MADRASAH MAYA AL-AMSYARI
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Cheng Ho - Kemusliman dan Hubungannya dengan Melaka

Go down

Cheng Ho - Kemusliman dan Hubungannya dengan Melaka Empty Cheng Ho - Kemusliman dan Hubungannya dengan Melaka

Post  Admin Sun Dec 09, 2012 4:12 pm

MUQADDIMAH

“Assalamualaikum. Boleh ustaz berkongsi sedikit tentang Laksamana Cheng Ho? Saya pernah dengar Laksamana China ini beragama Islam dan banyak juga jasanya. Ada kaitan juga dengan Kesultanan Melayu Melaka.Boleh ustaz kongsi pandangan jika ustaz ada pengetahuan mengenainya? Terima kasih.”

Begitulah bunyi sebuah soalan yang diajukan kepada saya di laman Bermesra Dengan Kebenaran Mutlak, secara tepatnya di http://myalexanderwathern.blogspot.com/2008/11/tentang-laman-ini.html .

Dalam usaha menjawab soalan yang dikemukakan, saya akan memberi tumpuan terus pada kehendak soalan iaitu tentang :

1. keIslaman Laksamana Cheng Ho.

2. hubungan beliau dengan Kesultanan Melayu Melaka.

Hal-hal lain tentang Cheng Ho tidak akan saya sentuh walaupun banyak maklumat menarik yang boleh kita teliti bersama-sama. Saya juga akan terus kepada penghujahan, tanpa menggunakan bahasa yang berbunga-bunga.

Dari segi kekuatan sesuatu hujah, saya letakkan kategori tersendiri iaitu :

1. Hujah yang KUKUH – maksudnya pada saya hujah ini sukar untuk ditidakkan.

2. Hujah yang BAIK – maksudnya hujah yang boleh kita jadikan sandaran walaupun ruang untuk mempertikaikannya masih agak luas juga.

3. Hujah yang LEMAH – maksudnya hujah ini memang boleh dipertikaikan dan tidak boleh dijadikan sandaran, kecuali untuk pengetahuan sampingan.

4. Hujah yang TERTOLAK – maksudnya memang tidak boleh dijadikan sandaran walaupun sekadar sandaran sampingan.

Namun begitu, jika ada sekumpulan hujah yang lemah yang menceritakan perkara yang sama, isi hujah yang lemah itu boleh dinaiktaraf menjadi hujah yang baik.

Begitu juga jika ada sekumpulan hujah yang baik yang menceritakan perkara yang sama, ia boleh ditingkatkan menjadi hujah yang kukuh.

Beri perhatian kepada kategori sesuatu hujah itu pada setiap hujah yang akan kita bentangkan.

Artikel ini mungkin akan jadi sebuah artikel yang panjang. Oleh itu, sebelum para pembaca menidakkan sesuatu penemuan atau pandangan saya, sebaik-baiknya tunggu sehingga saya buat kesimpulan di akhir artikel nanti.

Selamat mengambil manfaat : )


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 1 :

Rata-rata masyarakat dunia mengakui Laksamana Cheng Ho sebagai seorang muslim, ataupun sekurang-kurangnya tidak menidakkan kemuslimannya.

Penilaian kita :

Pandangan majoriti masyarakat dunia dan kepopularitian maklumat yang tersebar bukanlah penentu kebenaran, namun sekurang-kurangnya ia perlu diambil kira juga sebagai sandaran sampingan. “Ming Shi” atau Sejarah Dinasti Ming tidak bercerita tentang Cheng Ho kecuali dalam pernyataan yang sangat sedikit iaitu : “Cheng Ho berasal dari wilayah Yunan, dikenal sebagai Kasim San Bao.” Jadi Sejarah Dinasti Ming tidak menceritakan langsung tentang keturunan dan agama Cheng Ho. Namun ada kemungkinan dia seorang muslim kerana begitu ramai penduduk wilayah Yunan yang beragama Islam terutamanya suku Hui yang melahirkan Cheng Ho.

Setakat bahagian ini, hujah mengatakan Laksamana Cheng Ho seorang muslim masih bertaraf LEMAH kecualilah jika dikuatkan oleh hujah-hujah yang lain yang dapat meningkatkan kekuatannya.

Mari pergi ke hujah yang ke-2.


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 2 :

Beberapa orang sarjana mengatakan Cheng Ho ialah keturunan Nabi Muhammad s.a.w, iaitu keturunan yang ke-37. Antaranya Prof. Haji Li Shihou dari China dan Usman Effendy dari Indonesia. Dalam mencari salasilah Cheng Ho, Prof. Haji Li Shihou meneliti dua sumber iaitu Mukaddimah Salasilah Marga Cheng (Zheng Shi Jia Pu Shou Xu) yang ditemui di Nanjing (Nanking) dan Salasilah Sayyid Ajall (Sai Dian Chi Jia Pu) yang ditemui di Waisan, Yunan. (1)

Menurut Usman Effendy : “Ahli sejarah bernama Prof. Haji Li Shihou itu dalam literaturnya menemui bukti bahawa moyang yang ke-11 dari Cheng Ho ialah utusan negeri Bokhari yang bernama Saiyidina Syafi’i, dan Syafi’i ini ialah keturunan Rasulullah. Dengan demikian Saiyidina Syafi’i ialah cucu ke-26 dari Nabi Muhammad saw.” (2)

Di bawah ialah salasilah dari Nabi Muhammad sampailah Cheng Ho sebagaimana yang dikeluarkan oleh Prof. Kong Yuanzhi (3) dalam bukunya, berdasarkan penelitian yang dibuat oleh Prof. Haji Li Shihou. (Nama-nama dalam kurungan adalah agakan saya sahaja, bukannya pendapat Prof. Kong Yuanzhi)

1. Muhammad (Nabi Muhammad s.a.w)

2. Ali (Saiyidina Ali)

3. Hou-Sai-Ni (Saiyidina Husain)

4. Yi-Bu-Lai-Xi-Mo (Ibrahim)

5. Yi-Si-Ma-Ai-Le (Ismail)

6. Xie-Xin

7. E-Le-Hou-Sai-Ni (Al-Husaini)

8. Ye-Ha-Ya (Yahya)

9. E-Ha-Mo-De (Ahmad)

10. Li-Sha-Shi yang dikatakan pemerintah kerajaan Mi-Si-Le (mungkin wilayah Mosul di Iraq)

11. She-Li-Ma (Salim)

12. Mu-Lu-Ye-Mi

13. Ya-Xin (Yaasin)

14. Lu-Er-Ding (Jalaluddin)

15. Mu-Ba-Er-Sha (Muhammad Basyah)

16. Yi-Xi-Ma-Xin

17. Ha-San (Hasan)

18. Gu-Bu-Din (Gulbuddin)

19. Mu-Xie (Musa)

20. Hu-Fu-Ding (....fuddin)

21. Wu-Ma-Nai-Ding (Aminuddin)

22. Wu-Ma-Er (Umar) (4)

23. Cha-Fa-Er (Ja’far)

24. Zhe-Ma-Nai-Ding (Zainal Abidin)

25. An-Du-Er-Yi

26. Suo-Fe-Er yang dipercayai sebagai Syafi’i

27. Sai-Yan-Su-Lai-Gong-Na (Syamsul ..............)

28. Su-Sha-Lu-Gu-Chong-Yue/Su Zhu Sa

29. Kan-Ma-Ding-Yu Su-Pu (Kamaruddin Yusuf)

30. Ma-Ha-Mu-Ke-Ma-Nai-Ding (Mahmud Kamaluddin)

31. Sai-Dian-Chi/ Sayyid Ajall/ Syamsuddin

32. Nu-Su-La-Ding (Nasruddin)

33. Bai-Yan

34. Mi-Di-Na/ Haji (Madinah)

35. Mi-Li Jin/ Ma Haji

36. Ma He/ Cheng Ho


Salasilah ini pada saya bertaraf hujah yang LEMAH juga. Ia bukanlah bukti kukuh bahawa Laksamana Cheng Ho beragama Islam. Kerana :

1. Boleh jadi ada kesalahan dalam salasilah ini, sama dan yang disengajakan ataupun tidak. Belum tentu Cheng Ho benar-benar berketurunan Nabi Muhammad. Banyak kes di seluruh dunia menunjukkan salasilah sesuatu keturunan mengalami pengubahsuaian kerana faktor-faktor politik, keselamatan, pengaruh dan lain-lain.

2. Tidak semestinya seorang yang lahir dalam kalangan muslim akan kekal sebagai muslim juga sehingga ke akhir hayatnya.

Namun hujah yang baik di sini ialah Cheng Ho lahir dari keturunan muslim.


Sekarang tumpukan perhatian kepada Suo-Fei-Er pada tangga ke-26. Siapakah beliau?

“Dalam Mukaddimah Silsilah Marga Cheng tercatat bahawa Suo-Fei-Er/Saiyidina Syafi’i ialah Kaisar Kerajaan Bokhari. Pada tahun Xi Ning ke-3 Dinasti Song (1070 M) Saiyidina Syafi’i menyerahkan diri kepada Kaisar Song Tiongkok akibat negerinya diserang oleh negara tetangganya....... Ternyata Cheng Ho ialah keturunan dari Saiyidina Syafi’i.” (5)

Li-Sha-Shi yang berada di tangga ke-10 dikatakan pemerintah kerajaan Mi-Si-Le, yang berkemungkinan wilayah Mosul di Iraq. Sayyid Syafi’i yang berada di tangga ke-26 pula dikatakan pemerintah di Bokhari, yang mungkin Bukhara di Uzbekistan hari ini. Cheng Ho pula lahir di China. Dari sudut penghijrahan keturunan ini nampaknya seakan-akan ada kesinambungan. Dari Iraq, berkembang ke Uzbekistan dan berkembang pula ke China. Dari Asia Barat ke Asia Tengah ke Asia Timur.

Jalur keturunan dari Sayyid Syafi’i sampai ke Cheng Ho pun bertaraf lemah juga kerana ada pertikaian yang akan dibentangkan di bawah nanti. Oleh itu dari Sayyid Syafi’i hingga ke Nabi Muhammad tentulah lebih LEMAH lagi.

Mari kita lihat para pengisi salasilah dari Sayyid Ajal hingga Cheng Ho:

· Sayyid Ajall/ Syamsuddin

· Nu-Su-La-Ding (Nasruddin) – anak pertama Sayyid Ajal.

· Bai-Yan

· Mi-Di-Na/ Haji (Madinah)

· Mi-Li Jin/ Ma Haji

· Ma He/ Cheng Ho


Namun seorang pengkaji bernama Qiu Shusen memberikan jalur keturunan Cheng Ho yang lain:

· Sayyid Ajal/ Shamsuddin

· Shan-Su-Ding-Wu-Mo-Li / Shamsuddin Umar – anak keempat Sayyid Ajal.

· Bai Yan

· Mi-Di-Na/ Haji

· Mi-Li-Jin/ Ma Haji

· Ma-He / Cheng Ho (6)


Salasilah Cheng Ho dicabar lagi oleh seorang pengkaji lain bernama Zheng Yijun. Jalur keturunan yang diberikannya ialah :

· Sayyid Ajal/ Syamsuddin

· Ma-Su-Hu –anak kelima Sayyid Ajal

· Ma-Bai-Yan

· Cha-Er-Mi-Di-Na

· Mi-Li-Jin/ Ma Haji

· Cheng Ho (7)


Jadi, siapa sebenarnya anak Sayyid Ajal/Shamsuddin yang menjadi bapa kepada Bai-Yan?

1. Nu-Su-La-Ding (Nasruddin) – anak pertama Sayyid Ajal?

2. Shan-Su-Ding-Wu-Mo-Li / Shamsuddin Umar – anak keempat Sayyid Ajal?

3. Ma-Su-Hu –anak kelima Sayyid Ajal?


Yang mana satu? Percanggahan ini tentunya menurunkan sedikit kredibiliti (meLEMAHkan) salasilah Cheng Ho menuju ke Sayyid Ajal, apatah lagi menunju ke Nabi Muhammad s.a.w. Namun ketiga-tiga pengkaji bersetuju bahawa Cheng Ho keturunan Sayyid Ajal dan Sayyid Syafi’i.

Setakat bahagian ini, dakwaan mengatakan Laksamana Cheng Ho berketurunan Nabi Muhammad masih LEMAH, namun dakwaan kemusliman Cheng Ho semakin KUAT kerana nampaknya memang benar dia lahir daripada keluarga muslim. Kita teruskan penelitian kita.


(1) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 19-20.

(2) H. Usman Effendy, “Laksamana Haji Cheng Ho Belayar ke Indonesia sebagai Niagawan dan Mubaligh”, Angkatan Bersenjata, 18 Julai 1987

(3) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 21.

(4) Nama ini difikirkan oleh sahabat saya Encik Mokhri Hussin.

(5) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 20.

(6) Qiu Shuhen, “Moyang Cheng Ho dan Cheng Ho”, Panitia (ED.), II, 1985, ms 97-113.

(7) Zheng Yijun, “Tentang Pelayaran Cheng Ho ke Samudera Barat”, Bali Penerbit Samudra, Beijing, 1985, ms 25.



HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 3 :

Dikatakan bapa dan datuk Laksamana Cheng Ho sudah melaksanakan ibadah haji ke Makkah (Cool.

Penilaian kita :

Memang datuk dan bapanya dipercayai beragama Islam dan kemungkinan mereka pernah mengerjakan ibadah haji, namun tidak ada catatan ditemui tentang berhajinya Cheng Ho walaupun 7 kali dia merentasi lautan luas. Pada saya, muslimnya datuk dan bapanya bertaraf BAIK, hajinya mereka bertaraf LEMAH dan muslimnya Cheng Ho juga bertaraf LEMAH. Namun begitu, jika digabungkan dnegan hujah-hujah sebelum ini, hujah kemusliman Cheng Ho semakin baik.

(1) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 30.

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/cheng-ho-kemuslimannya-dan-hubungannya.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Cheng Ho - Kemusliman dan Hubungannya dengan Melaka Empty Re: Cheng Ho - Kemusliman dan Hubungannya dengan Melaka

Post  Admin Sun Dec 09, 2012 4:14 pm

HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 4 :

Pada tahun 1405, sebelum membuat pelayaran besar pertamanya, Cheng Ho meminta dituliskan sesuatu pada batu nesan bapanya. Menurut tulisan pada nesan tersebut, bapa Cheng Ho bernama Ma Haji (9).

Penilaian kita :

Ini hujah yang LEMAH kerana tidak jelas menunjukkan agama Cheng Ho atau agama bapanya.

(2) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 30.


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 5 :

Menurut “Catatan Bukit Barat” (Xi San Zha Ji) yang agak baru ditemui di Quanzhou, Cheng Ho pernah mengerjakan solat/ bersembahyang di Masjid Bukit Jiu Ri sebelum pelayarannya yang pertama (10).

Penilaian kita :

Ini hujah yang BAIK, cuma saya tidak memeprolehi banyak maklumat tentang “Catatan Bukit Barat” dan kredibilitinya. Namun hal ini jelas menunjukkan masyarakat China dikawasan itu sejak dahulu meyakini Cheng Ho seorang muslim.

(3) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 37



HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 6 :

Dalam pelayarannya Laksamana Cheng Ho membawa ramai penganut agama Islam. Dr. Hamka mengatakan kapal-kapal Cheng Ho : “Diisi dengan perajurit yang kebanyakannya terdiri daripada orang Islam.” (11) Antaranya termasuklah beberapa orang tokoh muslim seperti Ma Huan, Guo Chongli, Hasan, Sha’ban dan Pu Heri. Ma Huan dan Guo Chongli tahu berbahasa Arab dan Parsi. Karya Ma Huan iaitu Pemandangan Indah di Seberang Samudera (Yi Ya Sheng Lan) banyak mengaitkan pelayaran itu dengan Islam. Hasan seorang ulama Masjid Qinjing di kota Xian, wilayah Shan. Sha’ban seorang muslim dari Calicut, India.(12)

Penilaian kita :

Hujah ini tidak cukup sebagai bukti muslimnya Cheng Ho memandangkan rombongannya yang seramai 27,800 orang di lautan itu turut terdiri daripada penganut agama Buddha, Tao dan Confucious. Jumlah mereka juga bukan sedikit. Selain Ma Huan, terdapat seorang lagi penulis bersama-sama pelayaran Cheng Ho iaitu Fei Xin yang menulis “Menikmati Pemandangan Indah dengan Rakit Sakti” (Xing Cha Sheng Lan). Dalam penulisannya, Fei Xin sangat kurang menyentuh tentang agama Islam. Boleh jadi dia bukan seorang muslim kerana para pengkaji tidak menemui bukti-bukti keIslamannya. (13)

Ringkasnya hujah kali ini bertaraf LEMAH namun jika dipadukan dengan hujah-hujah sebelum ini, mungkin dapat menaikkan martabat isinya iaitu Cheng Ho seorang muslim.

(1) Hamka, Star Weekly, 18 Mac 1961.

(2) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011,ms. 37

(3) Ibid.


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 7 :

Cheng Ho punya hubungan rapat dengan masjid. Menurut Catatan Riwayat Daerah Xian (Xian Fu Zhi), Cheng Ho pernah memperkemaskan lagi binaan sebuah masjid di timur laut Xian pada 1413. Cheng Ho juga pernah meminta keizinan Maharaja China untuk membangunkan semula sebuah masjid terbakar di Jalan San San/Jian Kang di Nanjing dan permohonannya diluluskan. (14)

Penilaian kita :

Suatu ketika Laksamana Cheng Ho membawa Imam Hasan belayar dalam rombongannya. Tiba-tiba berlaku ribut besar menyebabkan kapal-kapal hampir-hampir terbalik. Ketika itu Imam Hasan mendirikan solat dan memohon pertolongan Allah. Kapal-kapal Cheng Ho berjaya diselamatkan. Kejadian ini membuatkan Cheng Ho berasa terhutang budi dengan Imam Hasan. Dia membalas jasa Imam Hasan dengan menaiktarafkan lagi masjid Imam Hasan di Xian.

Hujah ini tidak termasuk ke dalam hujah yang kukuh (masih LEMAH) kerana boleh saja seorang pegawai tinggi negara menghadiahkan apa sahaja kepada orang bawahannya yang berjasa sekalipun berlainan agama. Sebagai contohnya, boleh saja Cheng Ho beragama Tao tetapi membiayai pembangunan masjid sebagai mengenang budi Imam Hasan. Lebih-lebih lagi agama Tao umumnya bersifat mesra dengan agama-agama lain.

Pembinaan semula masjid yang terbakar boleh saja atas dasar seorang pegawai tinggi mahu memelihara kebajikan rakyatnya yang berbilang agama.

Sebenarnya Cheng Ho juga pernah mendermakan kain bersulam benang emas dan perak, pedupaan, pot bunga, pelita lilin dan lain-lain kepada kuil Buddha di Sri Lanka pada tahun 1409. Catatan tentangnya terdapat pada Tugu Catatan Derma kepada Kuil Bukit Ceylon yang ditemui di kota Galle, Sri Lanka. Tugu itu kini berada di Muzium Colombo, Sri Lanka (15). Anak kapal Cheng Ho khususnya yang beragama Tao juga biasa menyembah dan memohon pertolongan kepad Dewi Sakti, terutama ketika laut bergelora (16). Selain Imam Hasan, Cheng Ho turut membawa pendeta agama Buddha bernama Fei Huan dalam pelayarannya (17).

Orang-orang Cina mengenali Cheng Ho sebagai Sam Po Kong. Para penganut agama Tao dan Confucious khususnya mendirikan kuil , membina patung Sam Po Kong dan menyembahnya. Mereka menganggap Cheng Ho/ Sam Po Kong sebagai dewa. Beberapa kuil Sam Po Kong diasaskan sejak zaman Cheng Ho lagi. Kuil-kuil penyembah Sam Po Kong terdapat di banyak tempat termasuklah di Indonesia dan Malaysia. Antaranya di Semarang, Melaka, Terengganu, Ayuthia (Thailand), Jakarta, Surabaya, Sarawak, Singapura dan lain-lain yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Mengapa banyak kuil yang dikaitkan dengan Cheng Ho dan bukannya masjid? Adakah Cheng Ho/ Sam Po Kong seorang muslim? Adakah penganut agama Tao dan Confucious mengambil seorang muslim sebagai salah seorang dewa sembahan mereka? Di Indonesia kan ada Masjid Cheng Ho? Ya, tetapi masjid itu baru sahaja didirikan pada zaman kita ini lalu dinamakan sebagai Masjid Cheng Ho.

Oleh itu hujah kemusliman Cheng Ho berdasarkan ramai ahli rombongannya beragama Islam, dia pernah berjasa kepada masjid dan membawa Imam Hasan masih dalam kategori LEMAH.

Tahukah anda, berhala terbesar Cheng Ho/ Sam Po Kong setinggi 12.7 meter baru sahaja dirasmikan di Kuil Sam Po, Semarang, Indonesia pada 29 Julai 2011 lalu? Patung itu diimport khas dari negara China. Perancangan awal mahukan patung itu dibina setinggi 20 meter tetapi dibatalkan (18).

Apakah agama Cheng Ho? Memang biasakah penganut agama-agama kuno China mendewakan dan menyembah seorang tokoh yang bukan dari agama mereka khususnya Islam? Jika benar Cheng Ho seorang muslim, kita redhakan sajakah dia diberhalakan? ... Banyak persoalan yang bermain-main di fikiran kita.

(4) Ibid, ms 38

(5) Ibid, ms 40

(6) Ibid.

(7) Zheng Yijun, “Tentang Pelayaran Cheng Ho ke Samudera Barat”, Balai Penerbit Samudra, Beijing, 1985, ms 426.

(Cool http://travel.kompas.com/read/2011/07/27/20585041/Jumat.Patung.Cheng.Ho.Diresmikan


HUJAH KEISLAMAN CHENG HO 8 :

Selepas pelayarannya yang ke-3, Cheng Ho pulang ke kampung asalnya. Ketika itu bertepatan dengan 20 Sya’aban (10 hari lagi menuju Ramadhan). Sepanjang bulan Ramadhan, Cheng Ho berada di kampungnya. Dia hanya meninggalkan kampungnya selepas Hari Raya Aidil Fitri (19). Berdasarkan maklumat ini, kemungkinan sekali Cheng Ho berpuasa dan merayakan Aidil Fitri. Pada saya, ini hujah yang BAIK.

Hujah yang baik ini jika dicampur dengan hujah-hujah lemah dan baik di atas tadi tentunya menaikkan kecenderungan kita untuk mengakui Cheng Ho sebagai seorang muslim. Jika selepas ini ada lagi 1-2 hujah BAIK dan beberapa hujah LEMAH, yakinlah kita bahawa memang beliau seorang muslim. Yang penting, keyakinan kita kali ini bukan atas dasar dengar-dengar cakap-cakap orang, tetapi dengan penelitian.

(1) Kong Yuanzhi, Cheng Ho – “Muslim Tionghoa, Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara”, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2011, ms 39


HUJAH KEISLAMAN CHENG HO 9:

Dikatakan Cheng Ho pernah mengerjakan ibadah haji (20).

Penilaian kita :

Prof. Kong Yuanzhi sendiri mengatakan tidak ada catatan tentang ibadah haji Cheng Ho dalam buku-buku sejarah negara China. Hanya pada pelayarannya yang ke-7 Cheng Ho mengutuskan 7 orangnya ke Hijaz, dia sendiri tinggal di Calicut, India. Hujah ini bersifat SANGAT LEMAH.

Tetapi... masih ada satu bekalan kita. Dua pelayaran terakhir Cheng Ho adalah yang terjauh. Dikatakan Dinasti Ching memusnahkan banyak catatan tentang dua pelayaran terakhir ini (21). Nampaknya masih ada misteri besar yang mesti diterokai lagi...

(2) Ibid.

(3) http://id.wikipedia.org/wiki/Cheng_Ho 18 10 2011


HUJAH KEISLAMAN CHENG HO 10 :

Pemerintah Dinasti Ming dipercayai beragama Islam, tentunya mereka melantik pembesar yang beragama Islam juga.

Penilaian kita :

Kita tidak dapat pastikan siapakah maharaja-maharaja Dinasti Ming yang beragama Islam. Yang kita tahu, ketika Dinasti Ming baru ditubuhkan, mereka telah menyerang wilayah kelahiran Cheng Ho dan mengkebirikannya. Mengkebirikan manusia tentunya tidak sesuai dengan ajaran agama Islam walaupun ada juga beberapa pemerintah muslim zaman lampau yang melakukannya.

Tambahan pula, Dinasti Ming begitu memusuhi kelompok terbesar umat Islam di China ketika itu iaitu suku Hui yang melahirkan Cheng Ho. Dinasti Ming tidak membenarkan orang-orang Hui memakai pakaian, bahasa dan nama asal mereka. Berkahwin sesama orang Hui juga tidak dibenarkan. Permusuhan ini membuatkan ramai orang Hui menyembunyikan identiti dan agama mereka. Pembinaan masjid hanya dibenarkan jika doa panjangkan umur maharaja dilakukan (22).

Berdasarkan maklumat ini, pada saya tidak jelas kemusliman Maharaja Dinasti Ming terutamanya pada zaman Cheng Ho. Hujah ini bersifat LEMAH.

(4) Ibid, ms 52


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 11 :

Rombongan Cheng Ho pernah tiba di Makkah dan Madinah.

Penilaian kita :

Dalam pelayaran Cheng Ho terakhir (ke-7), rombongannya tiba di Calicut, India. Ma Huan dan 6 orang muslim diutuskan ke Hijaz iaitu ke Makkah dan Madinah, tapi Cheng Ho tidak pergi bersama-sama mereka. Inilah kali pertama rombongan Cheng Ho ke Hijaz (23). Ketika itu Cheng Ho sudah mulai tidak sihat lalu tinggal di Calicut sehinggalah kematiannya di situ (24).

Selepas merantau ke serata dunia selama bertahun-tahun, mengapa Cheng Ho tidak pergi menunaikan haji ataupun sekurang-kurangnya melawat Makkah dan Madinah? Mengapa dalam 7 kali pelayarannya dia tidak membawa ribuan muslim ahli rombongannya mengerjakan umrah? Benarkah dia beragama Islam? Padahal dalam pelayaran ke-5, 6 dan 7 rombongannya tiba sejauh Yaman. Mengapa tidak terus ke Hijaz? Benarkah ramai ahli rombongannya muslim? Mengapa hanya 6 orang yang diutus ke Hijaz?

Ternyata hujah ketibaan utusan Cheng Ho ke Hijaz TIDAKLAH KUKUH untuk membuktikan keIslamannya.

(5) Ibid, ms 55.

(6) Ibid, ms 39.


HUJAH KEMUSLIMAN CHENG HO 12 :

Cucu-cicit Cheng Ho (25) di negara China beragama Islam dan mengakui keIslaman Cheng Ho. Makam Cheng Ho (26) dan kaum keluarganya masih dijaga oleh anak cucunya sampai sekarang. Mereka dikatakan dikuburkan secara Islam. Bacaan Al-Quran turut dibuat di makam-makan itu pada masa-masa tertentu (27).

Bahagian ini termasuk dalam bukti yang KUKUH.

(1) Cheng Ho seorang yang dikebiri, mustahil untuk dia mendapatkan keturunan. Yang dimaksudkan dengan keturunan di sini ialah keturunan keluarga besar Cheng Ho.

(2) Cheng Ho meninggal dunia di Calicut, India. Jenazahnya dibawa pulang dari India ke China. Namun ada pendapat mengatakan mayat sebenar Cheng Ho dikebumikan di Semarang, Indonesia. Sejarahwan berselisih pendapat. Ada yang mengatakan mustahil untuk membawa pulang mayat Cheng Ho dari India ke China tanpa melalui proses pereputan. Oleh itu orang-orangnya mengkebumikan Cheng Ho di pertengahan jalan, iaitu di Semarang Indonesia. Yang ada di Nanjing, China itu hanyalah makam peringatan sahaja untuknya yang mungkin berisi beberapa barang Cheng Ho termasuklah sebahagian daripada tocangnya yang dipotong.

(3) Wang Jianan, “Makam Cheng Ho dan sebagainya”, majalah Dunia Timur, No.5, 1987.

Berikut adalah himpunan hujah-hujah kita dan martabatnya sama ada KUKUH, BAIK, LEMAH, SANGAT LEMAH ataupun TERTOLAK dalam mengesahkan kemusliman Cheng Ho :

HUJAH 1 : Rata-rata masyarakat dunia mengakui Cheng Ho seorang muslim....... LEMAH dalam membuktikan Cheng Ho seorang muslim (perkataan ini digunakan untuk kesemua hujah di bawah nanti).

HUJAH 2 : Cheng Ho berketurunan Nabi Muhammad, Sayyid Syafi’i dan Sayyid Ajal ....... LEMAH.

HUJAH 3 : Datuk dan bapanya sudah menunaikan ibadah haji di Tanah Arab....... LEMAH.

HUJAH 4 : Cheng Ho menulis sesuatu pada nesan bapanya....... LEMAH.

HUJAH 5 : Cheng Ho pernah bersolat di Masjid Bukit Jiu Ri....... BAIK.

HUJAH 6 : Cheng Ho membawa ramai cendekiawan dan penganut agama Islam dalam pelayarannya....... LEMAH.

HUJAH 7 : Cheng Ho membaik pulih dan mendirikan masjid-masjid....... LEMAH.

HUJAH 8 : Cheng Ho pernah bercuti di kampungnya sepanjang Ramadhan dan Aidil Fitri.......BAIK.

HUJAH 9 : Cheng Ho pernah mengerjakan ibadah haji....... SANGAT LEMAH.

HUJAH 10 : Pemerintah Dinasti Ming pada zaman Cheng Ho beragama Islam........ LEMAH.

HUJAH 11 : Cheng Ho pernah utuskan 7 ahli rombongannya ke Makkah....... LEMAH.

HUJAH 12 : Keturunan Cheng Ho di China memang penganut agama Islam sampailah ke hari ini....... BAIK.

Hasilnya, kita memperolehi :

1. O hujah bertaraf KUKUH.

2. 3 hujah bertaraf BAIK.

3. 8 hujah bertaraf LEMAH

4. 1 hujah bertaraf SANGAT LEMAH...

...dalam menyokong kemusliman Laksamana Cheng Ho/ Sam Po Kong.

Berdasarkan pertimbangan dan perhitungan saya, 8 hujah bertaraf LEMAH boleh dinaikkan tarafnya menjadi 1 hujah bertaraf BAIK. Maka kita ada 4 hujah bertaraf BAIK. 4 hujah bertaraf baik sesuai dinaiktarafkan menjadi 1 atau 2 hujah bertaraf KUKUH. Oleh itu, secara kasarnya pandangan yang mengatakan Cheng Ho seorang muslim bertaraf KUKUH. Jika dibandingkan dengan ilmu hadith, bolehlah kita ‘hampir serupakan’ dengan SAHIH.

Namun begitu, kita mesti pertimbangkan pula dengan HUJAH-HUJAH PENOLAKAN seperti :

1. Kuil-kuil yang didirikan sejak zaman Cheng Ho ataupun selepasnya di serata Nusantara dan ke baratnya semuanya bukan rumah ibadah agama Islam, melainkan untuk agama-agama purba China.

2. Cheng Ho atau lebih dikenali sebagai Sam Po Kong dalam kalangan masyarakat Cina diberhalakan dan disembah sebagai dewa. Patungnya ada di setiap kuil Sam Po Kong. Satu hal yang menarik, umumnya daging babi tidak dibenarkan dbawa ke kuil-kuil Sam Po Kong. Adakah ini bermaksud Sam Po Kong tidak makan daging babi? Adakah ini salah satu bukti keIslamannya?

3. Tidak ada masjid yang dibina oleh Cheng Ho atau orang-orangnya di Nusantara dan ke baratnya, melainkan kuil-kuil.

4. Tidak ada bukti Cheng Ho mengerjakan haji. Padahal seorang muslim yang mengembara sedemikian jauh sebanyak 7 kali, mustahillah tidak terfikir untuk menunaikan ibadah haji ataupun sekurang-kurangnya umrah walau sekali. Namun ada satu hal yang tidak boleh kita tinggalkan. Catatan-catatan pelajaran Cheng Ho yang ke-6 dan ke-7 banyak dimusnahkan oleh dinasti yang datang kemudian. Sebahagian pengkaji mengatakan ada kemungkinan Cheng Ho dan rombongannya belayar sejauh Amerika dan mengIslamkan sebahagian kaum Red Indian (28 ).

5. Sejaka zaman Cheng Ho, umat Islam tidak pernah membantah Cheng Ho diberhalakan dan disembah sebagai dewa. Adakah umat Islam akan berdiam diri jika tokoh muslim diberhalakan? Hal ini bermaksud Cheng Ho tidak ada kaitan dengan agama Islam.

KESIMPULAN BESARNYA

Setelah saya pertimbangkan kesemua hujah-hujah di atas, secara peribadi saya memandang hujah-hujah kemusliman Cheng Ho bertaraf BAIK sahaja, bukannya KUKUH. Jika hendak ‘dihampir serupakan’ dengan ilmu mustalah hadith, ia setaraf HASAN sahaja, bukannya SAHIH. HASAN pun bukanlah HASAN kelas pertama tapi kelas kedua. Pertimbangan saya ini tidak mustahil berubah sekiranya pada masa akan datang terdapat tambahan hujah-hujah sandaran sama ada yang menyokong ataupun yang menafikan. WaAllahua’lam.

( 28) http://sigitwahyu.net/tokoh-profil/laksamana-cheng-ho-penemu-amerika.html



bersambung... panjang lagi nih : )

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2011/10/cheng-ho-kemuslimannya-dan-hubungannya.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

https://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum