Jenis-jenis Keupayaan Ilmuwan Agama

View previous topic View next topic Go down

Jenis-jenis Keupayaan Ilmuwan Agama

Post  Admin on Thu Dec 13, 2012 11:13 pm

PERTAMA – Handal dalam maklumat, lemah dalam kefahaman

Contohnya seorang yang berjaya menghafaz keseluruhan Al-Quran, 50,000 hadith, 10,000 syair dan 10 buah kitab. Sungguhpun dirinya penuh dengan maklumat, tetapi dia tidak mahir dalam menyaring maklumat dan mengeluarkan keputusan daripada maklumat-maklumat itu (sekalipun ditambah lagi maklumat-maklumat untuk dia menyaringnya berupa kitab-kitab, vcd, hafalan orang lain dan sebagainya). Apabila diminta menulis sebuah kitab tentang hukum-hakam dalam hal sekian-sekian, dia tidak cukup layak untuk melakukannya kerana lemah dalam menyaring maklumat dan mengeluarkan keputusan. Namun begitu, ilmuwan jenis ini mampu menulis sebuah kitab yang berisi pelbagai maklumat yang diperlukan dalam hukum-hakam yang dimaksudkan itu, kerana dirinya seumpama sebuah perpustakaan besar. Tidak menjadi kesukaran untuk dia memindahkan segala maklumat dalam dirinya ke dalam bentuk kitab.

Contohnya seorang ahli ilmu persilatan yang tahu, hafal dan boleh melakukan demo untuk kesemua buah-buah silat perguruannya yang terdiri daripada 21 buah asas, 147 buah pecahan daripada buah asas dan 1,029 ranting lagi daripada pecahannya. Dia memang mahir sukatan pelajaran perguruannya. Malangnya, ketika dalam latihan ataupun pertempuran sebenar, dia sering sahaja kalah dan menjadi seakan-akan ‘punching bag’ kepada lawannya. Hal ini kerana dia sangat lemah dalam memilih gerak/ buah yang sesuai dengan serangan yang datang.

Bolehkah kita berguru dengan ilmuwan jenis ini?

Boleh, tapi kita kena selalu beringat yang ilmuwan ini mahir dalam maklumat, bukan dalam kefahaman. Untuk mengukuhkan ilmu kita terutamanya dari segi pemahaman, hendaklah kita mencari guru-guru lain lagi. Jangan bergantung dengan seorang guru sahaja.

KEDUA – Handal dalam kefahaman, lemah dalam maklumat

Contohnya seorang yang hanya menghafal 1 juzuk Al-Quran, 40 hadith dan sebahagian isi-isi penting kitab-kitab. Sungguhpun dirinya kurang maklumat sedia ada, tapi jika dibentangkan apa-apa permasalahan agama, dengan pantas dia tahu di mana hendak dicari rujukan tentangnya. Bahkan dia mahir menyaring maklumat-maklumat yang ada itu dan mampu mengeluarkan keputusan dengan baik. Jika diminta menulis sebuah kitab tentang hukum sekian-sekian, dia berjaya melaksanakannya dengan baik asalkan ada sumber-sumber rujukannya. Tapi tanpa sumber-sumber rujukan yang memadai, dia kurang layak menghasilkan kitab tersebut tetapi kitabnya masih boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Contohnya seorang ahli persilatan yang hanya tahu, hafal dan boleh menunjukkan buah-buah asas, sebahagian besar buah-buah pecahan dan sebahagian kecil buah-buah rantingnya. Maksudnya orang ini tidak tahu sangat hal ehwal sukatan pelajaran perguruannya. Nama-nama buah pun banyak yang tidak diingatnya. Tetapi dalam setiap latihan ataupun pergaduhan, dia sering sahaja berjaya membelasah lawan-lawannya. Hal ini kerana sungguhpun buah-buah silat yang ada pada dirinya tidak banyak, tetapi dia mahir memilih/mempraktikkan buah-buah yang sesuai dengan gerak lawan, kena dengan tempat dan masanya.

Bolehkah kita berguru dengan ilmuwan jenis ini?

Boleh, dan sebaik-baiknya selalulah peringatkan diri yang ilmuwan ini tidak mahir dalam maklumat. Jika kita hendak maju dalam maklumat, kita mestilah mencarinya daripada ilmuwan-ilmuwan yang lain. Berguru biar banyak.

KETIGA – Handal dalam maklumat, handal dalam kefahaman.

Contohnya seorang yang berjaya menghafaz keseluruhan Al-Quran, 50,000 hadith, 10,000 syair dan 10 buah kitab. Di samping itu, apabila dikemukakan apa-apa permasalahan agama, ilmuwan jenis ini mahir menyaring maklumat dan mengeluarkan keputusan.

Contohnya seorang ahli persilatan yang tahu dan hafal sukatan pelajaran perguruannya, dan dalam masa yang sama dia memang mahir berlawan.

Guru atau ilmuwan jenis ini adalah lebih baik daripada jenis yang pertama dan kedua. Malangnya golongan ini sukar untuk diperolehi. Memadai berguru dengan mereka sahaja dalam bidang-bidang tertentu, tetapi jika dapat ditambah dengan guru-guru lain adalah lebih baik.

PERBAHASAN

Oleh kerana ilmu agama ini sangat luas dan banyak bidangnya, kedudukan para ilmuwan (ulama) dalam bidang yang berlainan, adalah berbeza-beza.

CONTOH 1: Contohnya dalam bidang hadith, ilmuwan bernama Ustaz A berada dalam jenis kedua. Dia tidak hafal banyak hadith tetapi dia punya pertimbangan yang sangat baik dalam menyaring hadith-hadith untuk mengeluarkan apa-apa keputusan.

Dalam bidang tauhid, Ustaz A berada dalam jenis pertama. Dia tahu banyak tentang sukatan pelajaran tauhid dan istilah yang ada dalam ilmu tauhid tetapi pemahamannya dalam tauhid peringkat tinggi masih lemah dan kabur.

Dalam bidang sejarah/ sirah pula, Ustaz A berada dalam jenis yang ketiga. Maklumat-maklumat sejarah banyak di kepalanya dan dia mampu melakukan kajian ke atas maklumat-maklumat itu lalu memberikan keputusannya. Dan biasanya keputusan yang terhasil melalui kajiannya sangat sukar untuk ditidakkan oleh orang lain kerana kekukuhan kajiannya itu.

CONTOH 2 : Contohnya seorang ahli seni beladiri bernama Pendekar B. Dalam permainan keris, dia jenis ilmuwan kategori ketiga. Dia mahir sukatan pelajaran keris dan memang handal berlawan menggunakan keris.

Dalam memanah, dia ilmuwan jenis pertama. Dia tidak mampu memanah dengan baik (selalu tidak tepat) tetapi dia mahir dengan sukatan pelajaran memanah seperti penilaian jarak dengan sasaran, pengaruh kelajuan angin dengan layangan anak panah, kedudukan tangan kanan dan tangan kiri ketika melepaskan anak panah dan lain-lain. Semuanya boleh diterang secara terperinci olehnya, dan mampu dihidangkannya dalam bentuk teori, kursus, buku dan lain-lain.

Dalam mengepalai peperangan pula, dia berada dalam jenis yang kedua kerana memang kurang ingat akan sukatan pelajarannya. Contohnya, jika tentera berkuda gagal memecah barisan musuh, pasukan mana yang perlu dikerahkan terlebih dahulu? Pejalan kaki? Pemanah? Komando?

Katakan pasukan pejalan kaki yang sepatutnya pergi, pihak mana yang perlu bergerak laju, pihak mana yang kena mengumpan, pihak mana yang kena berlengah-lengah? Sayap kanan? Sayap kiri? Barisan tengah?

Berapa banyak bendera yang masih berkibar (yang melambangkan kelompok tentera sendiri yang masih hidup) dan anggaran kemusnahan tentera sendiri yang masih boleh bertahan perlu ada sebelum perintah berundur dikeluarkan?

Kesemua hal ini kurang tersimpan dalam kepalanya. Jika dibuat ujian bertulis, dia tidak akan memperolehi gred A ataupun B. Namun begitu, sudah terbukti dalam beberapa pertempuran sebelum ini, pasukan yang dipimpinnya selalu saja mendapat kemenangan besar. Hal ini kerana dia mahir menyusun gerak dan membuat pertimbangan bijak ketika pertempuran sedang berlangsung berdasarkan ilmunya yang sedikit. Berbeza dengan temannya yang sentiasa dapat A dalam peperiksaan bertulis tetapi seringkali kelam-kabut dan tidak tentu arah ketika di medan, malah pasukannya sering menderita kekalahan.

KESIMPULAN

Jika kita buat pemerhatian, ulama-ulama agama Islam memang berada dalam salah satu daripada tiga golongan yang disebutkan di atas tadi. Pada diri seseorang ulama itu pula, kemampuannya dalam bidang-bidang agama ini terbahagi juga kepada tiga jenis keupayaan itu.

PENGAJARANNYA

Setiap manusia dan jin ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, jangan bergantung SEPENUHNYA dengan hanya seorang ilmuwan agama. Bergantung SEBAHAGIAN BESARNYA kepada seseorang ilmuwan agama? Hal itu tidak mengapa, asalkan jangan bergantung SEPENUHNYA. Perkayakan input maklumat dan pemahaman daripada ilmuwan-ilmuwan yang lain juga. Dengan cara itu kita selamat daripada taksub. Mengasihi seseorang lebih daripada orang lain, tidak menjadi hal, asalkan bukan taksub. Pada saya, ketaksuban membinasakan kewarasan, dan kewarasan membinasakan ketaksuban.

Setiap manusia dan jin termasuklah yang bertaraf aulia’ ada kelemahan dan kesalahan, kecuali Nabi Muhammad saw. Sehebat mana pun seseorang guru dan kitab, pasti ada kelemahan yang tidak dapat diatasinya ataupun yang tidak disedarinya. Bahkan biasanya ada juga terselit walau sekelumit kesalahan ataupun tersilap. Oleh itu, BERGURU dalam sesuatu bidang BIARLAH LEBIH. Dengan cara ini kita akan dapat membuat pertimbangan. Kelemahan dan kesilapan ilmu seseorang guru itu dapat ditampung oleh ilmu guru-guru yang lain.

Jangan kita memandang rendah orang yang mindanya bersifat ‘merakam’. Dia memang banyak maklumat tapi mindanya lebih berupa maklumat dalam buku-buku. Jika tidak ada golongan ini, di mana kita hendak mencari maklumat? Jangan juga memandang rendah akan orang yang fikirannya bernas tetapi maklumat dalam dirinya kurang. Jika tidak ada golongan ini, siapa yang hendak mencanai maklumat-maklumat yang ada sehingga menjadi hidangan? Kedua-dua golongan ini tetap berada dalam kalangan ulama juga, cuma tidak sehebat ulama jenis ketiga yang mindanya merakam dan fikirannya bernas.

Dr. Hamka memberikan contoh dalam pendahuluan Tafsir Al-Azhar bahawa BIASANYA:

1. Ulama yang elit dalam ilmu hadith, lemah dalam melakukan ijtihad dan fiqh.

2. Ulama yang mahir dalam menyaring dan mengeluarkan hukum, lemah dalam hafalan.

3. Ulama yang kuat hafalannya, lemah dalam berfikir.

Apa-apa pun, mereka tetap ulama asalkan punya keupayaan yang TINGGI dalam arena masing-masing.

Abu Zulfiqar

2 April 2011

http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/04/jenis-jenis-keupayaan-ilmuwan-agama.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum