Siapakah Zulqarnain?

View previous topic View next topic Go down

Siapakah Zulqarnain?

Post  Admin on Sat Dec 08, 2012 8:12 pm

(*Artikel ini ditulis ketika saya masih meyakini Maharaja Korsh/ Cyrus dari Parsi sebagai Zulqarnain. Kemudiannya pandangan saya berubah).

Ketika masih remaja dulu saya percaya Zulqarnain dan Alexander the Great kedua-duanya orang yang sama. Namun setelah membaca di sana-sini hasil kajian mereka yang berkemahiran, saya mula beranggapan kedua-duanya orang yang berlainan.

Zulqarnain seorang yang beriman sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran sedangkan Alexander dipercayai oleh sebahagian orang sebagai seorang yang kufur. Saya mulai percaya Zulqarnain hidup lebih awal daripada Alexander. Masyhurnya Iskandar Zulqarnain ini menyebabkan banyak raja-raja selepasnya menggunakan nama Iskandar/ Alexander termasuklah Alexander the Great dari Macedonia (Maquduniah) itu.

Raja-raja Melayu sendiri banyak yang menggunakan nama Iskandar. Bahkan secara peribadi saya memandang nama ‘Rajendra’ yang digunakan oleh beberapa orang raja di India tidak lain ialah ‘Alexander’ ataupun ‘Iskandar’. Yang paling terkenal ialah Rajendra 1 (Raja Suran) dari Kerajaan Chola yang berjaya menakluk Tanah Melayu termasuklah kerajaan Gangga Negara di Perak.

Saya (*ketika artikel ini ditulis, sebelum saya cuba menyelidiki sendiri siapa Zulqarnain) memilih pemerintah Parsi kuno sebagai Zulqarnain iaitu antara Maharaja Cyrus (Korsh/ Kursh) ataupun Darius (Dara) , tapi bukan Maharaja Dara yang berperang dengan Alexander Macedonia. Kajian menunjukkan empayar Parsi kuno ini antara empayar yang paling luas pernah wujud di muka bumi, melebar dari Barat (Eropah dan Afrika) hingga ke Timur pada zaman silam.

Bukti-bukti menunjukkan perjalanan Alexander Macedonia tidak sampai pun ke negara China, paling jauhpun di pinggirnya saja, kemudian dia menemui maut dalam usia yang muda. Alexander juga tidak membina apa-apa benteng sedangkan Zulqarnain membina benteng kukuh antara gunung untuk menyekat kaum Yakjuj Makjuj (bangsa-bangsa gasar di utara Dunia).

Sumber-sumber Barat tentang Alexander Macedonia tidak menyentuh tentang pembinaan benteng. Namun Barat mula menyentuhnya apabila mereka menyedari wujudnya cerita benteng Zulqarnain dalam al-Quran.

Zulqarnain membawa agama tauhid yang saya yakini (*ketika artikel ini ditulis) sebagai agama Zoroaster (Zarathustra) yang kemudiannya terseleweng hingga menjadi agama Majusi yang menyembah api . Agama inilah yang bertapak kukuh di Parsi kuno. Ada juga pendapat mengatakan beliau membawa agama Nabi Ibrahim ataupun agama peninggalan Nabi Nuh (*kini saya lebih cenderung kepada pandangan ini).

Agama Zoroaster dikatakan membawa pemahaman wujudnya Tuhan baik yang diseimbangkan dengan tuhan jahat. Berkemungkinan perkara ini menghasilkan pemahaman yin dan yang di China.

Salah seorang penasihat utama Alexander ialah Aristotle (Aristun Syah) . Hingga kini agama Aristotle masih diragukan sungguhpun dia dan guru-guru sebelumnya seperti Socrates dan Plato nampak tidak sealiran dengan pemerintah dalam isu ‘sembahan’ (menurut Al-Ghazali, Aristotle sendiri kemudiannya mengkufurkan ajaran Plato dan Socrates). Mereka lebih kepada ahli falsafah berbanding Nabi ataupun seorang yang menganut agama tauhid. Penasihat Zulqarnain yang masyhur pula ialah Nabi Khidhir, yang jelas-jelas bertauhid.

Beberapa pengkaji berpendapat ‘Barat’ yang terkenal dengan sikap suka memanipulasikan sejarah itu memainkan peranan penting untuk men’Zulqarnain’kan Alexander Macedonia. Mereka cukup sakit hati jika apa-apa kelebihan memihak kepada ‘Timur’ termasuklah dalam hal Zulqarnain. Barat mahu Alexander Macedonia diyakini semua orang sebagai Zulqarnain dalam Quran. Quran dengan bijaknya menyanggah hal itu apabila menyanjung keagamaan Zulqarnain yang jauh berbeza dengan ‘keliaran’ Alexander Macedonia.

Lihat sajalah filem Alexander keluaran Barat, ‘diwarnakannya’ rambut Zulqarnain dengan warna perang. Padahal sisa-sisa bukti yang ada menunjukkan Zulqarnain berambut hitam. Namun dalam hal ini ada kekecualian. Boleh jadi memang filem itu hendak menceritakan Alexander the Great dan bukannya Iskandar Zulqarnain al-Quran.

Rom dan Parsi saling beralih kuasa pemerintahan (pentadbiran dunia digilir-gilirkan antara Timur dengan Barat). Kedua-duanya ada raja yang bernama ataupun bergelar Iskandar. Rom pastinya iri hati dengan Iskandar Zulqarnain Parsi yang gah suatu waktu dahulu. Atas sebab itu Rom (Barat) mahu membuktikan Iskandar merekalah yang paling agung. Seboleh-bolehnya mereka mahu menutup kisah Iskandar Zulqarnain dari Parsi. Sekali lagi Quran begitu bijak menyanggah hal ini dengan menyebut tokoh ini sebagai ‘Zulqarnain’ sahaja tanpa ‘Iskandar/ Alexander’. ‘Zulqarnain’ hanya ada di Parsi dan bukan di Rom (ketika itu berpusat di Macedonia).

Saya ada menyimpan satu artikel lama (lebih kurang 20 tahun dulu) yang saya koyak dari sebuah akhbar (rasanya Utusan ataupun Berita Harian) tapi kini entah di mana. Penulisnya berpendapat Zulqarnain ialah anak Nabi Ibrahim daripada isteri(hamba)nya iaitu Qanturah/ Ketura. Anak inilah yang berguru dengan Aristotle. Penulis artikel itu cenderung untuk mengakui keimanan Aristotle, Plato dan Socrates.

Pada saya, pandangan ini tidaklah kukuh. Sebagaimana yang kita maklumi, Iskandar/ Alexander yang berguru kepada Aristotle ialah anak Raja Phillips (Filaqus), bukan anak Nabi Ibrahim. Tentang keimanan ketiga-tiga tokoh falsafah itu, tidaklah kita ada maklumat yang selengkapnya.

Menurut buku ‘Lelaki Misteri Dalam Al-Quran-Iskandar Zulkarnain’, banyak ulama dan sejarahwan menyokong Alexander the Great sebagai Zulqarnain tetapi semakin hari semakin ramai yang menolaknya termasuklah Ibnu al-Qayyim, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah dan Sayyid Qutb.

Wallahualam.


'BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw'

'Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/siapakah-iskandar-zulqarnain.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum