Cara Menghadapi Ujian Berat

View previous topic View next topic Go down

Cara Menghadapi Ujian Berat

Post  Admin on Sat Dec 29, 2012 5:58 pm

*Seorang hamba Allah mengadu dirinya sedang melalui ujian yang berat, ujian paling berat pernah ditanggungnya. Tulisan di bawah adalah jawapan kepadanya, yang sesuai juga untuk semua orang yang sedang berhadapan dengan ujian Allah SWT.



MENGAPA TUHAN DATANGKAN UJIAN?

Tujuan Tuhan menguji kita tidak lain adalah untuk MENAIKKAN DARJAT KITA di sisi-Nya. Selain itu, orang-orang yang sedang diuji menunjukkan mereka sedang MENDAPAT PERHATIAN YANG LEBIH daripada Allah SWT berbanding orang-orang yang tidak diuji. Biasanya begitu.


Firman Tuhan : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut : 2-3)


Selain itu, ujian juga salah satu kaedah untuk Tuhan MENAMBAH KASIH SAYANG dan PAHALA-NYA buat kita, dengan syarat kita hendaklah melalui ujiannya dengan usaha yang termampu di samping MENGUTAMAKAN KESABARAN. Pahala bagi orang-orang yang bersabar sangat hebat, kerana ia sentiasa mengalir tanpa had.


“Sabar itu separuh (daripada) iman.”(Abu Na’im, dengan sanad baik)

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (bersabar) itu akan DIBAYAR PAHALANYA DENGAN TIADA BATAS.” (Az-Zumar: 10)

Amal ibadah yang lain semuanya ada had, tetapi dengan bersabar, kasih sayang dan pahala untuk kita bagaikan air sungai yang sentiasa mengalir. Semoga dapatlah diteruskan kesabaran sebagaimana sepanjang dua-tiga bulan ini.



SEBESAR MANA UJIAN TUHAN KEPADA KITA?

Memang benarlah sebagaimana yang dikatakan itu, Tuhan tak akan membebankan kita dengan sesuatu beban yang tidak mampu kita tanggung atau tidak sepadan dengan kekuatan kita.


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)


Oleh itu, kita teruslah berusaha sekadar yang termampu untuk mencapai cita-cita kita itu, teruslah istiqamah bersabar dan sentiasalah bersangka baik dengan Allah SWT yang kita cintai itu.





BAGAIMANA HENDAK MENGATASI MASALAH SEBEGINI?

Antara amalan yang mujarab adalah dengan BANYAK BERISTIGHFAR. Istighfar yang dimaksudkan adalah dengan penghayatan menyesali dosa-dosa yang pernah kita lakukan sepanjang hidup kita selama ini, kerana sememangnya kita manusia biasa banyak berdosa kepada Tuhan, termasuklah saya sendiri.


Sabda Nabi kita : "Barangsiapa membiasakan membaca istighfar, Allah pasti akan memberikan KELEPASAN TERHADAP SETIAP KESUSAHANNYA, dan memberikan JALAN KELUAR TERHADAP SETIAP KESEMPITANNYA, serta memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka." (Abu Daud)


Cara yang paling ringkas adalah dengan membanyakkan menyebut (dengan penghayatan yang dinyatakan tadi) “Astaghfirullaahal ‘Aziim”. Boleh saja jika kita mahu membaca kalimah-kalimah istighfar lain yang lebih panjang, sebagaimana yang disarankan oleh para ulama.


Kadang-kadang, dosa-dosa yang belum kita sesali dan taubati MENJADI PENGHALANG kepada usaha, doa dan cita-cita kita. Apabila dosa-dosa itu terhapus melalui taubat dan istighfar kita, maka Tuhan akan permudahkan segala usaha kita ke arah kebaikan KERANA SUDAH TIADA PENGHIJABNYA.


Kadang-kadang DOSA atau HUTANG (yang mampu dibayar tapi sengaja tidak mahu dibayar) kita sesama manusia turut menjadi penghalang. Begitu juga jika kita ada MENGAMBIL/TERAMBIL HAK ORANG. Sekiranya ada berkaitan dan mampu diselesaikan, selesaikanlah. InsyaAllah penghalang-penghalang itu akan hilang.


Ubat atau penawar kedua tidak lain adalah dengan bertaqwa kepada Allah SWT, iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk MENGERJAKAN SEGALA SURUHAN Tuhan sekalipun yang kecil-kecil, dan berusaha untuk menjauhkan/MENINGGALKAN SEGALA LARANGAN Tuhan sekalipun dalam hal yang kecil-kecil. Itulah sebenar-benar taqwa. Mengapa taqwa ini sangat penting dan begitu mujarab dalam saat-saat sebegini?


Kekasih kita iaitu Allah SWT menyatakan kepada kita dalam Ayat 1,000 Dinar :

““Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya JALAN KELUAR/ PENYELESAIAN.
Dan memberi rezeki kepadanya dengan CARA YANG TIDAK DISANGKA-SANGKA. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq : 2-3)


Dengan bertaqwa, Tuhan akan berikan jalan penyelesaian, dan kadang-kadang melalui jalan yang tidak kita sangka sama sekali.


Ikhtiar yang ketiga, yang sudah anda lakukan pun iaitu :

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan bersabar dan mengerjakan SOLAT; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah : 45)


Solat tahajud dan hajat yang dilakukan memang kena dengan situasi sekarang.


Usaha keempat, lazimkan baca tasbih Nabi Yunus yang berbunyi “ Laailaahailla anta, subhaanaka inni kunntuminazzolimiinn.” (Ayatnya di sini http://ikhtiarmuslim.blogspot.com/2009/11/doa-nabi-yunus.html ) . Tasbih ini sangat mujarab.



FIKIRAN BERSERABUT?

Selalulah membaca Surah Asy-Syarah (Alam nasyrah.... hingga akhir). Surah ini sebagai usaha kita untuk mendapatkan ketenangan.

Ada satu doa yang cukup popular : “Allaahumma inni a’uuzhubika minal hammi wal hazan.” Maksudnya : ““Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa susah dan duka.” Doa ini membantu menghilangkan keserabutan fikiran.

Kita yakinlah firman Tuhan : “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Asy-Syarh : 5-6)





TIDAK BERJAYA MENDAPAT SESUATU YANG DIIDAMKAN?

Walaupun sudah berusaha sangat keras namun masih gagal juga untuk mencapai sesuatu, ADA KEMUNGKINAN (maksudnya tidak semestinya) perkara yang kita usahakan itu memang bukan rezeki kita.


Firman Tuhan : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu tu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi pula KAMU MENYUKAI SESUATU, padahal ia amat buruk bagi kamu, ALLAH MENGETAHUI sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)





KAEDAH LAIN YANG TURUT MEMBANTU

Untuk mendapatkan ketenangan minda, anda boleh cuba amalan-amalan berikut :

1. Biasakan minum koko atau makan coklat.

2. Selalu makan daun ginkgo biloba (dijual dalam bentuk kapsul dipasaran).

3. Dapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.

4. Pastikan gigi dan mulut sentiasa bersih, sama ada dengan bersugi/ berus gigi ataupun berkumur-kumur.

5. Lamakan sedikit sujud.

6. Selalu makan badam.

7. Selalu makan kismis.

8. Kurangkan berfikir hal yang remeh-temeh.


Sekadar inilah perkongsian yang dapat saya berikan. Semoga ada manfaatnya untuk anda, dan dimudahkan Allah segala urusan.

WaAllahua’lam.



Abu Zulfiqar

12 September 2011

http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/09/cara-mengahadapi-ujian-berat.html

Admin
Admin

Posts : 421
Join date : 07/12/2012

View user profile http://alamsyari.forumms.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum