘JIWA’ di sini ialah hati, pemikiran.

Jelaslah kepada kita di sini bahawa di dalam Al-Quran, ROH dan JIWA masing-masing mempunyai maksud tersendiri bergantung pada penggunaannya. Sekadar itu sahaja pengetahuan saya. WaAllahua’lam.

Perbahasan para ulama tentang roh dan jiwa sangatlah panjang dan mempunyai beberapa pandangan yang berbeza. Hal itu tidaklah saya muatkan di sini kerana akan memakan terlalu banyak masa, ruang dan kerja. Secara ringkasnya, saya cenderung kepada pandangan ulama yang mengatakan roh dan jiwa itu sebenarnya dua perkara yang berbeza. Namun begitu, jiwa ‘berdiri’ atau ‘melekat’ pada roh, hinggakan sesekali ia dinisbahkan kepada roh itu sendiri.

Sekadar itu sahaja pengetahuan saya yang faqir. WaAllahu’alam.

Alangkah kerdilnya ilmu manusia tentang roh…….

APAKAH MAKSUD ‘MUTAWAFFIIKA’ DALAM KES NABI ISA?

“Mutawaffiika” ada dua keadaan iaitu :
1. Tuhan mengambil/memegang jiwa seseorang tanpa dipulangkan, iaitu dimatikan. Ia juga bermaksud Tuhan mengambil nyawa dan mengambil kehidupan dunia seseorang.
2. Tuhan mengambil/memegang jiwa seseorang untuk sementara, yang kemudiannya akan dipulangkan, iaitu tidur. Orang ini masih ada nyawa.

Buktinya :
“Allah mengambil jiwa (YATAWAFFA) seseorang ketika matinya dan (juga YATAWAFFA kepada seseorang) yang belum mati (iaitu) ketika tidurnya, maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan jiwa yang lain (yang belum sampai waktu kematiannya) sehinggalah waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda Allah bagi kaum yang berfikir.” (Az-Zumar : 42)

Apakah persamaan antara orang yang mati dengan orang yang tidur? Untuk mendapatkan pemahaman tentangnya, saya petik kata-kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Dunia menjadi tempat tinggal, badan menjadi kenderaan, dan amal perbuatan menjadi jalan kepada matlamat.”

Apabila dikatakan ‘badan menjadi kenderaan’, sudah tentu ada pemandunya. Pemandunya ialah diri halus kita. Jadi persamaan antara tidur dan mati ialah ‘pemandu’ tubuh itu diambil/dipegang oleh Allah SWT. Jika dia melepaskan ‘pemandu’ itu, hidup lagilah jasad yang sedang tidur. Jika Dia tidak melepaskan ‘pemandu’ itu, matilah jasadnya. Tidur atau mati, ‘pemandu’ tidak berkuasa untuk mengawal jasad lagi. ‘Pemandu’ itu tidak lain ialah JIWA. JIWAlah yang diambil/dipegang oleh Allah apabila berlakunya “MUTAWAFFIIKA”.

“(Ingatlah) ketika Allah berfirman, “Wahai Isa! Aku mengambil/memegang jiwamu (MUTAWAFFIIKA) dan mengangkatmu kepada-Ku, serta menyucikanmu daripada orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikutimu di atas orang-orang yang kafir HINGGA HARI KIAMAT. KEMUDIAN kepada-Ku engkau kembali, lalu Aku beri keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan.” (Aali ‘Imraan : 55)

Kita ikuti urutan peristiwa dalam ayat ini :
1. Allah ambil/pegang jiwa Nabi Isa.
2. Allah angkat jasadnya kepadaNya.
3. KEMUDIAN barulah Nabi Isa dimatikan, iaitu dengan kata : “KEMUDIAN kepada-Ku engkau kembali.”

Kalau pada urutan nombor 1 itu Nabi Isa sudah dimatikan (sudah diambil nyawa/ sudah kembali kepada Tuhan/ sudha meninggal dunia), ia sudah bertentangan dengan urutan pada nombor 3. Kalau sudah mati, untuk apa mati lagi sekali? Hal ini membuktikan pada urutan nombor 1 itu Nabi Isa belum mati, cuma direhatkan. Jadi “MUTAWAFFIIKA” pada ayat ini bermaksud “memegang/mengambil jiwa” bukannya mengambil roh atau nyawa.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar
11 SEPTEMBER 2012

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/perbezaan-antara-roh-dan-jiwa.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum